“Macam best je kan..” Tapi tahukah kita bahawa terlalu banyak yang kita kena tahu tentang hal tersebut. Maklumlah status bertukar lagi. Dari bujang kepada perhubungan khusus, bila berkahwin bertukar kepada ’title’ SUAMI. Kemudian bertukar lagi kepada ’title’ AYAH!
Semua orang akan teruja apabila saat itu hampir tiba. Jadi tidak mustahil ramai yang menyimpan niat atau bernazar apabila kelak mendapat anak tidak kiralah lelaki mahupun perempuan. Melihat teman-teman yang bergelar ibu, sungguh ku melihat kegembiraan dan teruja dengan kelahiran yang pertama mereka. Ibu kita pun turut sama teruja kerana mereka juga telah bergelar nenek walaupun untuk kesekian kalinya.
Tetapi apakah kita tahu, ia menuntut tanggungjawab. Peranan kita bertambah lagi. Ilmu juga harus ditambah. Kalau dulu hanya melihat apa yang dikatakan dengan pampers (lampin pakai buang), sekarang kita kena pakaikan pampers pada anak kita. Maklumlah sekali-sekala bantu isteri jaga dan membelai anak-anak. Belaian bapa dari kulit ke kulit sangat perlu kita ambil perhatian.
Apakah itu yang dinamakan dengan ilmu keibubapaan? Ramai yang tidak tahu dan panik apabila harus berdepan dengan situasi tersebut. Malah terpaksa meminta ibu atau ambil orang gaji membantu menguruskan anak-anak. Kalau isteri, mungkin ada juga membaca atau mendengar nasihat atau pengalaman dari ibu-ibu atau sahabat-sahabat tentang penjagaan anak dalam kandungan, semasa berpantang dan seterusnya. Kalau suami/lelaki? Pernahkah anda mengambil tahu?

Semasa isteri hamil, berlaku perubahan hormon yang menyebabkan pelbagai jenis emosi. Suami dan isteri perlu sentiasa berinterksi menceritakan apa yang dirasakan kepada pasangan dan memberi sokongan emosi. Selain itu, kebanyakan suami mengalami kenaikan berat badan. Aik, isteri yang hami, suami pulak yang makin ’sihat’! itu yang sering kita dengar. Ini adalah kerana suami bersimpati kepada isteri yang sedang hamil dan dengan melihat isteri yang bertambah-tambah seleranya menyebabkan suami turut berbuat demikian. Tak nak makan pun rasa nak makan bila ada orang yang berselera makan kan?!
Untuk mengekalkan kesihatan dan berat badan, suami dan isteri digalakkan untuk melakukan bersama di samping menjada kesihatan anak dalam kandungan. Jika suami memupuk semangat budaya senaman kelak akan memberikan kesihatan yang baik untuk anak di masa hadapan.
Bagi yang merokok, tolonglah anda berhenti atau tidak merokok semasa di dalam rumah dan minta tetamu anda tidak merokok di dalam rumah bagi mengelakkan gangguan kesihatan pada anak dalam kandungan.
Selain itu juga seorang lelaki yang bakal bergelar bapa juga harus mempersiapkan diri dan membuat persediaan mental bagi menghadapi dan membesarkan anak-anak dalam zaman moden ini. Cabaran utama dalam dunia keibubapaan ialah aspek komunikasi. Kegagalan mewujudkan komunikasi yang berkesan boleh mencetuskan konflik. Jika dibiarkan ia akan menjejaskan keharmonian keluarga.
Setelah melahirkan anak, anak-anak melalui suatu masa proses pembesaran. Bagi peranan seorang bapa, bukanlah sekadar menyediakan keperluan asas tetapi lebih utama adalah sebagai seorang diplomatik yang harus memupuk persefahaman dan kesejahteraan keluarga.
Pastilah bapa pula yang mempunyai konflik peranan dalam memenuhi tanggungjawab untuk menyeimbangkan antara keluarga dan kerjaya. Justeru seorang bapa harus bersifat lebih matang dalam meletakkan strategi.
Dalam masa yang sama kebanyakan bapa semakin bingung kerana kewangan semakin bertambah dengan seiring bertambah ahli dalam keluarga. Dengan itu ramai bapa yang bekerja lebih masa untuk menambah pendapatan padahal itu telah mengurangkan waktu untuk orang yang tersayang yang memerlukan perhatian dan belaian juga sokongan emosi.
Walau apa pun, satu keputusan harus dibentuk iaitu wang yang dicari tidak boleh mengembalikan masa untuk bersama keluarga bagi menggalakkan kasih sayang antara satu sama lain. Suatu perbincangan dengan pasangan harus dibuat dalam membentuk satu belanjawan keluarga.
Kemudian, perkara yang dipermasalahkan adalah siapa yang akan menjaga si kecil. Bincangkan dengan baik dan melihat dari sudut positif dan negatif terhadap bayi dan keluarga.
Sekiranya terdapat kesempitan kewangan, tidak salah kalau terpaksa mengurangkan aktiviti di luar seperti membeli-belah atau membeli barangan berjenama dan sebagainya.
Sebagai persediaan awal sementara menunggu kelahiran bayi, biasanya pasangan akan mencari nama yang baik untuk anak. Carilah nama yang baik, kerana nama yang baik adalah doa. Supaya kelak tidak diejek oleh kawan-kawan dan seumpamanya. Sekiranya mentua juga ingin meletakkan nama pada cucunya atau mungkin ada pasangan yang ingin meletakkan nama berdasarkan gabungan nama mereka atau apa-apa sahaja, berbincanglah dengan baik dan nilailah dengan teliti agar maksud nama itu adalah baik.
Sebenarnya, terlalu banyak persediaan yang harus kita lakukan sebelum perkahwinan untuk menjalani kehidupan selepas ijab qabul. Semoga kaum Adam kelak dapat menjadi nakhoda yang baik untuk memandu pelayaran yang masih jauh. Andai ada badai semasa dalam perjalanan, mohonlah pada Allah agar Allah memimpin hati dan akal supaya kelak kita bahagia hingga ke syurga.
No comments:
Post a Comment