Friday 8 October 2021

JURNAL TUAH KUIM - JOM HANTAR ARTIKEL BIDANG SEJARAH & KETAMADUNAN!

 Jemputan menulis di Jurnal Tuah

Di KUIM, anda boleh menghantar artikel mengikut kepakaran dan bidang masing-masing kerana terdapat 10 jurnal antaranya bidang Sejarah/Ketamadunan, Sains Sosial, Pengajian Islam, Pendidikan, Hospitaliti, Kesihatan, Undang-undang, Perniagaan dan lain-lain.
Jemput lawati Portal Jurnal kami di KUIM Open Journal System
(Penerbit KUIM).
Jurnal Tuah merupakan jurnal di bawah Institut Ketamadunan Melaka - TUAH KUIM. Hubungi kami segera sekiranya berminat.

Monday 4 October 2021

DI MANA PILIHAN UNIVERSITI AWAM BIDANG PENGAJIAN ISLAM (PhD)?

Sekarang saya dalam proses memilih universiti mana yang ingin saya daftarkan untuk untuk menyambung PhD saya yang telah terhenti sebelum ini.

Saya telah membuat senarai keperluan untuk bergraduat bagi 3 universiti yang saya pilih untuk daftar dalam bidang pengajian Islam:

1. UTM - jumlah yuran RM 18 350 (ranking universiti di Malaysia No. 5)

Penerbitan: 1 artikel / 2 artikel dalam prosiding/konferens berindeks / accepted : SCOPUS / ERA /WoS.

Kelas/kursus yang perlu dihadiri: 

1) Metodologi Penyelidikan

2) Kursus yang berkaitan.

Sekiranya, selepas 4 semester bersedia untuk viva, perlu telah selesai terbitkan2 kertas kerja dalam jurnal antarabangsa berwasit.

2. UM - jumlah yuran RM 18 632 (ranking universiti di Malaysia No. 1)

Penerbitan: 

1) Buku - terbitan - Thomson Reuters, WoS, Penerbit UM, DBP, yang diiktiraf PTJ.

atau

2) 2 jurnal berwasit

A - Jurnal indeks (SCOPUS, ERA)

B - Myjurnal

C - Bab dalam buku (2 bab dalam buku berlainan) - Thomson (WoS), DBP, UM, yang diiktiraf PTJ.

Kelas/kursus yang perlu dihadiri: 

1) Metodologi Penyelidikan

Semasa saya membaca buku program/peraturan universiti, UM adalah universiti yang tidak membenarkan mendaftar di universiti lain selagi mana masih bergelar pelajar UM. Poin ini adalah bagi mereka yang ingin menyambung di dua tempat / dua program pada satu-satu masa yang sama. 

Pendaftaran Serentak (1) Seseorang calon ijazah tinggi tidak dibenarkan mendaftar serentak untuk program pengajian lain yang membawa kepada sesuatu penganugerahan ijazah, diploma atau sijil di Universiti ini atau di universiti lain.

3. UKM - jumlah yuran RM 17 400 (ranking universiti di Malaysia No. 3)

Penerbitan: 3 artikel berindeks accepted SCOPUS / ISI.

Kelas/kursus yang wajib dihadiri: 

1) Bahasa Arab

Walau apapun, saya tidaklah menyenaraikan nama dan bidang kepakaran pensyarah/penyelia yang dicadangkan di fakulti berkenaan.

Setiap universiti mempunyai kelebihan yang berbeza-beza. 

Kalau saya, tidak bergantung kepada pandangan orang. Sebab bagi saya memilih penyelia adalah sangat subjektif. Penyelia adalah manusia, layanan dan hubungan antara manusia itu berbeza.

Bagi sesetengah ahli akademik berpandangan bahawa untuk memudahkan seseorang pelajar itu mudah untuk lulus atau melancarkan segala urusan, perlulah melihat kepada syarat untuk bergraduat dan karenah birokrasi.

Semoga artikel ini membantu para rakan-rakan yang ingin sambung PhD di universiti yang telah saya ringkaskan.

Friday 10 September 2021

TUGASAN VIDEO PELAJAR KUIM DI YOUTUBE

Saya mempunyai akaun youtube bagi berkongsi contoh-contoh video yang boleh ditonton dan menjadi panduan kepada para pelajar untuk mencipta tugasan masing-masing.

Zaman ini, hampir semua pelajar mampu menyediakan tugasan berbentuk digital, hanya yang menjadi kekurangannya adalah dari segi kandungan / isi yang ingin disampaikan.

Banyakkan membaca dan mencari maklumat, Insya Allah tugasan akan menjadi yang terbaik malah barakah kerana telah berkongsi ilmu kepada orang yang menontonnya juga.

Lawati Channel Youtube saya : Channel Youtube Farrah KUIM

CADANGAN INOVASI SEMINAR KEBANGSAAN SAINS SOSIAL 3.0 KUIM (MODEL KELUARGA POLIGAMI BAHAGIA)

Saya hantarlah juga video yang berkaitan dengan kajian yang telah dijalankan sebelum ini. 

Kajian ini berkaitan dengan keluarga poligami. 

Perlu difahami terlebih dahulu, saya tidaklah mencadangkannya, tetapi saya menyediakan panduan ini untuk keluarga yang akan dan telah berpoligami. 

Bukan galakan atau menidakkan, tetapi berdasarkan apa yang berlaku di dalam realiti masyarakat. 

Semoga kajian ini bermanfaat.



Tuesday 10 August 2021

TERKESAN COVID-19 - TANGAN DI BAWAH LEBIH BANYAK

Di musim COVID-19 ini, sangat popular istilah 'TERKESAN'.

Musim ini menjadikan ada orang yang memerlukan barang/duit, namun ada juga yang ingin memberi.

Dalam hal ini, menjadikan rakyat Malaysia terbiasa dengan meminta-minta. Mungkin juga ada yang suka memberi (kerana sekarang ramai jutawan).

Saya lebih suka kepada metafora memberi pancing berbanding memberi ikan.

Adakah masyarakat Malaysia tidak belajar cara menangani apabila perlu tempuhi waktu kecemasan? 

Mungkin juga tidak sempat untuk bangkit memandangkan tempoh berkurung terlalu lama. Banyak kemungkinan, hanya pakar dalam bidang sahaja yang boleh memberi jawapan berdasarkan apa yang sedang berlaku.

Walau bagaimanapun, perlu kita berfikir apakah hikmah-hikmah yang Allah ingin berikan, apakah dosa/kesilapan yang pernah kita lakukan..

Jangan sehingga tiada wang langsung apabila tiba musim seperti ini, ada yang meninggalkan anak-anak, ada yang meninggalkan isteri dan anak, yang masing-masing tiada punca pendapatan. Kesemuanya adalah diluar jangkaan kita sebagai manusia.

Cukup kasihan!

Marilah kita berusaha, memberi makanan, persekitaran, cara hidup yang sihat. Allah pun menyuruh kita berusaha, menjaga kesihatan, berjimat-cermat, menjaga kebersihan, jangan berlebihan dalam berhibur dan sebagainya.

Ingatlah, ini adalah peringatan dari-Nya.

Tunduklah, sujudlah, moga Allah mendengar rintihan kita semua.

Monday 9 August 2021

USAHAWAN TULAR 'Sombong dengan Gelandangan'

Saya ketika membentangkan artikel gelandangan di Riau, Indonesia. 
(Gambar bersama teman-teman Indonesia merupakan 
pensyarah/dosen dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau - UINSUSKA).


Berkaitan dengan berita seorang usahawan yang seolah-olah memperlekehkan seorang gelandangan beberapa hari yang lalu telah menyuntik keinginan saya untuk berkongsi.

Lazimnya di zaman sekarang, ramai sudah mula ada kesedaran dan sudah pandai memulai perniagaan dan berusaha bangunkan diri sendiri tanpa mengharapkan 'makan gaji' semata-mata.

Malah, kalau kita lihat di Malaysia, usahawan khususnya usahawan makanan, pakaian (tudung/baju dan sebagainya) dan kosmetik ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Tambahan pula, usahawan juga sudah kenal pasti apa yang menjadi kegemaran dan minat masyarakat. Lazimnya, kebanyakan orang suka dengan produk makan dan cantik. Apabila mula menjual sahaja, usahawan akan menjadi Orang Kaya Segera. Boleh jadi juga harga yang dijual mengalahkan produk yang telah lama di pasaran dan sah dari segi pengeluarannya di peringkat jabatan-jabatan tertentu.

Maka, usahawan ini semakin sombong dengan mengeluarkan produk yang tidak sah bahannya, habis-habisan mempromosikan diri sendiri sebagai 'branding', setiap hari memaparkan kehidupan masing-masing untuk menunjukkan 'kejayaan' mereka melalui hiasan, perabot rumah, kenderaan dan makanan yang dihidangkan. 

Dalam hal ini saya melihat bahawa kita mudah berasa 'berjaya'. Apabila kaya, kita rasa berjaya. Dalam keadaan itu, kita sering lupa bahawa rezeki itu ada tuan empunya. Dimana pula letaknya Allah sebagai tuhan yang mencipta segala sesuatu?

Apabila kaya, sudah berasa diri boleh menjadi pakar rujuk. Sedangkan menyusun ayat belum tentu ilmiah, melontar kata-kata belum tentu berfikir dahulu, bertindak belum tentu menggunakan hati dan akal... Apabila kita kaya, kita belum tentu menjadi sesiapa.

Semua orang digalakkan berusaha. Yang si miskin pun, tidak perlulah mengata si kaya. Sudahlah miskin, mengata tidak habis-habis, bila pula kamu akan maju? Begitulah, saling menuding jari.

Bagi yang mempunyai peluang menuntut ilmu, sudah ada degree master, tidak perlu lah mendabik dada bahawa kamu mengetahui segalanya. Kalau tidak pernah ke lapangan, jumpa dengan masyarakat, setiap hari di perpustakaan sahaja, juga ada kurangnya dalam bertutur, kurang pengalaman dalam urusan manusiawi.

Setiap orang ada kekurangannya. Bagi saya, tidak perlulah si kaya berlagak sombong, si miskin asyik memaki hamun (sudah lah miskin harta, jangan sampai miskin akhlak), yang si penuntut ilmu/pemegang sijil2 akademik tidak perlu cepat melatah, kenalilah masyarakat kita. Kita perlu fikir bagaimana cara untuk mempercantikkan akhlak, iman dan amal masyarakat Islam kini... Semoga Allah bantu kita semua dalam usaha mensejahterakan dunia, moga amanlah di akhirat kelak Insya ALlah.


Gambar ketika saya sedang menjalankan kajian terhadap 
gelandangan di Kuala Lumpur.


Gelandangan adalah satu isu yang serius untuk ditangani. Hal ini bukanlah boleh diatasi dengan memberi makan, menyediakan tempat tinggal dan terus dikasihani begitu sahaja. Gelandangan perlu diatasi sebelum terjadinya gelandangan, seperti mengatasi masalah dadah, rumahtangga (perceraian, pergaduhan ibu bapa menyebabkan anak lari dari rumah, anak terlibat dengan masalah sosial dan akhirnya meninggalkan rumah), dan sebagainya. Bukan senang untuk atasinya, namun kita perlu mendidik masyarakat supaya dapat mengelakkan masalah sedemikian demi mengurangkan lahirnya gelandangan di jalanan di sekitar ibu-ibu kota di Malaysia. Semoga masyarakat Malaysia tidak mengalami situasi (yang pernah dialami oleh para gelandangan berdasarkan kajian-kajian lepas) untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berdaya saing dan maju.  Setelah mereka terlibat dengan gelandangan, ibarat sudah terjatuh di dalam lubang yang gelap dan dalam. Kalau ada yang dapat keluar dari situasi itu... Maka, Insya Allah Malaysia tiada lagi gelandangan. 

Masa silam mereka bukan semua sebab mereka yang pilih, tetapi mangsa keadaan. Janganlah si kaya mengatakan "MENYESAL TAK ZAMAN MUDA KAMU BEGITU BEGINI...". Tidak tahu, belajarlah, semoga kita menjadi orang yang berilmu semasa bercakap, berfikir dan bertindak. 

Wallahu a'lam. 

Wednesday 21 July 2021

SUMBER SEJARAH MELAYU

Saya dan rakan-rakan penyelidik Institut Ketamadunan Melaka (TUAH) sedang menjalankan kajian berkaitan dengan raja-raja dan sejarah di Negeri Sembilan yang berkait rapat dengan keturunan Minangkabau yang berasal dari Pagaruyung Sumatera Indonesia.

Semasa membuat bacaan, kebanyakan maklumat dapat kita cari di jurnal ini JOURNAL OF THE STRAITS BRANCH OF THE ROYAL ASIATIC SOCIETY.

Manakala di laman sesawang ATMA UKM juga mempunyai sejumlah simpanan maklumat yang cukup banyak juga. Anda boleh lawati di link ini Pusat Rujukan Sehenti Penyelidikan Alam Melayu.

Semoga bermanfaat.

Monday 19 July 2021

DOA SEORANG PELAJAR

Saya ingat apabila sebut tentang solat hajat dan doa, teringat pernah ditegur oleh seseorang (rakan sepejabat).

Apabila saya menjelaskan tentang kedudukan status pengajian PhD saya (masa sedang menyiapkan Sarjana pun) ada yang menegur untuk melakukan solat hajat dan berdoa.

Bagi saya sendiri,  setiap ujian bagi manusia itu berbeza-beza. 

Ada orang ujiannya ke atas harta, baik kenderaan mahupun rumah atau wang ringgit..

Ada orang ujiannya ke atas keluarga yang disayangi baik anak, ibu, isteri dan sebagainya..

Ada orang ujiannya dalam masalah pembelajaran..baik mengurus masa, penyelia, teknikal universiti dan sebagainya...

Ada orang ujiannya ke atas masalah keterbatasan ilmu yang mengawal otak dan emosinya...

Ada orang ujiannya ke atas urusan kerjayanya, baik problem dengan rakan sekerja mahupun majikan..

Banyak jenis ujian.

Ada juga diuji masalah kesihatan.

Ada yang menafsirkan ujian ini sebagai balasan Tuhan. Namun, saya juga pernah mendengar kuliah bahawa ujian ini bukan balasan, tetapi untuk meningkatkan diri seseorang dan memantapkan iman seseorang.

Disinilah muncul isu redha. Nanti diikuti pula dengan isu taqwa.

Jadi, kita bukan lah penentu kepada apa yang diberikan Allah kepada seseorang. Sama-sama kita muhasabah diri. Ketika saya diuji dengan masalah di universiti, anda pula diuji dengan masalah kesihatan yang teruk. 

Perlukah saya bertanya, apakah perbuatan anda untuk balasan Tuhan ini?

Jangan berhenti menjadi seorang pelajar.

Jangan berhenti berdoa.

Berhentilah menghukum!

SEMESTER 3 SARJANA PENGAJIAN ISLAM KUIM

Pada semester ini, saya mengambil 4 kursus iaitu (1) Sejarah dan Tamadun Islam di Nusantara, (2) Al-Quran dan Masyarakat Kontemporari, (3) Seminar Kepimpinan Islam dan (4) Kaedah Penyelidikan. KUIM juga baharu sahaja melepasi audit dari pihak MQA (Agensi Kelayakan Malaysia). Bersyukur juga, pada semester lepas mendapat keputusan peperiksaan yang baik. Terima Kasih kepada guru-guru pensyarah KUIM. Walaupun sebenarnya saya berasa masih lagi banyak yang saya tidak tahu, perlu lebih banyak membaca dan mencari serta menuntut lagi ilmu ALlah yang cukup luas ini.

Bagi semester ini terasa agak berat juga. Namun perlu dicekalkan juga hati untuk meneruskan ke titik yang terakhir. 

Saya berpendapat, apabila kita suka, kita minat, tiada lagi halangan lain kecuali satu kuasa sahaja yang tidak dapat kita elak, dan dengan demikian, seringlah berdoa dan bermunajat kepada NYA agar lancar dan mudah kita harunginya hingga selesai pengajian. 

Saya pernah terbaca tulisan seorang profesor, katanya tidak pernah dilihat  orang yang belajar tidak pernah berdoa. Semoga segala usaha anda sebagai seorang penuntut ilmu juga diberkati dan dirahmati selalu. Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat!

KATA KUNCI UNTUK SEORANG PELAJAR BERJAYA IALAH USAHA + DOA + TAWAKAL.

Dari zaman sekolah hingga kini, tetap formula yang sama. Ini adalah kerana pesanan dari wahyu Allah. 

Jangan takut untuk stress demi sebuah masa hadapan yang cerah dan gemilang. Ilmu ini bukannya gunanya hanya di dunia malah di akhirat juga.

Kalaulah semua orang tahu bahawa pentingnya ILMU, rasanya semua orang akan menjadi orang yang cintakan ilmu dan sebarkan ilmu. Maka dunia ini akan terus sejahtera kerana dipenuhi dengan orang-orang alim.

Walau ilmu yang dipelajari berbeza-beza, melengkapi antara satu sama lain itu sangat baik. Tambahan pula, jarang orang kuasai banyak bidang. Dan kepakaran seseorang pun bukanlah mengetahui segalanya. 

Bagi saya, tiada perkara boleh didapati dengan mudah. Berusahalah demi sesuatu, tanpa usaha dan pengorbanan, hasilnya KOSONG!

DROPSHIP PUN KENA BAYAR CUKAI

Info dari Lembaga Hasil Dalam Negeri

Mulai Tahun 2015 individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.

Rupanya,

Dropship pun kena daftar dan bayar cukai juga! Kena tahu perkara ini. Jangan lupa simpan semua maklumat/dokumen (bil/resit etc) selama 7 tahun bagi tujuan rekod.



Kalau lihat zaman sekarang, ramai orang yang sudah mula menjadi dropship bagi menampung pendapatan harian, malah kadang-kala yang dipaparkan di media sosial melebihi daripada kos sara hidup.

Boleh baca kat sini juga untuk tambahan maklumat dan boleh menjawab persoalan Saya Berniaga Online Jerr… Tak Perlulah Daftar SSM & LHDN.

Dengan demikian, sama-samalah kita menjadi warganegara yang baik dengan mendaftar dan declaire pendapatan dengan LHDN. Anda warganegara yang hebat!

Sekiranya orang lain bersedekah yang ditunjuk-tunjukkan di media sosial, anda tetap menjalankan tugas tersebut dengan menyorokkkan 'tangan kiri' anda.

Duit lebihan ini adalah untuk kesejahteraan negara, malah untuk kegunaan anak cucu kita kelak.

Membayar cukai adalah tanggungjawab bersama.

Thursday 4 March 2021

Student Master Pengajian Islam di Kolej Universiti Islam Melaka

Menjadi seorang pelajar dan dalam masa yang sama bekerja bukan suatu perkara yang senang, malah bukan juga terlalu susah.

Saya menyambung pengajian dan saya juga bekerja, sebagai seorang ahli akademik.

Saya diberi tugasan untuk memenuhi keperluan kursus-kursus bagi setiap semester. Kursus semester ini ialah:

1) Metodologi Hukum

    tugasan: jenis metodologi hukum dan aplikasinya

2) Akhlak

    tugasan: ulasan artikel

3) Isu Aqidah

    tugasan: Tokoh Aqidah

4) Isu Hadis 

    tugasan: Hadis-hadis akhir zaman dan sikap antihadis

5) Isu Dakwah

    tugasan: tokoh, isu dan fiqh dakwah di Malaysia


Saya sebenarnya sudah mempunyai Sarjana Falsafah. Namun, disebabkan semangat untuk belajar masih membara, saya nekadkan hati untuk masuk kelas dan menduduki peperiksaan memandangkan Sarjana Pengajian Islam (SPI) ini ditawarkan secara kerja kursus.


Cabaran untuk belajar adalah... yang paling besar adalah melawan sikap-sikap yang menghalang untuk berjaya. 

1) mesti kena rajin (tidak boleh ada perkataan MALAS)

tapi saya ada ketika lemah semangat juga.. tetapi, bagi saya perlu juga ada masa kita beri 'reward' pada diri dengan memberi ruang untuk menonton televisyen seketika atau keluar ambil angin.

2) disiplin (kena pandai urus dan jaga masa)

mesti kena jadi pengawas kepada diri sendiri. Saya tidak terlalu keras pada diri sendiri, saya elak supaya tidak terkena simptom stress. Tetapi saya akan ikut tarikh (due) untuk penyerahan tugasan yang telah berikan. Saya akan menulis senarai tugasan, dan letakkan tarikh kemudian saya akan selesaikan satu persatu mengikut urutan yang mana paling awal perlu diserahkan. Kalau ada banyak sekaligus, saya akan buka fail beberapa tugasan yang ingin ditulis, dan mula buat carian maklumat. Saya akan menulis mengikut tugasan yang saya mula tercetus idea dan muncul minat serta keseronokan. Biasanya saya akan mula ulangkaji/menyiapkan tugasan awal pagi sehingga zohor dan selepas maghrib sehingga jam 10-11 malam sahaja.

3) cara hidup / makan / sukan (bersenam)

mesti kena jaga supaya tidak mudah stress, kesihatan terjamin untuk mengekalkan momentum bagi menyiapkan tugasan dan proses pembelajaran.


Percayalah pada diri sendiri, scroll bukanlah ukurannya, namun ilmu yang hendak dipelajari dan digunakan untuk diri sendiri mahupun untuk masyarakat, itulah keutamaan. 


Ilmu itu penting, bermula dari diri individu demi pembentukan sebuah peradaban yang gemilang baik di dunia mahupun akhirat.

Saturday 2 January 2021

Ilusi atau Realiti?

 Pelbagai kaedah untuk maju ke hadapan.

Ada orang naik secara berusaha keras.

Ada pula, yang menggunakan kemanisan wajah untuk menarik hati dan perasaan sang ketua.

Ada pula, yang mengambil mudah sahaja, yang penting sudah selesaikan tugas.

Yang menganggap ukhrawi lebih penting, hal duniawi bukanlah suatu kepentingan.

Pelbagai corak pemikiran manusia.

Ada yang negatif, ada pula yang positif.

Ada yang rasa dirinya adalah baik, namun sebenarnya rakan-rakan cuba berbuat baik demi menjaga hatinya.

Ada yang mengelak sahaja daripada timbul pelbagai sangka hati.

Ada yang bermuka-muka namun tidak tahu bahawa satu dunia dan seluruh isinya sudah mengetahui persis apa dirinya.

Masing-masing punya nilai hati.

Dan akhirnya,

Setiap orang pasti akan diuji baik dengan harta dunia mahupun ujian yang tidak tertanggung kepedihannya...

... kerendahan hati, keikhlasan hati, tiada yang lebih mengetahui kecuali DIA.

Sekiranya...

Kita mengetahui, kita berharap kita dapat menjadi insan yang baik dan hamba yang soleh/solehah.

Kamu mengetahui, kamu pasti sudah berubah menjadi orang yang ikhlas dan bersilaturrahim dengan tiada buruk sangka.

Mereka mengetahui, mereka pasti akan menyokongmu bukan berbuat seolah-olah menyokong tetapi hanya sekadar menjaga hatimu. Namun, kamu sahaja yang tidak sedar diri!

Ketahuilah,

Dunia ini hanya persinggahan.


Dan pada ketika Hari Pengakhiran,

Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan amalmu yang membantumu!

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...