Sunday 16 August 2020

Nasyid Wanita (InTeam) : Nasyid Dulu, Kini dan Selamanya

Akhir-akhir ini popular kembali lagu nasyid DeHearty yang dinyanyikan semula oleh InTeam. Lagu ini antara lagu kegemaran saya ketika zaman belajar dahulu. Dan saya menggemarinya sehingga kini.

Pada pandangan saya, lagu nasyid sekarang kurang menyentuh jiwa apatah lagi meruntun jiwa. Kesyahduan yang dialunkan berbeza. Seolah-olah hanya sekadar ingin popular semata-mata. Namun tidak menjiwai roh seni itu.

Selamat Maju Jaya InTeam dan selamat menikmati pencinta nasyid sekalian.

Antara perkara yang baik dibawa oleh pengaruh kumpulan nasyid:

1) Sifat-sifat yang baik - mahmudah

2) Jangan lalai dengan muzik - duniawi

3) Nilai persahabatan

4) Kejayaan dunia akhirat - keperluan berjuang

5) Kepentingan menuntut ilmu

6) Kemestian mempunyai adab (adab dengan Allah, ibu bapa, guru, rakan-rakan dan seluruh isi alam semesta)

7) Memahami Islam

Dan banyak lagi.


Tetapi kalau diperhatikan zaman kini, anak muda lebih banyak hanya cuba untuk POPULAR. 

Sunday 12 July 2020

Cara untuk dapat Pointer Paling Baik

Ketika saya menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda, saya menemui kaedah pembelajaran untuk diri saya. Saya adalah kategori biasa, bukan kategori 'lompat kelas'. 
Dengan demikian, Alhamdulillah, saya pulang ke Malaysia dengan segulung ijazah (dengan pointer yang agak baik).

Antara kaedah yang saya guna pakai adalah; 

1. Belajar 3 kali

MASA PERTAMA, pelajari sebelum masuk kelas. Iaitu pada waktu malam sebelum kuliah keesokan harinya. 

Langkah persediaan awal, baca secara ringkas dan cari maklumat yang berkaitan, jangan risau walau tidak faham.
MASA KEDUA, mendengar sepenuhnya dan fokus kepada pelajaran yang diajarkan oleh guru/pensyarah ketika kuliah berjalan. 

Serta mengambil bahagian di dalam kelas dengan bertanyakan soalan dan memberi pandangan (berdasarkan pembacaan pada malam tadi). 
Pengalaman Dr Amalina yang pernah menjadi pelajar terbaik SPM 17A1 pada tahun 2004, akan belajar sebelum tidur.
Teknik ini digunakan oleh Ibnu Sina, tokoh perubatan dalam Islam yang menggunakan teknik mengajarkan kepada orang lain justeru beliau mudah untuk praktikkan selepas habis pengajiannya. Malah sebelum tamat beliau sudah dipercayai oleh masyarakat termasuk pemerintah waktu itu.

MASA KETIGA, pulang ke rumah selesai kuliah dengan mengulangkaji semula (menulis nota berdasarkan pengajaran guru dengan merujuk buku-buku berkaitan). 

Mesti buat terus, sebab masih segar di ingatan.


Teknik ini akan memberi kesan yang panjang, kerana anda tidak perlu menghimpunkan semuanya pada malam peperiksaan. 
Dan anda dapat menjawab dengan baik kerana anda memahaminya bukan menghafaz semata-mata.

2. Tidak ikut teknik orang lain

Anda perlu cari kaedah yang sesuai dengan kemampuan anda.

Ibnu Sina juga menggunakan teknik ini. Beliau akan bersungguh-sungguh selagi mana beliau mampu. 

Anda tidak perlu mengikut kaedah orang lain, cuba cari suasana dan teknik bagaimana yang sesuai untuk anda.

3. Teknik Pembelajaran Feynman
Kaedah yang saya guna adalah:

i) Tulis (tulis nota sendiri - rujuk pensyarah atau buku-buku berkaitan).

Pengajaran dari kisah Imam Syafii dan dalam hadis Nabi juga menyebut tentang menulis.

ii) Bercakap di dalam kelas (bertanya soalan dan kemukakan pandangan kepada pensyarah - walaupun belum tahu ia betul atau salah; tetapi perlu juga atas dasar pembacaan ringkas). Seperti pengamalan Ibnu Sina dan Imam Syafii.

iii)Mencari maklumat tentang apa yang tidak diketahui - cari maksud konsep / definisi sesuatu perkara. 

Imam Ghazali akan mencari guru untuk memahamkan apa yang menjadi kekeliruan kepadanya walaupun hanya seorang penjual daging di pasar.

iv) Menggunakan bahasa sendiri berdasarkan pemahaman supaya ia jadi lebih mudah.

4)Bersahabat dengan Guru

Ulama' terdahulu sering berpesan malah mengikut pengkisahan ilmuwan dahulu sering mendampingi gurunya.
Begitu juga saya, saya sering mengunjungi pensyarah saya apabila saya memerlukan bantuan. 
Namun, tiada terdetik untuk mendapatkan gred yang baik. 
Perlu luruskan niat agar ilmu sentiasa melekat di dada.
Adab dengan guru perlu dijaga, sentiasa doakan mereka agar ilmu yang diberi mudah untuk digunakan bila-bila masa.

5) Menjauhkan dari sebarang gangguan.
Penting untuk dapatkan kefahaman yang mendalam, perlu elak dari sebarang gangguan. Tutup data, jangan buka whatsapp, facebook, instagram atau sebarang bentuk aplikasi. 

Kalau saya dahulu, sebab nak elak gangguan dari bunyi tv/radio atau rakan-rakan (zaman dahulu belum ada penggunaan internet yang meluas, belum ada smart phone), 
saya akan bangun tengah malam sehingga subuh untuk belajar. 
Kerana perlu tahap fokus yang tinggi semasa membuat nota dan merujuk buku dengan menggunakan pemahaman saya (saya tidak menggunakan hafalan, tetapi lebih kepada kefahaman).

Kalau nak minum air, letak terus air minuman di tepi meja anda. Tetapi tidak boleh makanan.

6) Cara membuat nota

Saya akan menulis nota dengan menggunakan pen berwarna.



7) Mesti keluar Senaman / aktiviti luar
Saya akan rutinkan senaman, bagi mengekalkan kecergasan badan dan keseimbangan otak dalam berfikiran secara positif. 

Dalam Islam menjadi kewajipan untuk kita menjaga tubuh badan yang dikurniakan ALlah bagi melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini.

8) Sekiranya anda keluar (ada urusan luar/bersosial/kenduri dan sebagainya) sehingga menyebabkan waktu belajar anda kurang, MESTI GANTIKAN NYA. WAJIB.
Imam Ghazali berkata perlu pelajari sehingga menguasainya. Imam Syafii juga menyampaikan bahawa perlu gigih dalam menuntut ilmu.

9) Sabar
Adakala belajar ini susah untuk difahami, takut untuk ke depan sewaktu pembentangan, takut untuk berjumpa dengan guru/pensyarah yang tegas, takut salah apa yang ditugaskan, semuanya tentang TAKUT. 

Perlu banyak bersabar dan terus berfikiran positif. Banyakkan berdoa dan solat hajat serta amalan-amalan sunat yang lain. Semoga hati terus kuat, dibantu Allah dalam urusan pembelajaran.

10) Disiplin

Mesti buat setiap hari.. Ini adalah tulang belakang kepada proses belajar.

Dalam al-Quran menyebut tentang tidak bertangguh, 

Hadis ini dirujuk dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, SS Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri:

Daripada Ibn Umar RA katanya, Rasulullah SAW memegang dua bahuku seraya bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ ، وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ : إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Maksudnya“Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar RA berkata: Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu.

Riwayat al-Bukhari (6053)


SEMOGA BERMANFAAT.


Artikel ini disediakan untuk pelajar di Kem Terendak dalam slot Kaedah Pembelajaran Berkesan.

ⓒFarrahKUIM

Sunday 14 June 2020

Problem Statement (Penyataan Masalah) Mudah Faham

Sekadar perkongsian kepada yang masih tertanya-tanya apa itu Problem Statement dalam penulisan tesis. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr Hasnah, Dr Azam dan raka-rakan yang sentiasa bersedia dalam perkongsian ilmu walau dimana berada dan pada waktu bila-bila masa sahaja yang merspon setiap kali persoalan muncul. Hanya Allah sahaja boleh membalasnya. Ameen.🌹🌹

💻Petikan dari Group Whatsapp PhD. 3.0 Coaching yang diterajui oleh Dr Hasnah (Pensyarah, IPG Kampus Raja Melewar) dan Dr Azam (Pensyarah Kanan, UiTM Rembau).

Wsalam....nothing easy utk PhD.
Problem boleh datang dari masalah harian yang kita alami,perhati, dengar dari org lain.....tapi kita kena pastikan apa yang kita alami, perhatikan, dengar tu adalah problem  dan bukanya symptom (petanda) kepada masalah. Macam contoh yg saya pernah beri - Anak kita lemah Matematik (kita anggap itu masalah) maka kita hantar pergi tuition (solution) sedangkan lemah Matematik tu cuma symptom kepada MASALAH SEBENAR. Bila kita hantar tuition Matematik masih tidak selesai masalah lemah Matematik. Kenapa? Sebab masalah sebenar anak kita ialah mungkin "guru, tumpuan, minat, dll"
Masalah juga boleh datang dari LR - tak kira kita gunakaedah apa ie LR Matriks ke , SLR ke as long you do analysis from previous study.




Saturday 13 June 2020

Jom Sambung Belajar Sarjana Pengajian Islam di Kolej Universiti Islam Melaka

Pada semester ini, bermula Jun 2020, saya mendaftar sebagai pelajar Sarjana Pengajian Islam (Kerja Kursus) Sepenuh Masa di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM). Ini merupakan sarjana kedua saya (diharapkan saya mampu menyelesaikan hingga ke akhirnya demi setitis ilmu untuk bekalan diri saya dan dapat dikongsi dengan umat kelak) setelah beberapa tahun yang lalu saya berjaya menamatkan Sarjana Falsafah (Antropologi & Sosiologi) di Universiti Kebangsaan Malaysia (2014). 

Walaupun kini saya sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (Pembangunan Komuniti) di Universiti Putra Malaysia, saya cuba untuk menambahkan ilmu sementara saya sihat dan bertenaga. Semoga Allah beri kekuatan kepada hambaNya yang menuntut ilmu, ikhlaskan dan berilah kami kesabaran serta ketetapan hati di landasanMu Ya Allah.

KUIM mempunyai ciri tersendiri. Bagi saya, anda berada di universiti/kolej mana sekalipun, tetap mempunyai kelemahan dan kebaikan tersendiri. Pada pandangan saya, setiap kelemahan dan kebaikan itu memberi pelbagai manfaat dan pengalaman kepada individu tersebut. Jarang beri kemudharatan kepada pelajar, melainkan ia benar-benar TERUK. Namun begitu, setiap IPT mempunyai unit yang mengawal dan memantau proses/prosedur pengurusan khususnya dalam aspek menjaga kualiti pengeluaran produk. Tentu sahaja, pihak IPT ingin memberikan kesan yang baik kepada pelanggannya (pelajar).

Bagaimana cara kita bertindak balas apabila timbul isu, bagaimana kita mengeluarkan kata-kata, bagaimana intonasi, emosi, kita kepada sesuatu isu, perlulah ditimbang baik buruk. IPT di Malaysia bukanlah 'anak kecil'. Tetapi sudah hampir setara dengan universiti antarabangsa. 

Sepertimana KUIM, antara kelebihannya pada pandangan saya;

Kalau kata pensyarahnya berpengalaman, IPT lain juga akan berkata demikian. Pensyarah di KUIM khususnya bagi Fakulti Pengajian Islam (FKI) mempunyai ciri khas tersendiri. Dengan berlatar belakangkan kelayakan/pendidikan yang baik dan dipercayai. Kebanyakan pensyarah FKI boleh berbahasa Arab dengan fasih (tentu sahaja kitab-kitab yang digunakan adalah muktabar). Kebanyakan mereka lulusan Jordan, Mesir, Indonesia, UIA, UKM, UM dan beberapa universiti lain lagi. 
Selain itu, program yang ditawarkan di KUIM diiktiraf peringkat Kementerian Pengajian Tinggi dan Malaysian Qualification Accreditation (MQA). Kalian boleh cek kelulusan di laman web berkaitan. 

Saya sendiri merupakan tenaga pengajar di Fakulti Sains Sosial (FSS), KUIM. Kebanyakan kami disini merupakan graduan dari UKM, USM,UIA, UMS dan UiTM. Saya sendiri lulusan Ijazah pertama saya di Indonesia, kemudian sambung di UKM dan kini sedang menuntut di UPM (dalam masa yang sama saya menambahkan pengetahuan, sepertimana yang telah saya kongsikan dalam perenggan pertama).
Jika dibandingkan dengan universiti yang terkemuka di Malaysia tentu kami ini sangatlah kerdil. Namun begitu, dalam serba kekurangan (kampus tidak segah universiti lain), disebabkan pensyarah ramai yang masih muda, dan tidak jauh beza dengan usia para pelajar, menjadikan bonus kepada pelajar. Ini adalah kerana para pelajar boleh membina hubungan dengan pensyarah dan menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik dan lancar. Kadang-kadang anda menikmati makan malam di bilik pensyarah sambil menyiapkan tesis anda (Rakan Pensyarah di bilik saya , Pn Noraini sering berbuat demikian... kadang-kadang sampai lewat malam). Kalian boleh lihat artikel saya sebelum ini. Terdapat beberapa aktiviti yang telah kami lakukan bersama-sama.

Berdasarkan pengalaman saya, faktor usia juga memainkan peranan. Ketika saya menuntut di Indonesia, banyak yang saya pelajari ketika sesi perkuliahan berlangsung. Tidak terlalu banyak gap antara para pelajar dengan pensyarah, namun adab kepada guru tidaklah saya lupakan. Kadang-kala hantar tugasan pada waktu malam di rumah pensyarah berkaitan (kelihatan tidak sopan, namun begitu itulah situasinya di sana). Pada hari minggu ingin pinjam buku pensyarah, terus ke rumahnya, begitu tidak janggal yang cukup berbeza di Malaysia.

Di Malaysia, saya mengenali seorang pensyarah yang juga cukup saya hormati iaitu Prof. Dr Lukman Z. Mohamad yang kini bertugas di UNiSZA Terengganu. Sangat bersahaja dan mudah mendapatkan pandangan.

Mengenali para pensyarah ini tentu berbeza. Semuanya pengalaman. Tiada mereka, walau pahit sekalipun pengalaman bersamanya, tiadalah keindahan warna--warni pandangan mata kita terhadap dunia yang penuh mencabar ini. Bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana mempertemukan kita dengan kepelbagaian jenis manusia yang ada. Semoga semua guru dan pensyarah saya diredhai dan dirahmati selalu. Bagi saya sendiri, tidak pernah terkeluar dari mulut dan sanubari untuk menganiaya para pelajar. Jangan mengeluh, teruslah melangkah! Di hujung sana terdapat pelangi yang indah.

Wednesday 1 April 2020

Story about 'Budak' Usuluddin dan 'Budak' Syariah


😍Story kali ini adalah tentang saya, pelajar Usuluddin dalam bidang Perbandingan Agama dan teman-teman yang bertiga itu dari Fakultas Syariah dalam bidang Ahwal Assyakhsiah.💖Dari Kuala Lumpur, kami merantau ke Indonesia. Pada waktu itu, masih ramai yang beranggapan di Indonesia banyak pengamal ilmu hitam, sedangkan saya sendiri, tidak terfikir dan kurang mempercayainya. Walau pun ketika di sana, kami tetap menjaga tutur, adab, agar tiada sesiapa yang tersinggung, manalah tahu sekiranya berlaku sebaliknya, maka sampailah ilmu hitam di rumah kami. Namun, orang Indonesia ini sama sahaja seperti orang Malaysia. Kita baik, maka dia pun baik. Kalau kita berlebih-lebih, maka tidak mustahil, antara kami bermastautin di sana, tidak pulang-pulang ke Malaysia, gara-gara sudah berkahwin dengan orang tempatan. Orang Indonesia ini, khususnya di Pekanbaru, sekiranya anda tidak cekal, anda mudah 'jatuh hati' dengan tutur kata dan cara mereka melayani kita, tambahan kalau lelaki, saya sebagai perempuan, berasa mudah untuk mempercayai mereka. Lagi pula, saya sendiri suka kepada orang yang pandai menyusun dan menutur kata. Huh, indahnya!

Kami telah menuntut di Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, (UIN SUSKA) Pekanbaru, Riau, tinggal di rumah kontrakan (rumah sewa) di Jalan Cendrawasih, Sukajadi. Pada awalnya, kami hanya berjalan dalam 10 minit atau kurang untuk ke kampus, kerana keluar sahaja dari pintu pagar rumah sudah kelihatan pagar kampus😇 Tinggal di Sukajadi, tempatnya strategik. Nak ke mana-mana semua hampir. Kemudian, UIN telah membuka kampus baharu terletak di Panam, perjalanan dari rumah hampir satu jam dengan menggunakan ANGKOT (angkutan kota) dengan tambang pada waktu itu Rp2000-3000 kalau tak salah, maklumlah saya di sana pada tahun 2004 hingga 2006. Sudah lama kali! (Cuba baca dalam mother tongue Indonesia😁)

Rupanya saya kembali lagi ke sana, atas urusan KUIM dan Program Mobiliti Pelajar pada tahun 2018. Datang sebagai alumni yang sudah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di KUIM. Dulu, datang untuk menuntut ilmu. Hidup ini betul-betul ajaib dan indah!

Kini mereka, Ina dan Jill berkhidmat di dalam bidang perundangan syariah di Malaysia dan bagi sahabat di Indonesia, Ratu Ayu Rahmi juga di dalam medan perundangan syariah. Kalian semua tetap dalam ingatan. Semoga kalian berbahagia sejahtera walau di mana jua berada. Semoga Allah sentiasa menaungi kalian.😍

Dulu tak makan, sama-sama tak makan. Ada duit, dikongsi bersama-sama. Lumrah anak siswa. Mee segera itu makanan rutin ku, kini gastrik menjadi temanku. Saya tidak hairan, anak-anak kini belajar tidak cukup wang atau perlu berjimat, bagi saya itulah kehidupan. Bukan senang untuk senang, tanpa pengorbanan tiada kejayaan dan kepuasan yang akan dikecapi. Prinsip saya mudah. Hingga kini saya berpegang prinsip itu. Duit banyak digunakan untuk membeli buku, Masya Allah, Syukur, bukunya bisa dibaca digunakan hingga sekarang, Buku di sana sangat banyak dan murah. Tidak mustahillah kalau saya ke Indonesia untuk melancong, hanya buku yang saya beli berbanding benda lain. Alhamdulillah. Selain itu, antara kos yang agak banyak perlu digunakan ialah kos visa pelajar, tiket pulang-pergi ke Malaysia-Indonesia (walaupun masa itu hanya naik kapal di Sungai Riau ke Bandar Hilir Melaka dengan perjalanan 6 jam iaitu 4 jam laluan sungai dan 2 jam di laut Selat Melaka).

Aktiviti malam minggu di Pekanbaru pula sangat unik, terdapat beberapa cerita yang sangat lucu yang kami rasai dan nikmati bersama. Naik motor bertiga, viva tesis ku di Kampus Panam yang mengambil masa hampir satu jam dengan motor Ayu sambil bawa beg buku yang besar (di sana perlu bawa bukti buku yang digunakan sebagai rujukan, tambahan pula waktu itu internet belum jadi kewajipan dan susah untuk dicapai), pernah ke konsert dangdut (jauh dari stage nontonnya, sambil melihat gelagat orang di sana), selesai sahaja viva (viva di Indonesia sebut Munaqasah), saya menonton drama Cina (Taiwan) beratus episod (reward pada diri sendiri yang sangat dahsyat) dan banyak lagi. Drama Mars (pelakon utama dari Kumpulan F4).


F4 ini popular pada ketika itu dengan drama Meteor Garden (tetapi saya tak tengok pun), mungkin anda masih ingat lagu ini, Can't Help Falling in Love.


Love Storm ini betul-betul memberi kesan kepada saya, sehingga sekarang terasa lagu ini enaq di dengar.

Mungkin saya akan berkongsi lagi tentang mereka ini, yang sama-sama menekuni pelajaran Ijazah pertama kami di Indonesia. Belajar dan air mata tidak dapat dipisahkan.
Terima Kasih Tuhan,
Terima Kasih teman-teman.
Terima Kasih Indonesia (ketika itu yuran pengajian ditanggung sepenuhnya oleh Departemen Agama Indonesia).
Terima Kasih Malaysia (melalui Konsulat yang ada di Pekanbaru menjaga keselamatan dan kebajikan kami).
Terima Kasih Ibu Ayah, kerana memberi peluang kepada kami mengenali dunia.
Terima Kasih Bapak-Bapak Ibu-Ibu Dosen yang mencurahkan ilmu kepada kami.

Monday 30 March 2020

Coretan Seorang Calon Doktor Falsafah

Let's be Passionate & Ambitious! Metafora Ombak dan Pantai

Mencari ilham dan suntikan semangat untuk disematkan di otak dan di hati tidak semudah metafora menyerapkan hempasan ombak pantai ke pasir pesisir pantai. Sekali ombak datang, sekali serap dan begitulah berkali-kali sehingga sekiranya ada tebing maka terbentuklah tebing dek hempasan ombak tersebut. Kehebatan ombak tidak dapat dinafikan juga, sekali dihempas ke laut, ketika musim bah, menggerunkan juga! Walau apa pun, ombak sangat penting kepada pantai. Begitu juga diri kita terhadap persekitaran, baik orang, geografi, alam, suasana tempat kerja, bos, dan sebagainya sangat memainkan peranan dalam mempengaruhi emosi dan pemikiran yang membentuk tindak-tanduk kita. Kalau terkena musim banyak kerja, maka muncullah ombak besar, kadang-kala habis sebuah kampung mahupun negara sepertimana berlaku kepada Acheh. Untuk kembali menjadi ombak yang 'baik' dan 'santun', pantai juga perlu dalam keadaan tenang.

Bagi saya yang telah hampir hilang semangat ibarat mencari sinar di dalam lubang/gua yang gelap gelita. Ibarat di lautan yang tidak bertepi, tiada nampak lagi daratan untuk singgah. Kini, hanya bergantung kepada doa. Seseorang pernah berkata kepada saya tentang doa, benar, saya muslim. Saya percaya kepada qada' dan qadar. Tetapi kalau sekadar berdoa, langsung tiada usaha dari hambaNya, agaknya layakkah berada di pentas konvokesyen? Memahami konsep doa bukan sekadar mengangkat tangan memohon dapatkan status Dr. Perlukan semangat dan motivasi yang tinggi beserta sokongan dari pihak universiti dan juga tempat kerja. Namun, saya bukan memberi alasan. Ujian kita berbeza, anda diberi ujian lain, saya diberi ujian sehingga terlupa di mana semangat saya.

Sistem dan teknikal di universiti memberi banyak impak ke atas diri saya. Tambahan pula, banyak kejadian dan peristiwa yang menyakitkan yang berlaku sepanjang pengajian. Perlukah saya menjaja dan sebarkan keseluruhan cerita yang saya lalui. Anda tidak berada di tempat saya, you are not in my shoes! Pasti setiap orang akan berkata sedemikian. Saya bukan mengeluh tidak tentu fasal dan bukan juga mechanism helah bela diri.

Dalam masa yang sama, saya juga belum ada kemahiran membayar atau mengupah pembantu untuk memudahkan kerja-kerja saya. Memang ada kawan-kawan saya begitu. Bukan saya tiada duit, tetapi tahap pencapaian dalam mencari ilmu tiada kepuasan dalam diri saya. Dan, saya tidak bercadang pun untuk membayar sesiapa bagi memudahkan kerja-kerja saya. Gara-gara saya mengupah pembantu, saya dapat konvo pada waktu yang ditetapkan, saya dapat status Dr., saya dapat naik pangkat...Tiba-tiba, ada suara yang mengatakan, "tanpa saya, mungkin dia tidak konvo-konvo, atau tidak berjaya sama sekali". Sakit telinga kita nanti, kalau hati anda keras dan tidak tahu malu, tiada masalah. Tetapi saya bukan jenis begitu.

Segenggam Tabah INTEAM

Dalam tempoh yang diberikan ini, Allah mengurniakan sesuatu yang tidak ketahui hikmahnya, Allah Yang Maha Perahsia, tidak sedetik pun kita ketahui apakah yang ingin diberikan kepada hamba-hambaNya...

saya cuba memupuk semangat itu,
mencari kata-kata semangat,
mengingatkan kembali apa yang perlu saya lakukan,
mencatat dan menyenaraikan perkara yang saya perlu buat,
membuang perasaan dan perkara yang mengingatkan kepada perkara-perkara yang negatif,
menyusun strategi kembali,
menyemat cita-cita, untuk ibu ayah, keluarga, agama, masyarakat dan negara,
membantu masyarakat kelak, dapat membina hubungan dengan Allah melalui bantuan kepada manusia demi menyeimbangkan alam,
keperluan menjaga akal dan agama,
menambahkan pengetahuan,
semoga semakin banyak dipelajari, semakin menunduk ke bumi,
semakin bertambah rasa 'hamba' kepada Tuhan,
semoga dapat membantu para anak didik demi masa hadapan,
semakin meningkat taraf hidup, semakin mudah membantu orang lain menaikkan taraf hidupnya juga.
Laksana ombak memerlukan pantai. Tiada Pantai Siapalah Ombak!

Musim 'berkurung' di rumah, tidak puas menonton Legally Blonde (Reese Witherspoon) je.. Sudah berpuluh kali menonton tetapi masih lagi tetap menunggu... Sangat termotivasi pula dari movies ini😍💖 So, antara OST dalam movie ini, We Can by LeAnn.

Yes, I can!
And you, just wait!

Hilary Duff
Someone's Watching Over Me

Antara lyrics... So I won't give up, no I won't break down
Sooner than it seems life turns around
And I will be strong even if it all goes wrong
When I'm standing in the dark I'll still believe
Someone's watching over me


Ketika belajar di Indonesia pada tahun 2004 dahulu, Hilary Duff popular pada ketika itu dan saya sangat meminatinya dahulu. Apabila menonton video klip ini, terasa bersemangat pula. 
Sungguh mengimbau!

Pesisir Pantai Alor Gajah Melaka Lokasi Pelancongan Kawasan Kampung Yang Menarik

Ketika ini saya sedang menjalankan kajian tentang kawasan tempat saya bermastautin iaitu Daerah Alor Gajah. Alor Gajah merupakan salah satu daerah di Melaka selain daerah Melaka Tengah dan Jasin. Alor Gajah merupakan lokasi yang bersebelahan dengan Laut Selat Melaka.

Lokasi kajian saya lebih spesifik ialah kawasan pesisir di dalam daerah ini. Di sini terdapat banyak lokasi pelancongan. Walau tidak secantik kawasan pesisir di sebelah Laut China Selatan, anda dapat merasai perbezaan yang tersendiri seperti dapat menikmati kawasan pantai yang tidak jauh dari lokasi bandar, sekiranya anda bekerja di sebelah selatan mahupun di tengah bandar kota, Kuala Lumpur. Di sini anda dapat menyewa chalet atau homestay yang menyediakan kelengkapan barang dapur mahupun datang berehat semata-mata.

Ketika saya mula-mula ke Kuala Sungai Baru ini, masih belum banyak kedai makan di tepi-tepi jalan, namun sekarang anda dapat menikmatinya baik masakan Thai mahupun tempatan dengan penyediaan lauk hasil laut seperti udang, ketam, sotong dan ikan-ikan yang segar.

Di sekitar sepanjang jalan pesisir ini, anda tidak akan kecewa kerana telah ramai ahli komuniti di sini telah bergiat sebagai usahawan tempat penginapan. Anda akan dapat menginap dengan cara hidup orang kampung di sini dengan pelbagai jenis rumah atau bilik yang disediakan. Malah sekiranya anda ingin terus mencuci pakaian, di kawasan Kuala Sungai Baru dan kawasan Sungai Baru Ilir banyak menyediakan tempat mencuci pakaian 'self service'. Kedai Speedmart juga terdapat di kedua-dua lokasi ini. Malah sekiranya anda tiba setelah lewat malam, di Kuala Sungai Baru ada Seven Eleven bagi mendapatkan makanan atau barang keperluan. Bagi pengunjung yang ingin ke ATM, di Kuala Sungai Baru terdapat Bank Simpanan Nasional dan di Kolej Universiti Islam Melaka terdapat ATM Bank Islam. Malah sekiranya anda ingin berkunjung ke Masjid Tanah, di situ terdapat semua kelengkapan dan keperluan yang anda inginkan.

Sebahagian besar penduduknya merupakan nelayan dan pengusaha baik secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran. Seperti menjual air atau buka meja jual ikan hasil tangkapan laut di tepi jalan, sehinggalah mengusaha chalet atau homestay.

Selain itu, kawasan Kuala Sungai Baru ini mempunyai banyak kawasan pelancongan yang lain.
©FarrahKUIM

Justeru itu, bagi pelajar atau staf dari KUIM, sentiasa dihidangkan dengan pelbagai aktiviti dan makanan yang segar. Kurang tekanan kerana lokasi pedalaman yang tidak terdedah kepada banyak ancaman atau jenayah. Masih dalam suasana yang tidak merbahaya, namun walau di mana kita berada perlulah sentiasa berhati-hati. Bila-bila masa sahaja jenayah boleh berlaku. Walau bagaimanapun, sekiranya itu terjadi, di kawasan pantai, Pengkalan Balak, terdapat Balai Polis terdekat. Malah Angkatan Pertahanan Awam juga sentiasa stand by di kawasan pantai. Lokasi Klinik Kesihatan juga tidak jauh dari kawasan pantai sekiranya anda memerlukan ambulans. 

Selamat Datang ke Kuala Sungai Baru di Daerah Alor Gajah!😍

💘🎕Sekiranya anda dari laluan Port Dickson, anda akan melalui Pekan Tanjung Agas, Jambatan  Linggi, Akademi Laut Malaysia, dan seterusnya akan melalui Kolej Universiti Islam Melaka. Jemput Singgah masuk ke dalam untuk melihat-lihat kawasan kami. Mungkin boleh ke Masjid al-Ilmi untuk solat.

Tuesday 24 March 2020

Seiring Sehaluan, Terima Kasih Segalanya

Seiring Sehaluan UNIC



Terima Kasih Segalanya
HIJJAZ


Hidup ini begitu banyak memberi makna kepadaku.

Semoga kalian yang tersemat dihatiku, sentiasa dirahmati, diberkati, di dalam lindungan Allah, dipermudahkan segalanya di dunia dan akhirat.


💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕



Anda pernah dengar KUIM

Kami menyediakan pelbagai program pengajian.
Boleh hubungi saya untuk keterangan lanjut (boleh terus ke pautan, saya akan respon anda dengan kadar segera). 

Monday 23 March 2020

Pembentangan di UNILAK, Riau Indonesia

Ketika saya membentangkan kertas kerja Budaya Lokal Penyumbang Gelandangan di Malaysia, di Riau, Indonesia pada tahun 2017 telah mendapat liputan dari halloriau.com dan Tribun Pekanbaru.com. Namun begitu, terdapat beberapa ketidaktepatan maklumat terutama nama pembentang. Nasib nama saya betul kecuali ada penambahan OK di hadapan nama saya yang sebenar. Lucu sungguh, tapi comel!


Terasa macam adik bongsu pada waktu ini. 
Baru merangkak mencari setitis ilmu di lautan yang luas. 😇💓


 Ketika pembentangan diajukan pandangan bahawa mereka akan menantikan pembentangan kertas kerja yang akan datang bagi mengetahui keadaan semasa gelandangan di Malaysia.


Sesi bergambar dengan keluarga pimpinan UNILAK Riau Indonesia.

Pengalaman yang cukup berharga. Terima Kasih kepada Naib Canselor KUIM pada ketika itu, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora kerana telah memberi peluang kepada saya selaku staf akademik bagi menimba ilmu dan meluaskan pengalaman.

Sunday 22 March 2020

Cara Atasi COVID-19 ialah KEBERSIHAN


Ramai yang beranggapan kehadiran COVID-19 ini adalah hampir dengan Kiamat dan tanda-tanda akhir zaman. Kalau kita masih ingat, Rasulullah s.a.w. pernah menggambarkan usia dunia ini pada ketika Baginda masih hidup waktu itu, gambaran dunia ini seperti seorang tua yang sudah bongkok. Bukan hari ini patut kita sedari, namun sudah sejak sekian lama.

Kisah wabak, bukan sahaja sudah banyak dijelaskan, namun di Malaysia kehadiran wabak ini merupakan satu perkara baharu dalam sejarah. Walaupun sebelum ini sudah ada wabak, namun tidaklah seserius kali ini yang terjadi pada tahun 2020.

Perkara pokok yang saya pelajari ialah tentang kebersihan. Ramai yang mengambil sambil lewa dengan soal kebersihan. Di musim beginilah, para peniaga sibuk pula melariskan perniagaan hand sanitizer. Sebelum ini, sabun di tandas dan kawasan umum jarang malah tidak diletakkan sabun. Kadang, kita sendiri kurang menjaga soal kebersihan.

Sebelum itu, mari kenali Apa itu COVID-19? (Sumber poster dari laman web KKM)


Ringkasan dari artikel yang saya nyatakan di ruangan bawah sekali.

🔎Cara transmisi COVID-19 ialah:
👉Berdasarkan penemuan penyelidikan genetik dan epidemiologi, cara penghantaran (transmission) bermula dari haiwan kepada manusia dan manusia kepada manusia secara berterusan.
👉Penularan berlaku melalui titisan pernafasan dan hubungan interaksi.

😨Biasanya 5 ke 6 hari sudah boleh dilihat simptom atau gejala wala bagaimanapun terdapat bukti sehingga 14 hari sepertimana yang dihebahkan kepada kita.

😷Orang yang berisiko tinggi adalah orang yang berada di hospital kerana pengalaman Wuhan, China yang paling ramai terkena jangkitan adalah pekerja di hospital dan pesakit yang memang sedia ada di hospital dengan penyakit yang lain.

Tiada sesiapa berkecuali terhindar dari terkena sebaran jangkitan ini.


Kaedah yang dapat dijalankan untuk masa sekarang ialah;
☝mengawal punca/sumber jangkitan
☝gunakan pencegahan
☝kawalan jangkitan
💪sebagai langkah untuk mengurangkan risiko sebaran/transmisi jangkitan.






Di China, antara simptom yang dialami pesakit ialah;
✔demam
✔batuk
✔sesak nafas
✔keletihan
✔sakit otot
✔sakit kepala
✔sakit tekak
✔cirit-birit
✔muntah
✔radang paru-paru

Yang lebih serius; (ICU)
❗gangguan pernafasan (acute respiratory distress syndrome)
❗arrhythmia
❗shock

Orang yang berusia dan sedia ada penyakit seperti diabetes, hipertensi dan jantung juga dikaitkan mudah dijangkiti.


Perkara yang paling untuk kritikal untuk mengurangkan risiko pemindahan mikroorganisme kepada pesakit ialah kebersihan tangan. Virus ini boleh bertahan pada permukaan untuk beberapa jam sehingga beberapa hari bergantung kepada jenis permukaan, suhu atau kelembapan bilik/persekitaran. Kajian ini dijalankan ke atas klinik pergigian maka sekiranya ada pesakit pernah mengunjungi kawasan/kedai dan sebagainya, cara yang paling sesuai ialah membersihkan tangan untuk pembasmian kuman. Dengan demikian, mereka disarankan intik menggunakan peralatan pelindung diri seperti topeng muka, sarung tangan, gaun rawatan, cermin mata, perisai muka bagi mengelak terkena kepada permukaan kulit melalui rembesan yang dijangkiti.

Topeng muka N-95 yang paling sesuai disahkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.
Dalam tempoh ini, mereka dapat mengurangkan malah sifar pekerja yang dijangkiti dengan mengamalkan kaedah yang telah dinyatakan.

Artikel yang saya telah baca adalah seperti berikut:  
L. Meng, F. Hua & Z. Bian. (2020). Coronavirus Disease 2019 (COVID-19): Emerging and Future Challenges for Dental and Oral Medicine. Journal of Dental Research, 1-7.
Wim De Ceukelaire & Chiara Bodini. (2020). We need strong public health care to contain the global Corona Pandemic. International Journal of Health Services, 0(0), 1-2.
Yi Fan, Kai Zhao, Zheng-Li Shi & Peng Zhou. (2019). Bat Coronaviruses in China. Viruses, 11, 1-14.

Credit to my sis, Dr. Fadz from UMK sharing this for me!😉💓💯

KEBERSIHAN ATASI COVID-19

Kembali kepada soal kebersihan, banyak pelajaran dan pembahasan di dalam Al-Quran dan Hadis. Namun begitu, kebanyakan orang kurang menitikberatkan soal ini. Hanya tahu mengata orang, orang itu pengotor dan sebagainya, sedangkan kita sendiri juga tidak menjaganya.

Dalam surah Al-Muddastsir: 4, "Dan pakaianmu, bersihkanlah". Setiap kali kita keluar rumah, perlulah membasuhnya, bukan diperap sehingga sekian lama. Akhirnya meninggalkan habuk dan bau yang tidak disenangi di dalam rumah. Kemudian sebaran berlaku ke dalam seluruh rumah.

Kemudian dari surah Al-Furqan:48, "dan Kami turunkan dari langit air yang suci". Sesuai dengan apa yang berlaku, jangkitan ini dikatakan tidak berlaku sekiranya tahap penjagaan yang baik dilakukan antaranya dengan sentiasa membasuh tangan yang betul iaitu menggunakan sabun.

Dijelaskan lagi di dalam surah Al-Baqarah: 222, "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri". Dalam hal ini dapat difahami, Allah menyukai orang yang bersih luaran dan dalaman seseorang.

Ayat yang popular, Kebersihan itu sebahagian daripada iman (Hadis Riwayat Muslim dalam soal thaharah). Jarang kita fahami dengan baik. Hanya sekadar simbahan air sahaja, tetapi dalam soal yang lain tidak kita hiraukan. Baik dari kebersihan gigi, telinga, kaki, makanan yang dimasukkan ke dalam badan kita (hanya tahu dari sumber yang halal, tetapi tidak pertimbangkan kuantiti yang sesuai untuk badan seseorang), hanya mahu sabun yang wangi tetapi cara basuh baju tidak dibilas sehingga hilang buihnya (boleh jadi meninggalkan habuk yang banyak ke dalam benang baju boleh menyebabkan alergi dan apa-apa sahaja yang tidak nampak pada mata kasar).

Mungkin kita terlalu berfokus kepada kecantikan bukan kebersihan. Dalam soal kecantikan/keindahan, Nabi pernah bersabda, Allah itu indah dan Dia sangat menyukai keindahan dan Dia sangat menyenangi kebaikan maka bersihkanlah dan janganlah kamu meniru-niru kelakuan Yahudi.
Konsep menjaga kebersihan ini termasuk di dalam Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa. Kalau kita tidak bersih baik dalam apa perkara sekalipun, maka akan memberi kesan kepada kita. Sebenarnya, sekiranya ditelusuri, apa yang berlaku kini, boleh dikaitkan dengan seluruh perkara Maqasid Syariah ini, seperti tidak keluar rumah (supaya tidak menyebarkan atau dijangkiti) dan menjaga kebersihan diri dan alam sekitar (kawasan tempat tinggal, tempat makan, tempat bekerja, tempat ibadah dan sebagainya). Malah boleh juga dikaitkan dengan hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia dan hubungan dengan alam. 

Sekiranya masih ramai kumpulan tabligh masih belum mengambil tanggungjawab untuk menjalankan rawatan atau tidak melaporkan diri untuk melakukan ujian saringan kesihatan kepada pihak berkuasa/KKM, anda sebenarnya belum melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang baik, belum memahami Islam dengan baik! Ayuhlah ke depan, memudahkan urusan pihak pemerintah juga tanggungjawab kita sebagai Muslim dan Mukmin. Semoga anda diberi kecerahan hati untuk mengatasi masalah ini di negara kita. 

Sama-sama kita fahami dan berfikir. Segala di hadapan mata kita, semua di sekitar kita, adalah ILMU. Semoga COVID-19 ini memberi kita manfaat dan pelajaran. Wallahu a'lam.

Apabila orang biasa bercakap duduk rumah, selain membaca dan menulis, rasa nak bercakap saja.

Friday 20 March 2020

Sore di Tanjung Tuan (Cape Rachado), Melaka

Bermastautin di Melaka khususnya di Kuala Sungai Baru bukanlah suatu perkara yang mustahil. Kawasan pedalaman ini sudah jauh beza pada ketika saya baru sahaja lapor diri di sini pada tahun 2010 yang lalu. Sebuah pekan kecil yang kadang-kala digelar pekan 'cowboy' sangat sukar untuk mendapatkan keperluan seharian malah bank juga belum ada di pekan ini. Namun semakin hari, Kuala Sungai Baru semakin dikenali malah pada hari minggu atau musim cuti sekolah atau cuti umum, pekan ini tidak sunyi dan sangat ramai pengunjung yang rata-rata dari kota yang ingin merasai kenikmatan suasana kampung dan makanan laut yang segar dengan harga yang cukup murah.

Namun, dalam artikel kali ini, saya berfokus kepada lokasi tanjung yang terletak luar dari Kuala Sungai Baru, namun masih di dalam daerah Alor Gajah. Lokasi Tanjung Tuan ini terletak paling hujung dalam kawasan daerah Alor Gajah. Malah dalam laluan darat sudah terpisah dengan daerah Port Dickson.

Anda boleh lawati laman web ini untuk keterangan lebih lanjut.

Tanjung ini mempunyai banyak keunikannya antaranya terdapat Rumah Api, puncak Batu Putih, kawasan laluan persinggahan burung pada musim-musim tertentu yang kebanyakannya adalah helang. Pelbagai jenis helang yang akan singgah, malah pada waktu itu, di kawasan ini seperti pesta kepada peminat burung yang datang dari pelbagai negara. Namun begitu, maklumat dari MPPD menyatakan bahawa terdapat 54 spesis (300 000 burung). Banyakkan? Menarik, anda sendiri boleh datang mengunjungi pada musim itu!

Selain dapat beriadah laluan jalan berturap, terdapat laluan hutan yang berbukit dan memerlukan kekuatan fizikal. Bagi mereka yang beginner, Tanjung Tuan ini sangat sesuai untuk latihan stamina kerana dengan berjalan kaki lebih kurang 20 minit sahaja naik dan turun (tanpa berhenti) melalui laluan berturap. Bagi yang gemarkan cabaran, bolehlah menggunakan laluan hutan dan naik ke puncak Batu Putih atau turun ke pantai.


               Haiqal dan Fir menikmati waktu petang yang sangat indah di Rumah Api.😎

Bagi pelajar KUIM, mereka kebanyakan gemarkan aktiviti sebegini untuk kekal sihat dan produktif. Perjalanan dari KUIM ke Tanjung Tuan kira-kira 30 minit (kereta) dengan melewati jambatan Linggi dan pekan Tanjung Agas.

 Kemudian, ke Puncak Batu Putih pula!😊


Mereka adalah antara pelajar dari Ijazah Sarjana Muda Perundangan Syariah, Fakulti Undang-Undang dan Governan. KUIM Pilihan Bijak.

Lawati laman web ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang Kolej Universiti Islam Melaka.



#KUIMPILIHANBIJAK

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...