Friday, 20 March 2020

Presentation by Freshie, Haiqal dan Raffi, FUG, KUIM di Seminar Kebangsaan Sains Sosial 2.0

Pada semester ini Sesi 2 2019/2020, Fakulti Sains Sosial (FSS) (Sila lawati facebook kami💓) telah menganjurkan Seminar Kebangsaan Sains Sosial 2.0 pada 9 Mac 2020 yang lalu yang telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Penyelidikan KUIM iaitu Prof. Madya Dr. Asnul Dahar Minghat. Pelajar dari Fakulti Undang-Undang dan Governan (FUG) ini telah mengambil bahagian sebagai pembentang kertas kerja di bawah Tema Islam Kontemporari.

Sempat berfoto sebelum Majlis Perasmian Penutup bersama-sama dengan pelajar Semester 1 dari Ijazah Sarjana Muda Perundangan Syariah, FUG KUIM (*Shahirah tiada waktu ini. Di hadapan, Haiqal, Atiqa Husna, paling belakang Azri, Raffi, dan Fir). 


Mereka ini masing-masing mempunyai ciri khas yang berbeza-beza. Haiqal bijak menuturkan kata-kata, Raffi mempunyai kata-kata yang meyakinkan, Fir dengan penampilan yang kemas bak seorang YB, Azri yang mempunyai gaya seorang ustaz, Atiqa seorang cukup pandai bergaul dan Shahirah yang pandai mengenakan pakaian sesuai. Walau siapa pun mereka, mereka adalah pelajar KUIM yang pandai menjaga adab ketika bersemuka dengan saya. Kesemua pelajar lelaki sangat suka dengan aktiviti luar, dan itu menunjukkan mereka sudah membina softskills yang baik. Semoga menjadi insan yang berguna kepada diri sendiri, ibu bapa keluarga, masyarakat, negara dan berjaya di dunia akhirat. 

Pelajar lain bukan tiada makna kepada saya, mereka dari kelas ini agak rapat dengan saya sepanjang semester ini. Semoga pembinaan hubungan ini membuahkan hasil dalam saya mentoring mereka terutama dalam penulisan artikel (SKSS2.0), cara menulis assignment yang betul, cara pembentangan kertas kerja seminar, cara penuturan dan pembahasan semasa pembentangan, pemupukan terhadap aktiviti luar (selain meneroka hutan di Tanjung Tuan, kami juga sering bermain badminton yang dalam masa yang sama, jadi coach tidak bertauliah kepada mereka.. itu pun sambil bergaduh dan ketawa. Padahal Azri dan Raffi memang atlet KUIM dalam team bola tampar), cara membina hubungan dengan pensyarah (yang sudah meningkat usia dan garang seperti saya) dan mungkin pelbagai lagi yang tidak saya sedari. Antara perkara yang menjadi keutamaan kepada saya, adalah rasa hormat. Bagi saya, antara ilmu dan akhlak (adab), saya lebih memandang adab. Semakin baik adab/akhlaknya, semakin melekat di hati saya.

Raffi dan Haiqal yang masing-masing membentangkan sekitar tajuk dari kelas Tamadun Islam dan Tamadun Asia iaitu Kekeliruan Datuk Kung dalam Masyarakat Cina di Malaysia dan Dialog sebagai Mekanisme Toleransi Agama. Mereka dapat membentangkan dengan baik, walau baru semester 1. Semoga bertambah pengalaman dan pengetahuan. Semoga semakin tinggi, semakin baik tahap pengetahuan, semakin menunduk ke bumi. Down to earth tiada ruginya.
Syabas dan Tahniah!

Thursday, 19 March 2020

PhD (Dr.) Sebuah Cita-Cita Terpendam dan Terendam?

Belajar dan bekerja dua perkara yang perlu dilakukan secara berbeza dalam satu masa yang sama. Bagi individu yang bekerja dan juga sedang belajar mempunyai cabaran yang besar dalam menyusun dan menguruskan tugasan dan masa. Sebagai manusia biasa bukan suatu hal yang mudah. Namun, berdasarkan pengalaman individu, pelbagai usaha yang telah dicuba bagi mengatasi masalah agar dapat menjalankan tugasan baik dalam pekerjaan dan juga tugasan dari universiti.

Pengalaman menjadi pelajar dan pensyarah bukan suatu hal yang mudah. Memberi alasan kepada penyelia ibarat menolak tugas, mengelak dalam menyiapkan penulisan. Namun, bagi penulis, cabaran yang paling besar adalah diri sendiri. Bukan senang untuk menolak dari dalaman untuk bangkit dan melawan sifat malas, mengantuk, penat, banyak kerja lain, karenah pelajar dan rakan sekerja serta masalah pengurusan di tempat kerja.

Selain diri sendiri, kita juga diuji dengan urusan hal-hal kekeluargaan. Kadang-kala emosi mendahului dari akal. Bagaimana untuk lonjakkan semula ke langit apabila motivasi sudah jatuh merudum? Kadang, hati sudah hancur lebur dek kerana pengurusan universiti, karenah penyelia yang pelbagai, rakan-rakan yang sentiasa sibuk akan hal orang lain, mungkin ada juga desakan dari keluarga dan tempat kerja yang tidak putus-putus sehingga menjadi satu bebanan.

Apabila difikir-fikirkan, mempelajari, menuntut ilmu, meluangkan masa untuk meneroka, mendalami dan memahari falsafah pengetahuan, bukan suatu perkara yang dipaksakan, sudah menjadi minat yang mendalam dalam diri seseorang. Termasuk diriku. Cuma... benarlah manusia ini seperti span, menyerap apa sahaja yang ada di sekelilingnya. Untuk menjadi seperti teratai yang diumpamakan oleh penganut Buddha, tetap cantik, segar dan terus hidup di dalam kawasan perairan yang tidak bersih. Bagi manusia, bukan senang untuk menempuhinya. Namun begitu, ada manusia yang boleh melawan arus.
Untuk meneruskan pengajian ketika sedang bekerja, bukan tidak boleh. Namun, perlu banyak perkara yang difikirkan. Ramai yang berjaya tempuhinya, namun rata-rata penulis mendapat tahu mereka banyak mengelak tugas yang diberikan ketika sedang belajar (apabila habis belajar, semua orang sudah hilang hormat kepadanya, walaupun beliau sudah dinaikkan kepada jawatan yang lebih tinggi, malah rata-rata masih mengata di belakang dek kerana ketidaktelusan beliau semasa sedang belajar), banyak melobi pihak atasan untuk mengurangkan bebanan kerja (bagi penulis, lari dari tanggungjawab adalah kesalahan yang besar, tambahan pula penulis tidak pandai melobi, kasihan kepaada rakan-rakan yang tiada peluang pun untuk bertemu dengan pihak atasan kerana hanya menjadi pensyarah di fakulti), waktu bekerja tiada di kampus, dan pelbagai cerita lagi yang penulis dengar. Mohon penulis dan rakan-rakan penulis yang lain tidak begitu malah semoga sentiasa komited.

Walau apa pun, penulisan ini bukan rungutan, bukan memberi alasan. Kata ketua saya yang merupakan TNCAP ketika bertanyakan tentang PhD penulis, keutamaan untuk mudah dalam PhD, adalah penyelia dan sistem/prosedur di universiti. Kebetulan rezeki saya, baik ketika Sarjana mahupun PhD, saya diuji dengan penyelia. Walau apa pun, sebagai seorang Muslim yang masing-masing sudah meningkat usia, doa dan solat sunat bukan perkara yang dilupai. Sangat sedih apabila ada orang yang melihat keutamaan hanya pada doa. Ujian kita berbeza Bro/Sis. Anda diuji dengan perkara lain, saya dengan 'benda' ini. Namun, saya tetap percaya kepada usaha tangga kejayaan, tanpa pengorbanan kejayaan tidak dikecapi. Dalam hal yang sama, penulis juga yakin dengan keberkatan. Anda curi tulang ketika bekerja, tiada siapa nampak dan tuding ke arah muka anda. Anda sering menolak tugas, tiada siapa bertekak dengan anda, kalau ada pun, anda sering menyebut bahawa anda sedang belajar. Hanya Allah sahaja mengira dan hitungkan untuk anda. Kita hanya hamba, apalah hak kami untuk mengatakan berkat atau tidak. Tapi, anda tepuklah dada, fikir-fikirkan.

PhD sudah disemat difikiran dan sudah melekat dihati sejak sekian lama. Bukan kerana status, bukan kerana naik pangkat, gaji besar dan terpandang. Akan tetapi sekadar menjadi suatu perkara kepuasan dan keinginan kepada penulis dan juga ibu bapa penulis yang sejak kecil ingin melihat seorang anak berjaya. Sekiranya penulis berjaya kelak, semoga dapat membantu masyarakat semampu yang boleh, bukan hanya sekadar dinamaku terpahat, DR. FARRAH. Sekian, Wallahu a'lam. Selamat berjuang sahabat-sahabat seperjuangan. Usahlah bangga sekiranya namamu sudah terukir di pintu pejabat dengan gelaran DR.

Friday, 15 June 2018

Hari Raya, Hari sambutan kemenangan umat Islam atau pertandingan?

Hari raya adalah hari kemenangan bagi mereka yang berpuasa. Namun kini, kebanyakan dari kita dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, merayakannya tidak ubah seperti suatu pertandingan. Baik dari segi pakaian mahupun kelengkapan rumah dan sebagainya.

Dalam Islam, hari raya wajar disambut dengan berpakaian baharu. Pakaian yang dipilih kini juga sudah tidak menepati ciri-ciri dan kriteria syariat. Fesyen sudah berlebihan dan boleh juga melampaui batas. Selain itu, pakaian tersebut seolah-olah ingin dikatakan kepada orang lain bahawa paling cantik, paling menggiurkan, paling 'tip-top', paling 'up to date', paling mahal dan sebagainya. Apatah lagi pakaian yang dipakai di hari mulia, dipaparkan di media sosial bagi tatapan rakan taulan. Paling menyedihkan apabila ada dalam kalangan rakan kita yang tidak berkemampuan, hanya melihat dan tersenyum pahit.

Hari yang mulia ini wajarlah kita sambut secara bersederhana. Di Malaysia kini, cara hidup masyarakat Melayu Islam sudah berubah. Mengikut peredaran zaman kononnya 'up to date' dan tidak akan 'out of date'. Bagi yang tidak tahu fesyen terkini dan kurang berkemampuan, tidak kurang hebat dalam mencuba memasuki kancah tersebut. Tidak mahu kalah dengan rakan ataupun sanak saudara. Paling tidak, akan ada yang mengata atau bongkak. Sudah menyimpang jauh dari maksud sebenar aidilfitri.

Marilah kita mencari makna sebenar aidilfitri. Bukan hari ini sahaja yang kita perlu bersederhana, hari-hari yang kita lalui juga tidak perlu berlebihan. Bukan gaya hidup di Malaysia hidup bermewahan dan bermegah seolah-olah suatu pertandingan. Jadilah seperti mereka yang jutawan namun menyembunyikan kemewahan.

Fahami ERTI SYUKUR!

Monday, 4 June 2018

Bulan Puasa Ukuran Amanah? Buka Gerai Jam 11 Pagi Jual Nasi Lemak RM1



Image result for hikmah puasaUntuk mencapai suatu peribadi yang baik dan mulia bukan suatu hal yang mudah. Bulan Ramadhan (bulan puasa untuk umat Islam) sepatutnya boleh dijadikan ukuran tahap kejujuran, amanah, kasih-mengasihani dan integriti seseorang. Namun kini, dengan kemajuan dan kemudahan fasiliti yang disediakan di Malaysia, menjadi mustahil apabila orang yang beragama Islam tanpa segan silu ke kedai-kedai membeli minuman dan makanan ringan pada waktu-waktu yang dianggap 'pelik' untuk dibeli. Kebiasaanya, orang Islam akan keluar berpusu-pusu apabila hampir menjelang berbuka puasa (antara waktu Asar dan sebelum Maghrib) bagi menyediakan juadah berbuka. Hal ini mungkin boleh dipanjangkan kepada pihak berkuasa agar mengambil tindakan dan membentuk satu peraturan tertentu bagi menyekat dan mengekang masalah orang Islam yang  tidak berpuasa khususnya kaum Adam. Terdapat di lokasi-lokasi tertentu membuka gerai secara kecil-kecilan pada waktu antara 11 pagi hingga 2 petang. Bagi yang membuka gerai untuk juadah berbuka biasanya mula berniaga antara jam 3 hingga 4 sepertimana yang ditetapkan di Bandar Baru Bangi (ketika saya belajar di UKM dahulu). Lebih pelik apabila menu yang dijual seolah-olah bukan dan tidak sesuai untuk juadah berbuka, sepertimana yang pernah saya lihat di tepi-tepi jalan sebelum ini, nasi lemak bungkus RM1 dan air (yang dianggap tidak istimewa untuk berbuka bagi sesetengah orang) dijual. Dalam hal ini, saya sangat berharap pihak Majlis Agama Negeri mengetatkan peraturan dan menjaga kemaslahatan umat. Bagi yang tidak berpuasa, mencuri-curi makan di dalam semak dan tersorok, menunjukkan mereka masih segan silu kepada yang berpuasa. Namun, terdapat juga segelintir yang tidak segan langsung! Kalau tidak mampu, jangan pula perlekeh orang lain. Ke mana agaknya solat mereka, sekiranya puasa tidak dilaksanakan. Apa agaknya yang kita perlu lakukan? Kalau agama tidak mampu ditegakkan, bagaimana agaknya untuk bangunkan organisasi, keluarga, masyarakat dan negara... Allahu akbar!

Tuesday, 29 May 2018

Kuala Sungai Baru dan Kolej Universiti Islam Melaka : Lokasi Terindah, Memang Best! Bahagian 2

Pemilihan lokasi untuk kita melancong, menetap, tinggal sementara (kerana bekerja atau belajar) tentu menjadi hal yang sangat serius untuk dipertimbangkan. Lokasi yang baik dan indah, tentu sangat wajar bagi kita kerana sesuatu yang baik dan indah sukar didapati di seluruh tempat. 
Bagi saya yang kini tinggal di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka merasakan keindahan tersebut. Lokasinya yang berada berhampiran dengan kawasan peranginan, pantai yang mengadap Bumi Lancang Kuning, Riau, Sumatera. Keindahan kawasan pantai di sini yang bersih seringkali menjadi pilihan keluarga dan pelancong berkunjung ke sini. Justeru itu, apabila hujung minggu tiba, kawasan pekan Kuala Sungai Baru dipenuhi dengan pengunjung luar yang memenuhi kawasan pasar untuk sama-sama berebut dengan penduduk tempatan bagi mendapatkan makanan laut yang segar serta murah. 

Antara faktor kedua yang menjadi pilihan apabila tinggal di Kuala Sungai Baru ini ialah, perbelanjaan harian yang memadai dan tidak terlalu tinggi. Bukan menjadi suatu yang aneh apabila kawasan yang masih terjaga sebagai sebuah perkampungan pesisir yang kos sara hidup yang masih rendah. Namun, faktor ini tidak menghalang saya untuk terus tinggal di sini jauh dari kelaziman kota yang mudah mendapatkan segala hal dan arus pemodenan. Antara menu pilihan komuniti nelayan di sini  ialah asam pedas, ikan bakar, sotong goreng celup tepung dan lempeng kelapa. Asam pedas di sini memang tidak viral, namun lebih terasa sedap dan seperti menikmati hidangan di rumah. Kawasan makan untuk tengahari memang banyak terdapat di kawasan menghadap Laut Selat Melaka ini. Selain dapat menikmati makanan yang sedap, mata juga dihidangkan dengan pemandangan yang sangat indah. Apabila tiba waktu minum petang, anda boleh cuba makan lempeng kelapa yang enak. Lempeng ini boleh didapati di gerai-gerai kecil yang terdapat betul-betul di tepi pantai. Enak! Tidak rugi sekiranya anda memilih KSB sebagai lokasi untuk bercuti dan menyambung pengajian di KUIM. Maaf, asyik bercakap tentang makanan. Masih ada lagi yang ingin saya kongsikan😊
Bersama-sama dengan pelajar di hujung minggu, sambil release tension dengan mengutip remis di pantai.
*Remis bukan selalu ada, musim tertentu sahaja.

Ada juga di kawasan berhampiran yang menyediakan cendol yang menggunakan santan dari kelapa sawit. Cendol ini saya pernah makan yang gerainya terletak di Pekan Lubok China. Kawasan ini sempadan Melaka dengan Negeri Sembilan. Lebih kurang 15 minit sahaja dari KUIM. Sekiranya anda berminat dengan hutan dan mendaki bukit (walau pun tidak terlalu mencabar dan tinggi, namun bagi saya cukup baik untuk melatih stamina), lebih kurang 25 hingga 30 minit untuk ke Tanjung Tuan, Port Dickson. Cukup indah! Cubalah ke sana dan rasai sendiri. Namun, saya mencadangkan agar anda mengenakan pakaian dan kasut yang sesuai agar tidak sakit kaki dan tidak melecet kerana pendakian 10 minit pertama sangat mencabar.

Sebenarnya di Kuala Sungai Baru ini juga mempunyai kawasan menarik dan bersejarah seperti Pulau Kenit (masyarakat tempatan menyebut Pulau Konet) dan Fort Supai di Kuala Linggi. Kawasan Kuala Sungai Baru ini jarang diketahui ramai. Tambahan pula, kawasan Umbai lebih menarik perhatian ramai setelah sejak sekian lama. Kelebihan yang terdapat di kawasan kampung nelayan ini mempunyai ciri tersendiri. Anda perlu datang dan nikmati sendiri! Homestay dan guest house cukup banyak dan mempunyai pelbagai pilihan harga mengikut kehendak pelanggan. Kawasan Pantai Pengkalan Balak merupakan antara kawasan penginapan yang termurah di Malaysia berbanding di kawasan pantai lain yang menjadikan kawasan tersebut eksklusif sehingga bayaran penginapan juga mahal. Datanglah ke Kuala Sungai Baru, dan nikmatilah Pantai Pengkalan Balak dan pantai-pantai di sekitarnya. Anda tidak akan rasa rugi sekiranya inginkan ketenangan dan anda sangat mementingkan penjimatan sewaktu bercuti.

Selamat menikmati😉
Sedap! Banyak remis di pantai apabila tiba musimnya. Penduduk tempatan tidak menjual remis, kalau teringin perlu ke pantai bawa peralatan seperti penapis untuk memudahkan pencarian dan kutipan remis.
*Masak ringkas-ringkas pun sudah sedap!😋

Kuala Sungai Baru dan Kolej Universiti Islam Melaka : Lokasi Terindah Bahagian 1

Sekadar perkongsian maklumat bagi yang ingin mengenali KSB dan KUIM. Sekiranya anda Google search, jarang sekali kita memperoleh maklumat tentang KSB, manakala KUIM mungkin banyak di media sosial. Namun, jika ingin mendapatkan rumah tumpangan atau guest house atau homestay, mudah didapati di pelbagai page yang disediakan oleh pemiliknya.

Saya ingin berkongsi apa yang saya rasai dan nikmati sepanjang saya tinggal di KSB. Kuala Sungai Baru adalah satu perkampungan pesisir pantai yang berada dalam daerah Alor Gajah. Namun, kawasan pekan yang berhampiran adalah Masjid Tanah. Kawasan Kuala Sungai Baru ini agak strategik sekiranya anda suka dengan kawasan pantai. Kawasan pantai yang bersih dan mudah untuk menjalankan aktiviti luar tentu menjadi pilihan bagi mereka yang suka 'hangout' dengan ahli keluarga atau kawan-kawan. Saya sendiri bersama-sama ahli keluarga, kawan-kawan (KUIM) dan pelajar-pelajar yang membantu kerja-kerja penyelidikan saya pernah juga ber'BBQ di kawasan pantai yang berhampiran dengan Pantai Tanjung Bidara. 




 Aktiviti luar boleh menjalinkan hubungan yang baik antara satu sama lain💓


 Amalina dan rakan-rakan sangat rajin dan pandai menyediakan bahan dan kelengkapan BBQ.



Ragam simbol anak muda yang pelbagai.

Izzat dan Laila bersungguh-sungguh membuat persiapan untuk memancing. Sambil BBQ, pancing dipasang. 


Aktiviti luar sangat menyeronokkan. Mereka sedang bermain bola tampar pantai.




Waktu senja memang sangat indah bagi yang gemar menikmatinya.


Kawasan yang menarik dan indah memudahkan serta memberi keselesaan kepada pengunjung. Semasa saya baru sahaja tinggal di KSB, pernah juga saya membeli jagung rebus dari Pasar Malam Tanjung Bidara yang berhampiran dengan Kem Terendak, dan makan di kawasan pantai yang betul-betul berada di tepi jalan sahaja. Jadi, tidak susah untuk kita menikmatinya kerana hanya parkir dan terus duduk. Bukan seperti di sesetengah kawasan pantai yang lain, perlu mencari kawasan parkir terlebih dahulu dan kemudian mencari kawasan berteduh untuk menikmati makanan yang dibawa. 

Sambungan di Bahagian 2. Jumpa lagi😉



Dari jendela kamar penulis di bangunan blok kediaman siswi KUIM. Suasana di KSB hari ini, cuti umum Waisak Day yang berkabus di pagi hari. Dingin.

Adab + Ilmu

Teringat pepatah Arab dari mufti muda Mesir pernah mengatakan bahawa "orang yang beradab lebih baik daripada orang yang berilmu". Ini adalah kerana apabila seseorang itu beradab dia akan lebih dipandang mulia daripada orang yang berilmu. Sekiranya orang yang berilmu itu tidak beradab tentulah dia tidak akan dipandang mulia sekiranya dia tidak beradab walaupun dia mempunyai kelayakan atau kelulusan tinggi. Pelbagai jenis penilaian yang dibuat oleh manusia, ada dari segi kelayakan atau kelulusan formal, tetapi bagi masyarakat di kampung, adab-adab masih lagi ditekankan kepada anak-anak, berbeza bagi masyarakat di kota. Kaedah didikan anak juga mengalami perbezaan dan perkembangan berdasarkan arus kemodenan. Proses sosialisasi manusia juga mengalami perubahan. Bagi saya, perubahan tidak boleh dielak, namun perlulah diikat bersama-sama agama dan ilmu agar hidup tidak terumbang-ambing tiada pedoman. ILMU + AGAMA = BAHAGIA SEJAHTERA baik di dunia mahupun akhirat. Insya Allah. Diharapkan ilmu ada, agama juga ada. Bukan sahaja beradab, malah berilmu juga. Moga Islam dijulang sampai bila-bila...

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...