Monday 30 March 2009

POLIGAMI: SIAPA YANG SALAH?

Agak tertarik dengan pertanyaan salah seorang pembaca, adakah persoalan kenapa suami orang menjadi pilihan timbul di zaman Rasulullah saw?

Tentulah tidak timbul permasalahan ini di zaman rasulullah saw kerana mereka benar-benar berpoligami kerana ingin membantu perempuan-perempuan/janda-janda yang kematian suami yang syahid di medan perang. Pada zaman sekarang lain pula jadinya.

Menurut Haji Dusuki b Haji Ahmad dalam buku Poligami Dalam Islam, syarat yang penting untuk membolehkan poligami ada dua iaitu keadilan di antara para isteri dan berkuasa menanggung nafkah.

Yang menjadi kekacauan dalam keluarga poligami sekarang ini adalah disebabkan suami yang tidak mampu untuk berlaku adil dan ada juga yang tidak mampu untuk memberi nafkah sehingga menyebabkan berlaku pengabaian kepada anak-anak.

Anak-anak pula yang menjadi mangsa keadaan. Kalau dahulu, ayah selaku pemimpin keluarga yang berani berjuang dan syahid dengan kekuatan bermujahadah, jadi tidak hairanlah dia mampu membina keluarga yang mantap mental dan fizikal pada anak-anak dengan semaian ilmu, iman, taqwa dan akhlak yang mulia.

Zaman sekarang masih ada keluarga sedemikian, kalau kata 10 keluarga poligami, ada satu keluarga yang sedemikian. Di sana ada indahnya poligami.

Poligami tidak semudah disangka. Mungkin ia jadi mudah apabila masing-masing faham akan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Tapi malangnya hanya mampu berkata, "abang kan ikut sunnah..". Bagi isteri yang faham benar suaminya persis apa, jadi bagi isteri yang baik tentulah akan menolak dengan baik dan lakukan sedikit perbincangan walaupun pada akhirnya membenarkan tetapi berbeza pula dengan isteri yang dikatakan sebagai perampas. Ini adalah disebabkan kerana mereka yang tidak bersyukur dengan kebenaran yang diberi oleh isteri pertama. Bukan menjalin hubungan dengan keluarga isteri pertama malah guna perkhidmatan bomoh pula. Bukan sahaja suami sahaja diambil tetapi terpaksa merasa tempias cemburu yang melampau dari pihak sebelah sana dengan menanggung kesengsaraan psikologi yang akhirnya membawa kepada kesakitan biologi.

Isteri pertama atau kedua sama sahaja. Ada yang pertama baik tetapi yang kedua pula bermasalah dan begitulah sebaliknya. Pokok pangkalnya kembali kepada individu itu sendiri. Dalam hal ini, suami memainkan peranan penting. Benarlah, memang ada isteri yang diluar kawalan, suami pula menjadi mangsa keadaan. Bagi mengelakkan terjadi perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dan timbulnya pelbagai masalah, seharusnya emosi diletakkan di tepi dan dibuang jauh-jauh.

Seharusnya masing-masing suami dan isteri-isteri lebih rasional dan bijak mengatur dan berbincang dengan baik. Janganlah sebagai alasan hendak tukar angin baru sebab yang lama sudah tidak cantik dan tidak pandai melayan serta pelbagai lagi alasan yang tidak munasabah dan tidak masuk akal dikemukakan. Tetapi carilah dan dalamilah ilmu bagi membantu perempuan yang benar-benar harus dipoligami.

Banyak perempuan hari ini tidak boleh menerima poligami adalah disebabkan kesilapan lelaki. Benar, isteri yang kedua,ketiga dan keempat juga perempuan. Kalau marah pada lelaki, marahlah juga pada perempuan-perempuan yang bersedia dimadu yang juga kaum sejenis dengan isteri pertama. Perempuan-perempuan seharusnya bersiap-sedia dengan ilmu di dada dan ketahanan mental dan fizikal bagi menempuh alam perkahwinan.

Monogami atau poligami kedua-duanya telah termaktub peraturannya dalam Islam. Kedua-duanya dibenarkan dalam Islam. Namun harus difahami yang menjadi keutamaan adalah monogami tetapi poligami dibenarkan dalam hal-hal tertentu bukanlah digalakkan kepada semua lelaki. Walau bagaimanapun jika lelaki itu layak untuk berpoligami dan alasan mengapa ingin berpoligami itu benar dan sesuai dengan yang sepatutnya iaitu ingin membantu perempuan tersebut, tiada salahnya.

Dalam hal ini, isteri-isteri harus lebih meletakkan rasional di hadapan bukan jadikan poligami sebagai beban.

CEMBURU

Apakah cemburu memberi kesan yang negatif kepada psikologi dan menjejaskan tingkahlaku seseorang serta memberi kesan yang buruk terhadap kehidupan seharian sehingga menjejaskan hubungan sosial?

Apakah cemburu kekejaman psikologi kepada isteri/perempuan yang berpoligami?

Cemburu bukanlah suatu hal yang perlu menjadi kewajipan/syarat bagi menjalankan poligami. Cemburu juga boleh berlaku dalam perkahwinan monogami, bukan dalam poligami sahaja.

Kata orang, cemburu itu tanda sayang tetapi Dari sudut psikologi, cemburu adalah perasaan sakit hati, marah, tidak percaya, dan kurang yakin seseorang terhadap pasangan yang dicintai. Selalunya, perasaan ini timbul lantaran sikap suami atau isteri yang gemar membayangkan pasangannya mempunyai hubungan istimewa dengan seseorang di luar pengetahuannya.*

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Suradi Salim, berkata masalah cemburu di kalangan suami isteri sebenarnya berkait rapat dengan tindakan seseorang dari sudut dalaman dan luaran*.

Panduan elak pasangan cemburu

1. Memberi sepenuh kasih sayang dan perhatian supaya suami tidak syak wasangka.

2. Mewujudkan komunikasi dua hala yang berkesan antara kedua belah pihak.

3. Jika hubungan jarak jauh, sering kali berhubung menggunakan telefon, sistem pesanan ringkas (sms), atau e-mel untuk mengeratkan kasih sayang

4. Bercerita apa saja yang berlaku sama ada di tempat kerja atau dengan rakan.

5. Elak melakukan perkara yang membawa kepada cemburu pasangan.

6. Kenalkan rakan pejabat dan kenalan rapat anda kepada pasangan.*

*Rujukan

Penulis masih dalam proses pembacaan dan penelitian berkenaan dengan topik ini. Melihat sejauh mana cemburu mempengaruhi poligami dan cemburu memberi kesan yang buruk dalam rutin sosial harian.

ADA YANG BERMINAT KONGSI PENGALAMAN HIDUP SEBAGAI ISTERI YANG BERPOLIGAMI?

Kalau ada yang berminat berkongsi pengalaman hidup sebagai isteri yang dimadukan, sangat dialu-alukan untuk mengetahui pahit manis hidup dalam keluarga sedemikian. Jika pahit, Bukan mencari silap untuk dicaci, tetapi untuk mencari jalan penyelesaian manakala jika manis, boleh dikongsi bersama agar dapat mempraktikkan secara bijaksana.

Saya sangat berminat dengan jenis perkahwinan poligami ini kerana ia sangat unik dan sangat menguji wanita terutama di Malaysia malah banyak juga pemikiran orientalis yang telah menyerap masuk ke negara kita ini. Jadi pelbagai analisa dan tanggapan yang telah dibuat tentang poligami ini. Namun manusia mempunyai hak untuk mengemukakan pandangan masing-masing selagi ia tidak bercanggah dengan syariat.

Semoga apa-apa yang bercanggah dengan syarak tidak menjadi anutan, moga kita lebih sensitif dengan persekitaran agar agama kita tidak sewenang-wenangnya dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Malaysia merupakan negara demokrasi, jadi anda dialu-alukan untuk mengemukakan pelbagai pengalaman sebagai warga Malaysia yang berhak bersuara. semoga kita ambil iktibar.

Thursday 26 March 2009

PEKANBARU MENGIMBAU KEMBALI


Pekanbaru.. menyimpan beribu kenangan antara mengajarku erti hidup dan perjuangan. Jalan cenderawasih di Sukajadi mengingatkanku pada sahabat-sahabat yang tinggal satu rumah yang kini masing-masing mempunyai anak dan keluarga sendiri yang berada jauh dari mata (harap tidak jauh di hati..Ina dan Jill). suatu ketika dahulu, sering aku berdiri di pinggir jalan menunggu angkutan kota (angkot=oplet) berwarna biru yang destinasinya tiada tempat lain melainkan Matahari (nama mall yang terletak di sukajadi), takpun di Ramayana (juga nama mall yang agak besar dari matahari, banyak jual telekung dll, kalau nak balik malaysia, mesti ke sana dulu, dekat-dekat kawasan situ ada tempat tukar duit, dekat matahari ada juga, tapi kat ramayana tu kalau tukar duit malaysia ke rupiah dapat banyak rupiahnya), ada lagi satu tempat, SKA mall yang terletak di pertengahan jalan nak ke Panam (Panam, terletak Kampus utama Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim=UIN SUSKA, Riau, tempat kami menuntut ilmu dan pengalaman).

bila dikenang-kenang, teringin ke sana lagi. Mengimbau kenangan masa zaman muda-muda dulu (sekarang kan sudah lebih 25 tahun..). Entah ke mana semua sahabat seperjuangan sekalian. Maklumlah, lepas wisuda (konvokesyen) balik malaysia, tidak lama selepas itu, macam berpakat pula, lepas seorang seorang naik pelamin, masing-masing ketemu jodoh. alhamdulillah. semoga kalian menjadi suami/isteri/ayah/ibu yang baik dan berusaha membentuk keluarga yang diredhai.

Pekanbaru tetap dalam ingatan. walaupun sudah hampir 3 tahun meninggalkan bumi lancang kuning itu, setiap pelusuk pekanbaru yang pernah kujejaki dengan motor Ayu masih terpahat kukuh disanubari.

Danao Buatan merupakan salah satu tempat rekreasi di Kota Riau

Wednesday 25 March 2009

TAK SABAR NAK KONVO

tak sabar menunggu ketibaan hari itu untuk ku menerima scroll untuk kesekian kalinya. tapi bukanlah mudah untuk menerima segulung ijazah yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal dengan meningkatnya usiaku. semoga bertambah kematangan seiring berjalannya masa yang mengejarku agar aku cepat-cepat menyelesaikan tesis dan kajianku. ya Allah aku memohon, pimpinlah aku dan berilah aku semangat dan kekuatan untuk menempuh segalanya...












Gambar konvo pada Mac 2006 di UIN SUSKA Pekanbaru, Riau untuk Ijazah Pertama bersama teman-teman seperjuangan yang merantau ke Bumi Lancang Kuning ini.

SUATU PETANG DI MASJID PUTRAJAYA

Sekarang dah hampir jam enam petang. Sudah agak lambat bagi mengerjakan solat asar. Sebaik sahaja sampai di masjid putrajaya, kami terus meluru masuk ke dewan solat setelah kereta diparkirkan berhampiran dengan pintu masuk masjid. Aku masuk ke sebelah dewan solat muslimah dan suamiku menuju ke sebelah kanan. Seusai wudhu’ disempurnakan, aku terus meluru ke lif untuk naik ke tingkat atas di dewan utama solat. Begitulah masjid putra. Tempat wudhu dan tandas berada di tingkat bawah sebelah kiri dari pintu utama. Dengan keluasan dewan utama solat, memberi ketenangan padaku seluas pandangan mata. Dari dalam masjid kelihatan matahari sudah semakin menjauh seolah-olah mengucapkan ingin mengundur diri bagi bertukar syif dengan suasana yang lebih gelap. Dalam solatku, ku hayati setiap butir bacaan kerana aku seolah-olah ketemu dengan tempat yang haq di situ. Ku masih ingat di saat aku berjalan-jalan dengan ayu sewaktu di indonesia dahulu, “enak ya solat di masjid,” kataku. Ayu pula menjawab, “seolah-olah diperhatiinkan?”. diperhatiin bermaksud diperhatikan. Memang benar. Solat di masjid terasa aura syahdu dan keinsafan menusuk kalbu. Solat asarku akhiri dengan sedikit zikir pendek dan alfatihah disertai dengan kupanjatkan jambangan bunga-bunga doa memohon bibit cinta dan rindu terus mekar hanya pada Allah.

Tiada yang lebih indah melainkan kerana Allah.

MENGAPA NAK POLIGAMI?

Agaknya kenapalah ada orang perempuan yang teringin dan sanggup bermadu? Persoalan juga lelaki, apakah keinginan sebenar lelaki untuk berpoligami?

Benar, lelaki ada hak. Tetapi apakah hak itu yang menjadi landasan berpijak untuk mencari dan berkahwin lagi?

Ada beberapa kes, lelaki ingin menikah lagi hanyalah dengan alasan isteri pertamanya tidak cantik, tidak seksi dan mengancam, tidak menggoda dan manja, tidak pandai melayan suami dan sebagainya.
Banyak alasan yang tidak munasabah yang diketengahkan bagi permohonan poligami. Menurut temanku yang merupakan salah seorang peguam syar’i menyatakan banyak sebab dan alasan yang tidak masuk akal dikemukakan oleh pihak lelaki yang ingin berkahwin lagi.

Dalam al-quran ada termaktub ayat tentang poligami malah ada hadis yang menerangkan cara poligami yang betul. Islam adalah agama yang rasional dan bersesuaian pada seluruh keadaan sepanjang zaman. Islam menyediakan pakej untuk umatnya demi menjaga kemaslahatan dan mengelakkan kemudharatan.

Tentu ada maksud dan hikmah tersendiri dari ketetapan poligami ini.

KENAPA SUAMI ORANG MENJADI PILIHAN?

Kenapa ada perempuan suka pada suami orang (terutama yang bakal/sudah bergelar isteri kedua/ketiga/keempat?
Itulah yang menjadi isu dan pertanyaan salah seorang adik-adikku yang merupakan penghuni kolej kediaman ini. Bukanlah hendak menghukum dan mengata sesiapa, tetapi hanya ingin menyelami hati dan perasaan seorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki yang sudah memegang ’jawatan’ dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa malah mungkin sahaja umur mereka sudah sebaya dengan ayah mereka sendiri!
Bukanlah umur yang menjadi permasalahan, tetapi ingin dilihat dari segi alasan mengahwini mereka. Ada juga teman serumahku memberi pandangan dari sudut pemahaman seorang perempuan. Nanti kalau ada teman-teman yang lawan jenis (lelaki) ingin memberi pandangan, sangat dialu-alukan. Akan ku cari waktu juga untuk menanyakan pada kenalan-kenalanku.
Kata temanku, kebiasaannya yang pernah terjadi dan lihat di depan mata, lelaki yang sudah berusia juga mempunyai isteri dan anak ini, kadang-kadang mereka tidak mempunyai sebarang masalah atau sememangnya rumahtangga yang sudah retak bakal runtuh dan pecah sahaja, bukanlah datang dari sisi lelaki sahaja yang salah, tetapi perempuan juga sangat memainkan peranan kerana banyak lelaki yang tidak memandang paras rupa tetapi banyak pandai melayan lelaki-lelaki itu seperti melayan sebagai orang yang disayangi dengan bercakap-cakap dengan nada menggoda, malah lelaki yang sudah berkahwin ini lebih mudah digoda berbanding yang bujang! Benarkah fakta ini?
Hanya kerana layanan?! Kalau kerana sebab perempuan, jadi para feminisme tidak boleh menyalahkan lelaki 100% dalam hal poligami dan pelbagai hal-hal lain yang dilihat sebagai penganiayaan terhadap perempuan. Mungkin dalam hal poligami, penganiayaan dilihat dari sisi isteri pertama iaitu seorang perempuan, tetapi yang menjadi madunya, yang kedua, ketiga dan keempat adalah kaum sejenis iaitu perempuan.
Apakah kurang layanan dari isteri di rumah? Atau lelaki memang ingin mencari angin baru dengan orang baru?

Bekas kekasih rupanya..? apakah kerana sayang yang bersisa menjadi tagihan poligami? Apakah dia pernah bertakhta di hati diterima untuk berkongsi hidup suka dan duka setelah diri masih belum berpunya? Apakah dia benar-benar ingin membuktikan cintanya padamu dengan mengahwinimu sedang isteri menanggung perit terpaksa berkongsi kasih dek kerana perkahwinan atas dasar pilihan keluarga? Apa perasaan disaat melihat suami akad nikah untuk bersatu dengan bekas kekasih atau bersatu cinta dengan bakal isteri kedua, ketiga dan keempat? Apa tiada secalit luka di sudut hati? Benarkah tidak kisah dengan ber’title’ isteri kedua, ketiga dan keempat? Perlukah kita berkahwin dengan seseorang yang pernah kita sayang sedang dia telah menikah dan punya anak?

Suami dan isteri seperti mempunyai ego sendiri yang tidak mahu mengalah. Apabila bercerita tentang hak, lelaki dengan bangga mendabik dada. Tetapi bila berbincang tentang kemampuan dan keadilan, secara zahir boleh ditonjolkan melalui kelayakan dan kekuatan ekonomi yang dimilikinya. Manakala adil pula, tiada siapa pun boleh mengetahui sejauh mana ia boleh berlaku adil.

SALAHKAH MENJADI MELAYU?

Salahkah dilahirkan sebagai bangsa Melayu? Apa yang dibanggakan dengan menjadi bangsa Cina, orang berkulit putih, berkulit hitam, arab, bangladesh, kemboja dan sebagainya? Apakah hina dilahirkan, hidup, cara berfikir, bertingkah-laku, cara bekerja dan sebagainya atas nama Melayu? Jijik sangatkah bergelar Melayu?

Orang selalu membahaskan tentang topik ini. Apakah menjadi hal yang aneh di dalam masyarakat apabila kita berbicara tentang Melayu? Sudah biasa dengar dikalangan masyarakat baik Melayu, Cina, India dan sebagainya bercerita tentang Melayu. Kebiasaannya, melayu sering dikatakan dengan malas, selalu buang masa, cara berfikir yang tidak kreatif dan kritis, malu (biasanya pelajar-pelajar di dalam kelas malu untuk bertanya dan memberi pandangan, sangat berbeza dengan cara pelajar luar negara yang sering lebih menonjol berbanding pelajar Melayu dalam berkongsi pendapat dan persoalan), sering berbual kosong, tidak menepati masa (sehinggakan sering menjadi buah mulut orang, seperti ’biasalah janji melayu’), suka cakap belakang, lambat/lembab

Adakah melayu sahaja yang bersikap sedemikian? Adakah benar fakta itu? Malu sangatkah kalau menjadi orang Melayu?

Menurut titah raja nazrin sewaktu mengulas sesi ’bedah buku’ the malays, hanyalah dongengan yang mengatakan melayu pemalas, berdendam, dll.

Banggalah menjadi hamba Allah, memakmurkan bumi. Banggalah menjadi melayu, yang terkenal dengan sopan santun juga lemah lembut menjadikan kita suatu bangsa ketimuran yang unik. Banggalah menjadi rakyat malaysia, seorang Islam juga melayu, yang mempunyai pelbagai keistimewaan di malaysia yang melayu adalah tuan rumah!

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...