Friday 25 November 2011

Sekadar Picisan


Isu kali ini tentulah tidak akan berubah jauh dari tajuk-tajuk yang telah dibincangkan dan dipaparkan di laman blog ini. Perkahwinan!
Semua orang dan setiap lapisan masyarakat sangat berminat dengan topik ini, malah mereka yang masih lagi bergelar pelajar juga tidak kurang hebatnya berminat dengan topik ini. Namun, apabila ada yang tidak berminat dengan topik ini dianggap luarbiasa dan aneh. Menurut saya, selaku 'pengkaji sifat-sifat manusia' (pelajar dalam bidang sains sosial tentu saja bahan kajiannya adalah manusia), kita tidak perlu pelik dengan sifat-sifat yang dianggap pelik dan berbeza sekiranya timbul dalam masyarakat dan yang pasti tentulah pendapat seseorang berlandaskan sesuatu pemikiran atau pengalaman yang pernah dilaluinya. Dan, tidak perlulah kita menuduh melulu tentang kenapa atau sebab seseorang itu mempunyai pandangan yang tersendiri.
Kembali kepada topik yang asal iaitu perkahwinan.
Mengapa masyarakat kita sangat berminat dengan topik sedemikian? Bukan saya menafikan fitrah, tetapi berfikir dan bertindaklah berdasarkan ilmu, bukan berlapikkan nafsu semata-mata. Adakah salah menjadi orang yang tidak berkahwin? Rabiatul Adawiah merupakan ahli sufi yang hebat, adakah beliau juga bersalah. Nanti ada lagi jawapan sinis yang mengecam penulis. Rasulullah saw tidak menunjukkan satu jalan sahaja untuk menunjukkan seseorang itu beriman atau tidak. Tidak pula satu cara sahaja untuk bahagia dan murah rezeki (seolah-olah orang yang tidak berkahwin itu tidak mendapat rezeki dan amalan ibadah juga tidak bertambah dek kerana hidup keseorangan, Ketahuilah yang mereka juga mungkin masih lagi berkeluarga). Saya sangat bangga dan terharu apabila melihat anak-anak yang mempunyai kerja yang baik (pendapatan yang baik), akhlak yang baik (sanggup menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua, yang sedang meniti hari tua seolah-olah sedang mengira masa untuk bertemu dengan Tuhan) tetapi masih lagi tidak berkahwin. Bagi saya, segalanya menjadi rahsia Allah. Kita tidak tahu apa sebenarnya hikmah dan hadiah yang Allah akan kurniakan kepada mereka. Kita juga tidak tahu adakah mereka sebenarnya jauh lebih beruntung dari kita yang mempunyai keluarga sendiri (anak, suami dan isteri). Sesungguhnya segalanya adalah rahsia Allah. Jangan menuduh dan mengutuk melulu. Mereka juga boleh jadi tidak terdesak untuk berkahwin, tetapi masyarakat kita sering stereotaipkan dengan pelbagai istilah terutama untuk perempuan dengan pelbagai istilah yang diciptakan seperti andartu atau andalusia.
Sesungguhnya ketahuilah perkahwinan itu adalah ibadah dan menjanjikan pelbagai tanggungjawab bagi peserta-pesertanya. Saya teringat seorang kawan saya yang merupakan seorang graduan pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar mengatakan perkahwinan itu adalah mudah, cuma kita sering menyusahkan. Saya bersetuju dengan pendapat beliau, cuma selaku manusia yang beragama Islam sepatutnya mencari dan menimba ilmu pengetahuan bagaimana menjadi suami/isteri yang baik. Walau bagaimanapun, anda juga haruslah mempelajari bagaimana cara mendidik anak-anak bukan hanya mempelajari bagaimana teknik untuk memuaskan pasangan masing-masing sewaktu melakukan hubungan intim.
Kalau kita merenung sejenak, apakah yang sedang berlaku di dunia sekarang ini? Apakah puncanya? Kita bukan hanya patut mencaci, memaki hamun, tetapi kita sendiri mesti turut turun padang, melihat sendiri apa yang berlaku. Dan yang sedang berlaku itu adalah berpunca dari kita sendiri yang tidak membaca, tidak mencari tahu, tidak bertanya, masing-masing merasa hebat, merasa pandai, merasa alim.
Penulisan saya ini berbaur emosi dan picisan sahaja kerana tidak bersifat ilmiah hanya kerana saya menganggap tulisan ini sekadar luahan emosi dan luahan dari diri saya sendiri setelah sekian lama saya simpan dan perapkan dalam hati dan fikiran.
Berbalik kepada topik, apabila bercakap tentang perkahwinan masing-masing kononnya menunjukkan kehebatan dan hasil yang mereka dapat. Anda tahu atau tidak, itu adalah tanggungjawab! Saya bukan mempersulitkan cuma saya menganggap perkahwinan adalah ibadah. Perkahwinan juga bukan sesuatu untuk dipermainkan seperti yang berlaku sekarang, berkahwin hanya untuk HALALKAN SEKS! Itu bukan tujuan utama perkahwinan. Perkahwinan adalah suatu perkara yang sangat suci. Janganlah kita mengotorinya dengan pelbagai andaian dan perkara-perkara yang hanya menampakkan kehodohan dan kebodohan si pelaku.
Baik, setelah anda berkahwin, anda akan bersedia untuk menimang cahaya mata. Justeru terimalah anak tersebut dengan ilmu di dada, agar kelak anda menjadi ibu bapa yang bahagia di dunia mahupun akhirat. Itu yang saya maksudkan tadi, jangan sentiasa menyalahkan kepada apa yang berlaku dalam masyarakat, bukan hanya menyebut tentang dunia akhir zaman, tetapi berusaha untuk memperbaiki kerana anda sedang melahirkan 'produk-produk' yang akan menduduki dunia ini juga akan sama-sama menerajui dunia ini. Kalau masyarakat bermasalah, tentulah dari kita sendiri yang jarang sekali memperbaiki kehidupan kita dan seluruh ahli keluarga.
Untuk mewujudkan keluarga yang bahagia, tidak sesenang yang dibayangkan. Perkahwinan bermaksud perjanjian untuk hidup bersama-sama dan berkongsi segala-galanya. Anda harus bersedia, terutama dari segi ilmu. Agama itu penting, tetapi kalau anda terlampau taksub atau ekstrim, itu tidak bagus. Agama merupakan indikator yang penting, yang akan membantu untuk mencari kabahagiaan hakiki, tetapi kalau hanya mengharap kebahagiaan akhirat, itu salah. Rasulullah saw sendiri menyuruh kita bersifat sederhana, mencari kedua-duanya (duniawi dan ukhrawi).
Tetapi bagi mereka yang sentiasa merasa mereka adalah golongan yang benar, sering menyalahkan orang lain walaupun ia tiada kaitan dengan aqidah. Malah mereka sering menuduh orang ISLAM yang lain dengan pelbagai perkataan yang hanya boleh memecah-belahkan masyarakat. Padahal, sedarkah kita bahawa Rasulullah saw tidak pernah menggunakan kata-kata kesat walaupun najis dilemparkan di hadapan rumahnya! Tidak malukah kita pada Pope John Paul yang pernah ditembak dan akhirnya dia memaafkan orang yang cuba menembaknya.
Tulisan ini bukan merujuk kepada sesiapa secara individu, tetapi lebih bersifat terbuka tanpa menggunakan sebarang rujukan. Keseluruhan penulisan adalah idea penulis sendiri hasil dari pemerhatian dan fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Juga hasil dari kekesalan kepada masyarakat yang sudah tidak tahu MENGHORMATI PANDANGAN orang lain. Anda harus tahu membezakan antara MENGHORMATI dengan MENERIMA. Menghormati tidak semestinya menerima. Merujuk kepada hal-hal agama, selagi tidak menyalahi aqidah, tidak perlulah kita sengaja menimbulkan isu. Untuk mengubah cara berfikir dalam masyarakat tidak sama seperti kita mengubah dan baiki 'setting' seperti pada mesin-mesin yang telah di'set'kan oleh komputer. Masyarakat adalah makhluk yang berfikir. Tentu sahaja bukan mudah untuk mengubah, malah untuk membentuk persamaan juga susah. Sekiranya ISLAM merasakan ia perlu diperbaiki, gunalah cara yang paling berhemah yang diajarkan oleh Al-Quran dan Sunnah. Semoga UMAT ISLAM serta seluruh masyarakat Islam di dunia ini sama-sama berganding bahu mencari kebenaran, memperbaiki keadaan, berakhlak mulia, berlapang dada, ikhlas dalam beribadah (bukan hanya kerana NAFSU semata-mata) dan mendapat pencerahan hati serta dijaga IMANnya.

wa ilalliqa'...ma'assalamah!

"Di mana bumi dipijak,
Di situ ISLAM dijunjung"

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...