Sunday 15 August 2010

Marhaban Ya Ramadhan Kareem

Sewaktu bertembung dengan jiran berbangsa Arab depan rumah kami, dia berkata "Ramadhan Kareem" kepada kami.

Apabila menyebut bulan ramadhan, semua orang sibuk dengan ucapan-ucapan tentang kemuliaan ramadhan tetapi bagi yang tidak suka untuk berpuasa, lain pula reaksinya. Ramadhan sangat terkenal dengan kemuliaan dan kelebihan-kelebihannya sehingga rata-rata umat Islam berlumba-lumba beribadah agar dekat dengan Tuhan.

Saya mempunyai pandangan yang tersendiri tentang ibadah-ibadah seperti solat dan puasa kerana saya tidak suka unsur-unsur kesihatan yang menjadi isu. Berpuasa dan solat dijadikan sebagai satu sifat senaman dan kesihatan. Bagi saya, ibadah puasa dan solat tidak dapat dinafikan lagi tentang kehebatannya, tentulah Allah jadikan dan mewajibkan ke atas manusia dengan pelbagai manfaat, mengapa kita lebih melihat kepada unsur-unsur luar bukan kepada unsur-unsur rohani yang bersifat ketaatan kepadaNya.

Puasa dan solat adalah suatu kewajiban yang umat Islam wajib lakukan tanpa ada sebarang alasan. Dan apabila kita lakukannya, ia adalah suatu rasa kesyukuran kita kepada Nya selaku Pencipta dan Pemberi Rezeki kepada kita. Tiada alasan lain yang harus kita hebahkan melainkan rasa syukur atas segala pemberianNya.

Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri. Tetapi apabila ada yang menyebut tentang cas-cas negatif dan positif dalam tubuh apabila melakukan solat dan sebagainya, kita boleh lihat betapa besar dan hebatnya ibadah yang Allah ciptakan dan wajibkan ke atas kita yang tidak ada pada agama lain kerana Islam adalah agama yang syumul. Walau bagaimanapun jangan kita solat kerana inginkan cas-cas tersebut berhubung ataupun ingin menguruskan badan dengan berpuasa (khususnya Isnin dan Khamis), beribadah lah benar-benar kerana Allah dengan menunjukkan rasa syukur dan ikhlas kepadaNya.

*Astaghfirullah Al-azim... Ya ghafur..Ya rahman.. Ya kareem..

Apa Puncanya?

Setiap hari isu buang bayi terpampang di dada akhbar sehingga jemu mendengar berita tersebut yang seolah-olah boleh dikatakan sebagai 'musim buang anak'! Sudah pasti kajian juga sudah banyak dimajukan untuk dijalankan ataupun sudah mendapat hasilnya. Para pembuang bayi juga pasti tidak sedikit yang mengalami masalah jiwa malah membantut masa depan yang cemerlang. Apakah para remaja di Malaysia sekarang sudah tidak menitikberatkan tentang masa depan dengan menggenggam segulung ijazah, berdiri di puncak menara gading? Mengapa mereka tidak berfikir jauh, adakah ibubapa juga boleh dipersalahkan? Adakah para remaja sekarang hanya memikirkan tentang hiburan dan seks semata-mata? Adakah mereka juga berkahwin di usia yang sangat muda hanya semata-mata ingin menghalalkan seks?? Entahlah apa yang jadi pada masyarakat sekarang yang hanya memikirkan tentang seks semata-mata. Tidak ada perkara lainkah yang harus difikir seperti tentang ingin berjaya di dunia apatah lagi akhirat? Adakah mereka hanya memikirkan kesenangan dunia? Jelas! Mereka kurang ilmu agama sebenarnya. Berdasarkan penulis IKIM, mereka ini ketandusan Akhlak.

Sebenarnya kalau dilihat kembali kepada cadangan negeri Melaka dengan memberi kebenaran anak remaja menikah awal bagi mengelak perkara tersebut terjadi, ia hanya boleh dikatakan sebagai salah satu cara namun ia masih tidak dapat diselesaikan kerana mungkin timbul masalah lain pula di kemudian hari seperti yang dikatakan oleh Dr. Mashitah dalam Utusan Malaysia beberapa hari yang lepas. Ini adalah kerana timbul masalah hasil dari tidak memahami secara jelas apakah yang dimaksudkan dengan perkahwinan dan kekeluargaan serta tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah. Berdasarkan kajian-kajian lepas mendapati pasangan yang paling banyak bercerai adalah dari golongan muda dan berpunca dari tidak jelas dengan pengertian perkahwinan.

Walau bagaimanapun, berdasarkan seorang pensyarah dari UPM ini mengatakan masalah ini adalah berpunca dari masalah sosial, agama dan teknologi. Dalam tulisan tersebut, dapat memberi gambaran kepada kita bahawa telah berlaku transformasi (perkataan yang sering teman saya sebut) dalam masyarakat di Malaysia.

Menurut saya sendiri, masalah ini adalah berlaku terhadap para golongan remaja yang tidak berfikir jauh kerana tenggelam dalam pergaulan yang melampau (tiada batasan berteman antara lelaki dan perempuan) kerana berdasarkan yang berlaku dalam masyarakat, jarang berlaku golongan dewasa yang membuang bayi seperti yang berlaku sekarang ini. Walau apa pun puncanya, kita perlu fikir apakah yang perlu dilakukan untuk pendidikan awal sebagai penerapan ilmu untuk dijadikan landasan berpijak kepada para anak-anak kita agar tidak tersalah langkah. Hanya pemahaman dan penghayatan agama yang baik dapat dipantulkan melalui akhlak.

Sama-sama kita renungkan...

* Sila rujuk kepada kajian-kajian yang jelas rujukannya keranan tulisan ini hanyalah sekadar perkongsian idea hasil dari pembacaan dan pengetahuan penulis tentang isu-isu yang ditulis di dalam blog ini.

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...