
Terasa diri hina, lemah dan tiada nilai di sisiNya. Lemah terasa hidup tanpa kehadiranMu dalam sanubari. Bukan Engkau yang menjauhkan diri dariku, tetapi aku yang menjauhkan diri dariMu. Kumohon, benar-benar berharap agar janganlah Engkau biarkan aku walau sekelip mata kerana aku alpa tanpa bimbinganMu, leka tanpa pimpinanMu, terkandas di pertengahan jalan tanpa cinta dan kasihMu.
Aku benar-benar dalam kesamaran tanpa naungan dariMu. Aku dalam kegelapan tanpa Nur kasihMu. Aku lemah dengan ujianMu yang Kau hadiahkan kepadaku. Aku benar-benar lemas dan teraba-raba dalam ranjau yang penuh duri dosa. Aku benar-benar memohon ampunanMu. Hinanya aku memohon rahmat dan barakahMu kerana diri disaluti debu-debu dosa yang tidak pernah hilang dari hati yang sentiasa mencari-cari antara sinar dan samar. Hati yang sentiasa mendengar pujuk-rayu syaitan, hati yang dicemari palsuan duniawi, hati yang sakit dek cintakan dunia tanpa menghiraukan "IHSAN".
Hinanya aku... Dimanakah aku meletakkan Tuhan di saat dosa itu ditambah lagi? Apa tidak tahu malukah kau di saat kau hidup dan menikmati duniawi dengan segalanya adalah hak milik Allah? Anggota badanmu, nafasmu, bumi tempat tinggalmu, adakah kau tahu segalanya adalah hanya pinjaman? Sedarilah wahai manusia yang tidak tahu mensyukuri nikmat Allah..
Lemahnya engkau di saat Allah menghadiahkan mehnah hanya ingin menguji keimananmu. Bangkitlah dari meneruskan tingkah yang hina. Sedarlah, kamu hanya insan dan hambaNya yang lemah. ketahuilah, kitabmu telah bertambah lagi amalan yang tidak disukai ALlah. Balaslah kesyukuranmu kepadaNya dengan sesuatu yang disukai oleh Penciptamu. Adakah kau tidak malu menghadiahkan dia dengan sesuatu yang jijik sedang Dia memberimu segala yang kau inginkan..
Wahai manusia, marilah sama-sama kita bersujud mencari ampunanNya sementara pintu taubat masih terbuka. Sementara nafas masih bersemadi dalam diri yang kotor. Sementara kudrat masih berada dalam jasad yang hina. Sementara masih ada waktu..
ya ALlah aku memohon ampunilah segala dosa-dosa yang kulakukan.. berilah aku kekuatan untuk menempuhi segala ujian yang Kau hadiahkan padaku.. Pimpinlah kami disaat kami benar-benar dalam keraguan dan kesamaran dalam meniti kehidupan yang penuh onak duri yang dipenuhi dengan maksiat dan debuan dosa yang menyelingkari setiap langkah anak Adam..
ya Allah, ampunilah kami..