Tuesday 10 August 2021

TERKESAN COVID-19 - TANGAN DI BAWAH LEBIH BANYAK

Di musim COVID-19 ini, sangat popular istilah 'TERKESAN'.

Musim ini menjadikan ada orang yang memerlukan barang/duit, namun ada juga yang ingin memberi.

Dalam hal ini, menjadikan rakyat Malaysia terbiasa dengan meminta-minta. Mungkin juga ada yang suka memberi (kerana sekarang ramai jutawan).

Saya lebih suka kepada metafora memberi pancing berbanding memberi ikan.

Adakah masyarakat Malaysia tidak belajar cara menangani apabila perlu tempuhi waktu kecemasan? 

Mungkin juga tidak sempat untuk bangkit memandangkan tempoh berkurung terlalu lama. Banyak kemungkinan, hanya pakar dalam bidang sahaja yang boleh memberi jawapan berdasarkan apa yang sedang berlaku.

Walau bagaimanapun, perlu kita berfikir apakah hikmah-hikmah yang Allah ingin berikan, apakah dosa/kesilapan yang pernah kita lakukan..

Jangan sehingga tiada wang langsung apabila tiba musim seperti ini, ada yang meninggalkan anak-anak, ada yang meninggalkan isteri dan anak, yang masing-masing tiada punca pendapatan. Kesemuanya adalah diluar jangkaan kita sebagai manusia.

Cukup kasihan!

Marilah kita berusaha, memberi makanan, persekitaran, cara hidup yang sihat. Allah pun menyuruh kita berusaha, menjaga kesihatan, berjimat-cermat, menjaga kebersihan, jangan berlebihan dalam berhibur dan sebagainya.

Ingatlah, ini adalah peringatan dari-Nya.

Tunduklah, sujudlah, moga Allah mendengar rintihan kita semua.

Monday 9 August 2021

USAHAWAN TULAR 'Sombong dengan Gelandangan'

Saya ketika membentangkan artikel gelandangan di Riau, Indonesia. 
(Gambar bersama teman-teman Indonesia merupakan 
pensyarah/dosen dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau - UINSUSKA).


Berkaitan dengan berita seorang usahawan yang seolah-olah memperlekehkan seorang gelandangan beberapa hari yang lalu telah menyuntik keinginan saya untuk berkongsi.

Lazimnya di zaman sekarang, ramai sudah mula ada kesedaran dan sudah pandai memulai perniagaan dan berusaha bangunkan diri sendiri tanpa mengharapkan 'makan gaji' semata-mata.

Malah, kalau kita lihat di Malaysia, usahawan khususnya usahawan makanan, pakaian (tudung/baju dan sebagainya) dan kosmetik ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Tambahan pula, usahawan juga sudah kenal pasti apa yang menjadi kegemaran dan minat masyarakat. Lazimnya, kebanyakan orang suka dengan produk makan dan cantik. Apabila mula menjual sahaja, usahawan akan menjadi Orang Kaya Segera. Boleh jadi juga harga yang dijual mengalahkan produk yang telah lama di pasaran dan sah dari segi pengeluarannya di peringkat jabatan-jabatan tertentu.

Maka, usahawan ini semakin sombong dengan mengeluarkan produk yang tidak sah bahannya, habis-habisan mempromosikan diri sendiri sebagai 'branding', setiap hari memaparkan kehidupan masing-masing untuk menunjukkan 'kejayaan' mereka melalui hiasan, perabot rumah, kenderaan dan makanan yang dihidangkan. 

Dalam hal ini saya melihat bahawa kita mudah berasa 'berjaya'. Apabila kaya, kita rasa berjaya. Dalam keadaan itu, kita sering lupa bahawa rezeki itu ada tuan empunya. Dimana pula letaknya Allah sebagai tuhan yang mencipta segala sesuatu?

Apabila kaya, sudah berasa diri boleh menjadi pakar rujuk. Sedangkan menyusun ayat belum tentu ilmiah, melontar kata-kata belum tentu berfikir dahulu, bertindak belum tentu menggunakan hati dan akal... Apabila kita kaya, kita belum tentu menjadi sesiapa.

Semua orang digalakkan berusaha. Yang si miskin pun, tidak perlulah mengata si kaya. Sudahlah miskin, mengata tidak habis-habis, bila pula kamu akan maju? Begitulah, saling menuding jari.

Bagi yang mempunyai peluang menuntut ilmu, sudah ada degree master, tidak perlu lah mendabik dada bahawa kamu mengetahui segalanya. Kalau tidak pernah ke lapangan, jumpa dengan masyarakat, setiap hari di perpustakaan sahaja, juga ada kurangnya dalam bertutur, kurang pengalaman dalam urusan manusiawi.

Setiap orang ada kekurangannya. Bagi saya, tidak perlulah si kaya berlagak sombong, si miskin asyik memaki hamun (sudah lah miskin harta, jangan sampai miskin akhlak), yang si penuntut ilmu/pemegang sijil2 akademik tidak perlu cepat melatah, kenalilah masyarakat kita. Kita perlu fikir bagaimana cara untuk mempercantikkan akhlak, iman dan amal masyarakat Islam kini... Semoga Allah bantu kita semua dalam usaha mensejahterakan dunia, moga amanlah di akhirat kelak Insya ALlah.


Gambar ketika saya sedang menjalankan kajian terhadap 
gelandangan di Kuala Lumpur.


Gelandangan adalah satu isu yang serius untuk ditangani. Hal ini bukanlah boleh diatasi dengan memberi makan, menyediakan tempat tinggal dan terus dikasihani begitu sahaja. Gelandangan perlu diatasi sebelum terjadinya gelandangan, seperti mengatasi masalah dadah, rumahtangga (perceraian, pergaduhan ibu bapa menyebabkan anak lari dari rumah, anak terlibat dengan masalah sosial dan akhirnya meninggalkan rumah), dan sebagainya. Bukan senang untuk atasinya, namun kita perlu mendidik masyarakat supaya dapat mengelakkan masalah sedemikian demi mengurangkan lahirnya gelandangan di jalanan di sekitar ibu-ibu kota di Malaysia. Semoga masyarakat Malaysia tidak mengalami situasi (yang pernah dialami oleh para gelandangan berdasarkan kajian-kajian lepas) untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berdaya saing dan maju.  Setelah mereka terlibat dengan gelandangan, ibarat sudah terjatuh di dalam lubang yang gelap dan dalam. Kalau ada yang dapat keluar dari situasi itu... Maka, Insya Allah Malaysia tiada lagi gelandangan. 

Masa silam mereka bukan semua sebab mereka yang pilih, tetapi mangsa keadaan. Janganlah si kaya mengatakan "MENYESAL TAK ZAMAN MUDA KAMU BEGITU BEGINI...". Tidak tahu, belajarlah, semoga kita menjadi orang yang berilmu semasa bercakap, berfikir dan bertindak. 

Wallahu a'lam. 

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...