Tuesday 29 May 2018

Kuala Sungai Baru dan Kolej Universiti Islam Melaka : Lokasi Terindah, Memang Best! Bahagian 2

Pemilihan lokasi untuk kita melancong, menetap, tinggal sementara (kerana bekerja atau belajar) tentu menjadi hal yang sangat serius untuk dipertimbangkan. Lokasi yang baik dan indah, tentu sangat wajar bagi kita kerana sesuatu yang baik dan indah sukar didapati di seluruh tempat. 
Bagi saya yang kini tinggal di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka merasakan keindahan tersebut. Lokasinya yang berada berhampiran dengan kawasan peranginan, pantai yang mengadap Bumi Lancang Kuning, Riau, Sumatera. Keindahan kawasan pantai di sini yang bersih seringkali menjadi pilihan keluarga dan pelancong berkunjung ke sini. Justeru itu, apabila hujung minggu tiba, kawasan pekan Kuala Sungai Baru dipenuhi dengan pengunjung luar yang memenuhi kawasan pasar untuk sama-sama berebut dengan penduduk tempatan bagi mendapatkan makanan laut yang segar serta murah. 

Antara faktor kedua yang menjadi pilihan apabila tinggal di Kuala Sungai Baru ini ialah, perbelanjaan harian yang memadai dan tidak terlalu tinggi. Bukan menjadi suatu yang aneh apabila kawasan yang masih terjaga sebagai sebuah perkampungan pesisir yang kos sara hidup yang masih rendah. Namun, faktor ini tidak menghalang saya untuk terus tinggal di sini jauh dari kelaziman kota yang mudah mendapatkan segala hal dan arus pemodenan. Antara menu pilihan komuniti nelayan di sini  ialah asam pedas, ikan bakar, sotong goreng celup tepung dan lempeng kelapa. Asam pedas di sini memang tidak viral, namun lebih terasa sedap dan seperti menikmati hidangan di rumah. Kawasan makan untuk tengahari memang banyak terdapat di kawasan menghadap Laut Selat Melaka ini. Selain dapat menikmati makanan yang sedap, mata juga dihidangkan dengan pemandangan yang sangat indah. Apabila tiba waktu minum petang, anda boleh cuba makan lempeng kelapa yang enak. Lempeng ini boleh didapati di gerai-gerai kecil yang terdapat betul-betul di tepi pantai. Enak! Tidak rugi sekiranya anda memilih KSB sebagai lokasi untuk bercuti dan menyambung pengajian di KUIM. Maaf, asyik bercakap tentang makanan. Masih ada lagi yang ingin saya kongsikan😊
Bersama-sama dengan pelajar di hujung minggu, sambil release tension dengan mengutip remis di pantai.
*Remis bukan selalu ada, musim tertentu sahaja.

Ada juga di kawasan berhampiran yang menyediakan cendol yang menggunakan santan dari kelapa sawit. Cendol ini saya pernah makan yang gerainya terletak di Pekan Lubok China. Kawasan ini sempadan Melaka dengan Negeri Sembilan. Lebih kurang 15 minit sahaja dari KUIM. Sekiranya anda berminat dengan hutan dan mendaki bukit (walau pun tidak terlalu mencabar dan tinggi, namun bagi saya cukup baik untuk melatih stamina), lebih kurang 25 hingga 30 minit untuk ke Tanjung Tuan, Port Dickson. Cukup indah! Cubalah ke sana dan rasai sendiri. Namun, saya mencadangkan agar anda mengenakan pakaian dan kasut yang sesuai agar tidak sakit kaki dan tidak melecet kerana pendakian 10 minit pertama sangat mencabar.

Sebenarnya di Kuala Sungai Baru ini juga mempunyai kawasan menarik dan bersejarah seperti Pulau Kenit (masyarakat tempatan menyebut Pulau Konet) dan Fort Supai di Kuala Linggi. Kawasan Kuala Sungai Baru ini jarang diketahui ramai. Tambahan pula, kawasan Umbai lebih menarik perhatian ramai setelah sejak sekian lama. Kelebihan yang terdapat di kawasan kampung nelayan ini mempunyai ciri tersendiri. Anda perlu datang dan nikmati sendiri! Homestay dan guest house cukup banyak dan mempunyai pelbagai pilihan harga mengikut kehendak pelanggan. Kawasan Pantai Pengkalan Balak merupakan antara kawasan penginapan yang termurah di Malaysia berbanding di kawasan pantai lain yang menjadikan kawasan tersebut eksklusif sehingga bayaran penginapan juga mahal. Datanglah ke Kuala Sungai Baru, dan nikmatilah Pantai Pengkalan Balak dan pantai-pantai di sekitarnya. Anda tidak akan rasa rugi sekiranya inginkan ketenangan dan anda sangat mementingkan penjimatan sewaktu bercuti.

Selamat menikmati😉
Sedap! Banyak remis di pantai apabila tiba musimnya. Penduduk tempatan tidak menjual remis, kalau teringin perlu ke pantai bawa peralatan seperti penapis untuk memudahkan pencarian dan kutipan remis.
*Masak ringkas-ringkas pun sudah sedap!😋

Kuala Sungai Baru dan Kolej Universiti Islam Melaka : Lokasi Terindah Bahagian 1

Sekadar perkongsian maklumat bagi yang ingin mengenali KSB dan KUIM. Sekiranya anda Google search, jarang sekali kita memperoleh maklumat tentang KSB, manakala KUIM mungkin banyak di media sosial. Namun, jika ingin mendapatkan rumah tumpangan atau guest house atau homestay, mudah didapati di pelbagai page yang disediakan oleh pemiliknya.

Saya ingin berkongsi apa yang saya rasai dan nikmati sepanjang saya tinggal di KSB. Kuala Sungai Baru adalah satu perkampungan pesisir pantai yang berada dalam daerah Alor Gajah. Namun, kawasan pekan yang berhampiran adalah Masjid Tanah. Kawasan Kuala Sungai Baru ini agak strategik sekiranya anda suka dengan kawasan pantai. Kawasan pantai yang bersih dan mudah untuk menjalankan aktiviti luar tentu menjadi pilihan bagi mereka yang suka 'hangout' dengan ahli keluarga atau kawan-kawan. Saya sendiri bersama-sama ahli keluarga, kawan-kawan (KUIM) dan pelajar-pelajar yang membantu kerja-kerja penyelidikan saya pernah juga ber'BBQ di kawasan pantai yang berhampiran dengan Pantai Tanjung Bidara. 




 Aktiviti luar boleh menjalinkan hubungan yang baik antara satu sama lain💓


 Amalina dan rakan-rakan sangat rajin dan pandai menyediakan bahan dan kelengkapan BBQ.



Ragam simbol anak muda yang pelbagai.

Izzat dan Laila bersungguh-sungguh membuat persiapan untuk memancing. Sambil BBQ, pancing dipasang. 


Aktiviti luar sangat menyeronokkan. Mereka sedang bermain bola tampar pantai.




Waktu senja memang sangat indah bagi yang gemar menikmatinya.


Kawasan yang menarik dan indah memudahkan serta memberi keselesaan kepada pengunjung. Semasa saya baru sahaja tinggal di KSB, pernah juga saya membeli jagung rebus dari Pasar Malam Tanjung Bidara yang berhampiran dengan Kem Terendak, dan makan di kawasan pantai yang betul-betul berada di tepi jalan sahaja. Jadi, tidak susah untuk kita menikmatinya kerana hanya parkir dan terus duduk. Bukan seperti di sesetengah kawasan pantai yang lain, perlu mencari kawasan parkir terlebih dahulu dan kemudian mencari kawasan berteduh untuk menikmati makanan yang dibawa. 

Sambungan di Bahagian 2. Jumpa lagi😉



Dari jendela kamar penulis di bangunan blok kediaman siswi KUIM. Suasana di KSB hari ini, cuti umum Waisak Day yang berkabus di pagi hari. Dingin.

Adab + Ilmu

Teringat pepatah Arab dari mufti muda Mesir pernah mengatakan bahawa "orang yang beradab lebih baik daripada orang yang berilmu". Ini adalah kerana apabila seseorang itu beradab dia akan lebih dipandang mulia daripada orang yang berilmu. Sekiranya orang yang berilmu itu tidak beradab tentulah dia tidak akan dipandang mulia sekiranya dia tidak beradab walaupun dia mempunyai kelayakan atau kelulusan tinggi. Pelbagai jenis penilaian yang dibuat oleh manusia, ada dari segi kelayakan atau kelulusan formal, tetapi bagi masyarakat di kampung, adab-adab masih lagi ditekankan kepada anak-anak, berbeza bagi masyarakat di kota. Kaedah didikan anak juga mengalami perbezaan dan perkembangan berdasarkan arus kemodenan. Proses sosialisasi manusia juga mengalami perubahan. Bagi saya, perubahan tidak boleh dielak, namun perlulah diikat bersama-sama agama dan ilmu agar hidup tidak terumbang-ambing tiada pedoman. ILMU + AGAMA = BAHAGIA SEJAHTERA baik di dunia mahupun akhirat. Insya Allah. Diharapkan ilmu ada, agama juga ada. Bukan sahaja beradab, malah berilmu juga. Moga Islam dijulang sampai bila-bila...

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...