Showing posts with label Life. Show all posts
Showing posts with label Life. Show all posts

Monday, 19 July 2021

DOA SEORANG PELAJAR

Saya ingat apabila sebut tentang solat hajat dan doa, teringat pernah ditegur oleh seseorang (rakan sepejabat).

Apabila saya menjelaskan tentang kedudukan status pengajian PhD saya (masa sedang menyiapkan Sarjana pun) ada yang menegur untuk melakukan solat hajat dan berdoa.

Bagi saya sendiri,  setiap ujian bagi manusia itu berbeza-beza. 

Ada orang ujiannya ke atas harta, baik kenderaan mahupun rumah atau wang ringgit..

Ada orang ujiannya ke atas keluarga yang disayangi baik anak, ibu, isteri dan sebagainya..

Ada orang ujiannya dalam masalah pembelajaran..baik mengurus masa, penyelia, teknikal universiti dan sebagainya...

Ada orang ujiannya ke atas masalah keterbatasan ilmu yang mengawal otak dan emosinya...

Ada orang ujiannya ke atas urusan kerjayanya, baik problem dengan rakan sekerja mahupun majikan..

Banyak jenis ujian.

Ada juga diuji masalah kesihatan.

Ada yang menafsirkan ujian ini sebagai balasan Tuhan. Namun, saya juga pernah mendengar kuliah bahawa ujian ini bukan balasan, tetapi untuk meningkatkan diri seseorang dan memantapkan iman seseorang.

Disinilah muncul isu redha. Nanti diikuti pula dengan isu taqwa.

Jadi, kita bukan lah penentu kepada apa yang diberikan Allah kepada seseorang. Sama-sama kita muhasabah diri. Ketika saya diuji dengan masalah di universiti, anda pula diuji dengan masalah kesihatan yang teruk. 

Perlukah saya bertanya, apakah perbuatan anda untuk balasan Tuhan ini?

Jangan berhenti menjadi seorang pelajar.

Jangan berhenti berdoa.

Berhentilah menghukum!

Saturday, 2 January 2021

Ilusi atau Realiti?

 Pelbagai kaedah untuk maju ke hadapan.

Ada orang naik secara berusaha keras.

Ada pula, yang menggunakan kemanisan wajah untuk menarik hati dan perasaan sang ketua.

Ada pula, yang mengambil mudah sahaja, yang penting sudah selesaikan tugas.

Yang menganggap ukhrawi lebih penting, hal duniawi bukanlah suatu kepentingan.

Pelbagai corak pemikiran manusia.

Ada yang negatif, ada pula yang positif.

Ada yang rasa dirinya adalah baik, namun sebenarnya rakan-rakan cuba berbuat baik demi menjaga hatinya.

Ada yang mengelak sahaja daripada timbul pelbagai sangka hati.

Ada yang bermuka-muka namun tidak tahu bahawa satu dunia dan seluruh isinya sudah mengetahui persis apa dirinya.

Masing-masing punya nilai hati.

Dan akhirnya,

Setiap orang pasti akan diuji baik dengan harta dunia mahupun ujian yang tidak tertanggung kepedihannya...

... kerendahan hati, keikhlasan hati, tiada yang lebih mengetahui kecuali DIA.

Sekiranya...

Kita mengetahui, kita berharap kita dapat menjadi insan yang baik dan hamba yang soleh/solehah.

Kamu mengetahui, kamu pasti sudah berubah menjadi orang yang ikhlas dan bersilaturrahim dengan tiada buruk sangka.

Mereka mengetahui, mereka pasti akan menyokongmu bukan berbuat seolah-olah menyokong tetapi hanya sekadar menjaga hatimu. Namun, kamu sahaja yang tidak sedar diri!

Ketahuilah,

Dunia ini hanya persinggahan.


Dan pada ketika Hari Pengakhiran,

Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan amalmu yang membantumu!

Wednesday, 1 April 2020

Story about 'Budak' Usuluddin dan 'Budak' Syariah


😍Story kali ini adalah tentang saya, pelajar Usuluddin dalam bidang Perbandingan Agama dan teman-teman yang bertiga itu dari Fakultas Syariah dalam bidang Ahwal Assyakhsiah.💖Dari Kuala Lumpur, kami merantau ke Indonesia. Pada waktu itu, masih ramai yang beranggapan di Indonesia banyak pengamal ilmu hitam, sedangkan saya sendiri, tidak terfikir dan kurang mempercayainya. Walau pun ketika di sana, kami tetap menjaga tutur, adab, agar tiada sesiapa yang tersinggung, manalah tahu sekiranya berlaku sebaliknya, maka sampailah ilmu hitam di rumah kami. Namun, orang Indonesia ini sama sahaja seperti orang Malaysia. Kita baik, maka dia pun baik. Kalau kita berlebih-lebih, maka tidak mustahil, antara kami bermastautin di sana, tidak pulang-pulang ke Malaysia, gara-gara sudah berkahwin dengan orang tempatan. Orang Indonesia ini, khususnya di Pekanbaru, sekiranya anda tidak cekal, anda mudah 'jatuh hati' dengan tutur kata dan cara mereka melayani kita, tambahan kalau lelaki, saya sebagai perempuan, berasa mudah untuk mempercayai mereka. Lagi pula, saya sendiri suka kepada orang yang pandai menyusun dan menutur kata. Huh, indahnya!

Kami telah menuntut di Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, (UIN SUSKA) Pekanbaru, Riau, tinggal di rumah kontrakan (rumah sewa) di Jalan Cendrawasih, Sukajadi. Pada awalnya, kami hanya berjalan dalam 10 minit atau kurang untuk ke kampus, kerana keluar sahaja dari pintu pagar rumah sudah kelihatan pagar kampus😇 Tinggal di Sukajadi, tempatnya strategik. Nak ke mana-mana semua hampir. Kemudian, UIN telah membuka kampus baharu terletak di Panam, perjalanan dari rumah hampir satu jam dengan menggunakan ANGKOT (angkutan kota) dengan tambang pada waktu itu Rp2000-3000 kalau tak salah, maklumlah saya di sana pada tahun 2004 hingga 2006. Sudah lama kali! (Cuba baca dalam mother tongue Indonesia😁)

Rupanya saya kembali lagi ke sana, atas urusan KUIM dan Program Mobiliti Pelajar pada tahun 2018. Datang sebagai alumni yang sudah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di KUIM. Dulu, datang untuk menuntut ilmu. Hidup ini betul-betul ajaib dan indah!

Kini mereka, Ina dan Jill berkhidmat di dalam bidang perundangan syariah di Malaysia dan bagi sahabat di Indonesia, Ratu Ayu Rahmi juga di dalam medan perundangan syariah. Kalian semua tetap dalam ingatan. Semoga kalian berbahagia sejahtera walau di mana jua berada. Semoga Allah sentiasa menaungi kalian.😍

Dulu tak makan, sama-sama tak makan. Ada duit, dikongsi bersama-sama. Lumrah anak siswa. Mee segera itu makanan rutin ku, kini gastrik menjadi temanku. Saya tidak hairan, anak-anak kini belajar tidak cukup wang atau perlu berjimat, bagi saya itulah kehidupan. Bukan senang untuk senang, tanpa pengorbanan tiada kejayaan dan kepuasan yang akan dikecapi. Prinsip saya mudah. Hingga kini saya berpegang prinsip itu. Duit banyak digunakan untuk membeli buku, Masya Allah, Syukur, bukunya bisa dibaca digunakan hingga sekarang, Buku di sana sangat banyak dan murah. Tidak mustahillah kalau saya ke Indonesia untuk melancong, hanya buku yang saya beli berbanding benda lain. Alhamdulillah. Selain itu, antara kos yang agak banyak perlu digunakan ialah kos visa pelajar, tiket pulang-pergi ke Malaysia-Indonesia (walaupun masa itu hanya naik kapal di Sungai Riau ke Bandar Hilir Melaka dengan perjalanan 6 jam iaitu 4 jam laluan sungai dan 2 jam di laut Selat Melaka).

Aktiviti malam minggu di Pekanbaru pula sangat unik, terdapat beberapa cerita yang sangat lucu yang kami rasai dan nikmati bersama. Naik motor bertiga, viva tesis ku di Kampus Panam yang mengambil masa hampir satu jam dengan motor Ayu sambil bawa beg buku yang besar (di sana perlu bawa bukti buku yang digunakan sebagai rujukan, tambahan pula waktu itu internet belum jadi kewajipan dan susah untuk dicapai), pernah ke konsert dangdut (jauh dari stage nontonnya, sambil melihat gelagat orang di sana), selesai sahaja viva (viva di Indonesia sebut Munaqasah), saya menonton drama Cina (Taiwan) beratus episod (reward pada diri sendiri yang sangat dahsyat) dan banyak lagi. Drama Mars (pelakon utama dari Kumpulan F4).


F4 ini popular pada ketika itu dengan drama Meteor Garden (tetapi saya tak tengok pun), mungkin anda masih ingat lagu ini, Can't Help Falling in Love.


Love Storm ini betul-betul memberi kesan kepada saya, sehingga sekarang terasa lagu ini enaq di dengar.

Mungkin saya akan berkongsi lagi tentang mereka ini, yang sama-sama menekuni pelajaran Ijazah pertama kami di Indonesia. Belajar dan air mata tidak dapat dipisahkan.
Terima Kasih Tuhan,
Terima Kasih teman-teman.
Terima Kasih Indonesia (ketika itu yuran pengajian ditanggung sepenuhnya oleh Departemen Agama Indonesia).
Terima Kasih Malaysia (melalui Konsulat yang ada di Pekanbaru menjaga keselamatan dan kebajikan kami).
Terima Kasih Ibu Ayah, kerana memberi peluang kepada kami mengenali dunia.
Terima Kasih Bapak-Bapak Ibu-Ibu Dosen yang mencurahkan ilmu kepada kami.

Monday, 30 March 2020

Coretan Seorang Calon Doktor Falsafah

Let's be Passionate & Ambitious! Metafora Ombak dan Pantai

Mencari ilham dan suntikan semangat untuk disematkan di otak dan di hati tidak semudah metafora menyerapkan hempasan ombak pantai ke pasir pesisir pantai. Sekali ombak datang, sekali serap dan begitulah berkali-kali sehingga sekiranya ada tebing maka terbentuklah tebing dek hempasan ombak tersebut. Kehebatan ombak tidak dapat dinafikan juga, sekali dihempas ke laut, ketika musim bah, menggerunkan juga! Walau apa pun, ombak sangat penting kepada pantai. Begitu juga diri kita terhadap persekitaran, baik orang, geografi, alam, suasana tempat kerja, bos, dan sebagainya sangat memainkan peranan dalam mempengaruhi emosi dan pemikiran yang membentuk tindak-tanduk kita. Kalau terkena musim banyak kerja, maka muncullah ombak besar, kadang-kala habis sebuah kampung mahupun negara sepertimana berlaku kepada Acheh. Untuk kembali menjadi ombak yang 'baik' dan 'santun', pantai juga perlu dalam keadaan tenang.

Bagi saya yang telah hampir hilang semangat ibarat mencari sinar di dalam lubang/gua yang gelap gelita. Ibarat di lautan yang tidak bertepi, tiada nampak lagi daratan untuk singgah. Kini, hanya bergantung kepada doa. Seseorang pernah berkata kepada saya tentang doa, benar, saya muslim. Saya percaya kepada qada' dan qadar. Tetapi kalau sekadar berdoa, langsung tiada usaha dari hambaNya, agaknya layakkah berada di pentas konvokesyen? Memahami konsep doa bukan sekadar mengangkat tangan memohon dapatkan status Dr. Perlukan semangat dan motivasi yang tinggi beserta sokongan dari pihak universiti dan juga tempat kerja. Namun, saya bukan memberi alasan. Ujian kita berbeza, anda diberi ujian lain, saya diberi ujian sehingga terlupa di mana semangat saya.

Sistem dan teknikal di universiti memberi banyak impak ke atas diri saya. Tambahan pula, banyak kejadian dan peristiwa yang menyakitkan yang berlaku sepanjang pengajian. Perlukah saya menjaja dan sebarkan keseluruhan cerita yang saya lalui. Anda tidak berada di tempat saya, you are not in my shoes! Pasti setiap orang akan berkata sedemikian. Saya bukan mengeluh tidak tentu fasal dan bukan juga mechanism helah bela diri.

Dalam masa yang sama, saya juga belum ada kemahiran membayar atau mengupah pembantu untuk memudahkan kerja-kerja saya. Memang ada kawan-kawan saya begitu. Bukan saya tiada duit, tetapi tahap pencapaian dalam mencari ilmu tiada kepuasan dalam diri saya. Dan, saya tidak bercadang pun untuk membayar sesiapa bagi memudahkan kerja-kerja saya. Gara-gara saya mengupah pembantu, saya dapat konvo pada waktu yang ditetapkan, saya dapat status Dr., saya dapat naik pangkat...Tiba-tiba, ada suara yang mengatakan, "tanpa saya, mungkin dia tidak konvo-konvo, atau tidak berjaya sama sekali". Sakit telinga kita nanti, kalau hati anda keras dan tidak tahu malu, tiada masalah. Tetapi saya bukan jenis begitu.

Segenggam Tabah INTEAM

Dalam tempoh yang diberikan ini, Allah mengurniakan sesuatu yang tidak ketahui hikmahnya, Allah Yang Maha Perahsia, tidak sedetik pun kita ketahui apakah yang ingin diberikan kepada hamba-hambaNya...

saya cuba memupuk semangat itu,
mencari kata-kata semangat,
mengingatkan kembali apa yang perlu saya lakukan,
mencatat dan menyenaraikan perkara yang saya perlu buat,
membuang perasaan dan perkara yang mengingatkan kepada perkara-perkara yang negatif,
menyusun strategi kembali,
menyemat cita-cita, untuk ibu ayah, keluarga, agama, masyarakat dan negara,
membantu masyarakat kelak, dapat membina hubungan dengan Allah melalui bantuan kepada manusia demi menyeimbangkan alam,
keperluan menjaga akal dan agama,
menambahkan pengetahuan,
semoga semakin banyak dipelajari, semakin menunduk ke bumi,
semakin bertambah rasa 'hamba' kepada Tuhan,
semoga dapat membantu para anak didik demi masa hadapan,
semakin meningkat taraf hidup, semakin mudah membantu orang lain menaikkan taraf hidupnya juga.
Laksana ombak memerlukan pantai. Tiada Pantai Siapalah Ombak!

Musim 'berkurung' di rumah, tidak puas menonton Legally Blonde (Reese Witherspoon) je.. Sudah berpuluh kali menonton tetapi masih lagi tetap menunggu... Sangat termotivasi pula dari movies ini😍💖 So, antara OST dalam movie ini, We Can by LeAnn.

Yes, I can!
And you, just wait!

Hilary Duff
Someone's Watching Over Me

Antara lyrics... So I won't give up, no I won't break down
Sooner than it seems life turns around
And I will be strong even if it all goes wrong
When I'm standing in the dark I'll still believe
Someone's watching over me


Ketika belajar di Indonesia pada tahun 2004 dahulu, Hilary Duff popular pada ketika itu dan saya sangat meminatinya dahulu. Apabila menonton video klip ini, terasa bersemangat pula. 
Sungguh mengimbau!

Monday, 23 March 2020

Pembentangan di UNILAK, Riau Indonesia

Ketika saya membentangkan kertas kerja Budaya Lokal Penyumbang Gelandangan di Malaysia, di Riau, Indonesia pada tahun 2017 telah mendapat liputan dari halloriau.com dan Tribun Pekanbaru.com. Namun begitu, terdapat beberapa ketidaktepatan maklumat terutama nama pembentang. Nasib nama saya betul kecuali ada penambahan OK di hadapan nama saya yang sebenar. Lucu sungguh, tapi comel!


Terasa macam adik bongsu pada waktu ini. 
Baru merangkak mencari setitis ilmu di lautan yang luas. 😇💓


 Ketika pembentangan diajukan pandangan bahawa mereka akan menantikan pembentangan kertas kerja yang akan datang bagi mengetahui keadaan semasa gelandangan di Malaysia.


Sesi bergambar dengan keluarga pimpinan UNILAK Riau Indonesia.

Pengalaman yang cukup berharga. Terima Kasih kepada Naib Canselor KUIM pada ketika itu, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora kerana telah memberi peluang kepada saya selaku staf akademik bagi menimba ilmu dan meluaskan pengalaman.

Sunday, 22 March 2020

Cara Atasi COVID-19 ialah KEBERSIHAN


Ramai yang beranggapan kehadiran COVID-19 ini adalah hampir dengan Kiamat dan tanda-tanda akhir zaman. Kalau kita masih ingat, Rasulullah s.a.w. pernah menggambarkan usia dunia ini pada ketika Baginda masih hidup waktu itu, gambaran dunia ini seperti seorang tua yang sudah bongkok. Bukan hari ini patut kita sedari, namun sudah sejak sekian lama.

Kisah wabak, bukan sahaja sudah banyak dijelaskan, namun di Malaysia kehadiran wabak ini merupakan satu perkara baharu dalam sejarah. Walaupun sebelum ini sudah ada wabak, namun tidaklah seserius kali ini yang terjadi pada tahun 2020.

Perkara pokok yang saya pelajari ialah tentang kebersihan. Ramai yang mengambil sambil lewa dengan soal kebersihan. Di musim beginilah, para peniaga sibuk pula melariskan perniagaan hand sanitizer. Sebelum ini, sabun di tandas dan kawasan umum jarang malah tidak diletakkan sabun. Kadang, kita sendiri kurang menjaga soal kebersihan.

Sebelum itu, mari kenali Apa itu COVID-19? (Sumber poster dari laman web KKM)


Ringkasan dari artikel yang saya nyatakan di ruangan bawah sekali.

🔎Cara transmisi COVID-19 ialah:
👉Berdasarkan penemuan penyelidikan genetik dan epidemiologi, cara penghantaran (transmission) bermula dari haiwan kepada manusia dan manusia kepada manusia secara berterusan.
👉Penularan berlaku melalui titisan pernafasan dan hubungan interaksi.

😨Biasanya 5 ke 6 hari sudah boleh dilihat simptom atau gejala wala bagaimanapun terdapat bukti sehingga 14 hari sepertimana yang dihebahkan kepada kita.

😷Orang yang berisiko tinggi adalah orang yang berada di hospital kerana pengalaman Wuhan, China yang paling ramai terkena jangkitan adalah pekerja di hospital dan pesakit yang memang sedia ada di hospital dengan penyakit yang lain.

Tiada sesiapa berkecuali terhindar dari terkena sebaran jangkitan ini.


Kaedah yang dapat dijalankan untuk masa sekarang ialah;
☝mengawal punca/sumber jangkitan
☝gunakan pencegahan
☝kawalan jangkitan
💪sebagai langkah untuk mengurangkan risiko sebaran/transmisi jangkitan.






Di China, antara simptom yang dialami pesakit ialah;
✔demam
✔batuk
✔sesak nafas
✔keletihan
✔sakit otot
✔sakit kepala
✔sakit tekak
✔cirit-birit
✔muntah
✔radang paru-paru

Yang lebih serius; (ICU)
❗gangguan pernafasan (acute respiratory distress syndrome)
❗arrhythmia
❗shock

Orang yang berusia dan sedia ada penyakit seperti diabetes, hipertensi dan jantung juga dikaitkan mudah dijangkiti.


Perkara yang paling untuk kritikal untuk mengurangkan risiko pemindahan mikroorganisme kepada pesakit ialah kebersihan tangan. Virus ini boleh bertahan pada permukaan untuk beberapa jam sehingga beberapa hari bergantung kepada jenis permukaan, suhu atau kelembapan bilik/persekitaran. Kajian ini dijalankan ke atas klinik pergigian maka sekiranya ada pesakit pernah mengunjungi kawasan/kedai dan sebagainya, cara yang paling sesuai ialah membersihkan tangan untuk pembasmian kuman. Dengan demikian, mereka disarankan intik menggunakan peralatan pelindung diri seperti topeng muka, sarung tangan, gaun rawatan, cermin mata, perisai muka bagi mengelak terkena kepada permukaan kulit melalui rembesan yang dijangkiti.

Topeng muka N-95 yang paling sesuai disahkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.
Dalam tempoh ini, mereka dapat mengurangkan malah sifar pekerja yang dijangkiti dengan mengamalkan kaedah yang telah dinyatakan.

Artikel yang saya telah baca adalah seperti berikut:  
L. Meng, F. Hua & Z. Bian. (2020). Coronavirus Disease 2019 (COVID-19): Emerging and Future Challenges for Dental and Oral Medicine. Journal of Dental Research, 1-7.
Wim De Ceukelaire & Chiara Bodini. (2020). We need strong public health care to contain the global Corona Pandemic. International Journal of Health Services, 0(0), 1-2.
Yi Fan, Kai Zhao, Zheng-Li Shi & Peng Zhou. (2019). Bat Coronaviruses in China. Viruses, 11, 1-14.

Credit to my sis, Dr. Fadz from UMK sharing this for me!😉💓💯

KEBERSIHAN ATASI COVID-19

Kembali kepada soal kebersihan, banyak pelajaran dan pembahasan di dalam Al-Quran dan Hadis. Namun begitu, kebanyakan orang kurang menitikberatkan soal ini. Hanya tahu mengata orang, orang itu pengotor dan sebagainya, sedangkan kita sendiri juga tidak menjaganya.

Dalam surah Al-Muddastsir: 4, "Dan pakaianmu, bersihkanlah". Setiap kali kita keluar rumah, perlulah membasuhnya, bukan diperap sehingga sekian lama. Akhirnya meninggalkan habuk dan bau yang tidak disenangi di dalam rumah. Kemudian sebaran berlaku ke dalam seluruh rumah.

Kemudian dari surah Al-Furqan:48, "dan Kami turunkan dari langit air yang suci". Sesuai dengan apa yang berlaku, jangkitan ini dikatakan tidak berlaku sekiranya tahap penjagaan yang baik dilakukan antaranya dengan sentiasa membasuh tangan yang betul iaitu menggunakan sabun.

Dijelaskan lagi di dalam surah Al-Baqarah: 222, "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri". Dalam hal ini dapat difahami, Allah menyukai orang yang bersih luaran dan dalaman seseorang.

Ayat yang popular, Kebersihan itu sebahagian daripada iman (Hadis Riwayat Muslim dalam soal thaharah). Jarang kita fahami dengan baik. Hanya sekadar simbahan air sahaja, tetapi dalam soal yang lain tidak kita hiraukan. Baik dari kebersihan gigi, telinga, kaki, makanan yang dimasukkan ke dalam badan kita (hanya tahu dari sumber yang halal, tetapi tidak pertimbangkan kuantiti yang sesuai untuk badan seseorang), hanya mahu sabun yang wangi tetapi cara basuh baju tidak dibilas sehingga hilang buihnya (boleh jadi meninggalkan habuk yang banyak ke dalam benang baju boleh menyebabkan alergi dan apa-apa sahaja yang tidak nampak pada mata kasar).

Mungkin kita terlalu berfokus kepada kecantikan bukan kebersihan. Dalam soal kecantikan/keindahan, Nabi pernah bersabda, Allah itu indah dan Dia sangat menyukai keindahan dan Dia sangat menyenangi kebaikan maka bersihkanlah dan janganlah kamu meniru-niru kelakuan Yahudi.
Konsep menjaga kebersihan ini termasuk di dalam Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa. Kalau kita tidak bersih baik dalam apa perkara sekalipun, maka akan memberi kesan kepada kita. Sebenarnya, sekiranya ditelusuri, apa yang berlaku kini, boleh dikaitkan dengan seluruh perkara Maqasid Syariah ini, seperti tidak keluar rumah (supaya tidak menyebarkan atau dijangkiti) dan menjaga kebersihan diri dan alam sekitar (kawasan tempat tinggal, tempat makan, tempat bekerja, tempat ibadah dan sebagainya). Malah boleh juga dikaitkan dengan hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia dan hubungan dengan alam. 

Sekiranya masih ramai kumpulan tabligh masih belum mengambil tanggungjawab untuk menjalankan rawatan atau tidak melaporkan diri untuk melakukan ujian saringan kesihatan kepada pihak berkuasa/KKM, anda sebenarnya belum melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang baik, belum memahami Islam dengan baik! Ayuhlah ke depan, memudahkan urusan pihak pemerintah juga tanggungjawab kita sebagai Muslim dan Mukmin. Semoga anda diberi kecerahan hati untuk mengatasi masalah ini di negara kita. 

Sama-sama kita fahami dan berfikir. Segala di hadapan mata kita, semua di sekitar kita, adalah ILMU. Semoga COVID-19 ini memberi kita manfaat dan pelajaran. Wallahu a'lam.

Apabila orang biasa bercakap duduk rumah, selain membaca dan menulis, rasa nak bercakap saja.

Thursday, 19 March 2020

PhD (Dr.) Sebuah Cita-Cita Terpendam dan Terendam?

Belajar dan bekerja dua perkara yang perlu dilakukan secara berbeza dalam satu masa yang sama. Bagi individu yang bekerja dan juga sedang belajar mempunyai cabaran yang besar dalam menyusun dan menguruskan tugasan dan masa. Sebagai manusia biasa bukan suatu hal yang mudah. Namun, berdasarkan pengalaman individu, pelbagai usaha yang telah dicuba bagi mengatasi masalah agar dapat menjalankan tugasan baik dalam pekerjaan dan juga tugasan dari universiti.

Pengalaman menjadi pelajar dan pensyarah bukan suatu hal yang mudah. Memberi alasan kepada penyelia ibarat menolak tugas, mengelak dalam menyiapkan penulisan. Namun, bagi penulis, cabaran yang paling besar adalah diri sendiri. Bukan senang untuk menolak dari dalaman untuk bangkit dan melawan sifat malas, mengantuk, penat, banyak kerja lain, karenah pelajar dan rakan sekerja serta masalah pengurusan di tempat kerja.

Selain diri sendiri, kita juga diuji dengan urusan hal-hal kekeluargaan. Kadang-kala emosi mendahului dari akal. Bagaimana untuk lonjakkan semula ke langit apabila motivasi sudah jatuh merudum? Kadang, hati sudah hancur lebur dek kerana pengurusan universiti, karenah penyelia yang pelbagai, rakan-rakan yang sentiasa sibuk akan hal orang lain, mungkin ada juga desakan dari keluarga dan tempat kerja yang tidak putus-putus sehingga menjadi satu bebanan.

Apabila difikir-fikirkan, mempelajari, menuntut ilmu, meluangkan masa untuk meneroka, mendalami dan memahari falsafah pengetahuan, bukan suatu perkara yang dipaksakan, sudah menjadi minat yang mendalam dalam diri seseorang. Termasuk diriku. Cuma... benarlah manusia ini seperti span, menyerap apa sahaja yang ada di sekelilingnya. Untuk menjadi seperti teratai yang diumpamakan oleh penganut Buddha, tetap cantik, segar dan terus hidup di dalam kawasan perairan yang tidak bersih. Bagi manusia, bukan senang untuk menempuhinya. Namun begitu, ada manusia yang boleh melawan arus.
Untuk meneruskan pengajian ketika sedang bekerja, bukan tidak boleh. Namun, perlu banyak perkara yang difikirkan. Ramai yang berjaya tempuhinya, namun rata-rata penulis mendapat tahu mereka banyak mengelak tugas yang diberikan ketika sedang belajar (apabila habis belajar, semua orang sudah hilang hormat kepadanya, walaupun beliau sudah dinaikkan kepada jawatan yang lebih tinggi, malah rata-rata masih mengata di belakang dek kerana ketidaktelusan beliau semasa sedang belajar), banyak melobi pihak atasan untuk mengurangkan bebanan kerja (bagi penulis, lari dari tanggungjawab adalah kesalahan yang besar, tambahan pula penulis tidak pandai melobi, kasihan kepaada rakan-rakan yang tiada peluang pun untuk bertemu dengan pihak atasan kerana hanya menjadi pensyarah di fakulti), waktu bekerja tiada di kampus, dan pelbagai cerita lagi yang penulis dengar. Mohon penulis dan rakan-rakan penulis yang lain tidak begitu malah semoga sentiasa komited.

Walau apa pun, penulisan ini bukan rungutan, bukan memberi alasan. Kata ketua saya yang merupakan TNCAP ketika bertanyakan tentang PhD penulis, keutamaan untuk mudah dalam PhD, adalah penyelia dan sistem/prosedur di universiti. Kebetulan rezeki saya, baik ketika Sarjana mahupun PhD, saya diuji dengan penyelia. Walau apa pun, sebagai seorang Muslim yang masing-masing sudah meningkat usia, doa dan solat sunat bukan perkara yang dilupai. Sangat sedih apabila ada orang yang melihat keutamaan hanya pada doa. Ujian kita berbeza Bro/Sis. Anda diuji dengan perkara lain, saya dengan 'benda' ini. Namun, saya tetap percaya kepada usaha tangga kejayaan, tanpa pengorbanan kejayaan tidak dikecapi. Dalam hal yang sama, penulis juga yakin dengan keberkatan. Anda curi tulang ketika bekerja, tiada siapa nampak dan tuding ke arah muka anda. Anda sering menolak tugas, tiada siapa bertekak dengan anda, kalau ada pun, anda sering menyebut bahawa anda sedang belajar. Hanya Allah sahaja mengira dan hitungkan untuk anda. Kita hanya hamba, apalah hak kami untuk mengatakan berkat atau tidak. Tapi, anda tepuklah dada, fikir-fikirkan.

PhD sudah disemat difikiran dan sudah melekat dihati sejak sekian lama. Bukan kerana status, bukan kerana naik pangkat, gaji besar dan terpandang. Akan tetapi sekadar menjadi suatu perkara kepuasan dan keinginan kepada penulis dan juga ibu bapa penulis yang sejak kecil ingin melihat seorang anak berjaya. Sekiranya penulis berjaya kelak, semoga dapat membantu masyarakat semampu yang boleh, bukan hanya sekadar dinamaku terpahat, DR. FARRAH. Sekian, Wallahu a'lam. Selamat berjuang sahabat-sahabat seperjuangan. Usahlah bangga sekiranya namamu sudah terukir di pintu pejabat dengan gelaran DR.

Friday, 15 June 2018

Hari Raya, Hari sambutan kemenangan umat Islam atau pertandingan?

Hari raya adalah hari kemenangan bagi mereka yang berpuasa. Namun kini, kebanyakan dari kita dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, merayakannya tidak ubah seperti suatu pertandingan. Baik dari segi pakaian mahupun kelengkapan rumah dan sebagainya.

Dalam Islam, hari raya wajar disambut dengan berpakaian baharu. Pakaian yang dipilih kini juga sudah tidak menepati ciri-ciri dan kriteria syariat. Fesyen sudah berlebihan dan boleh juga melampaui batas. Selain itu, pakaian tersebut seolah-olah ingin dikatakan kepada orang lain bahawa paling cantik, paling menggiurkan, paling 'tip-top', paling 'up to date', paling mahal dan sebagainya. Apatah lagi pakaian yang dipakai di hari mulia, dipaparkan di media sosial bagi tatapan rakan taulan. Paling menyedihkan apabila ada dalam kalangan rakan kita yang tidak berkemampuan, hanya melihat dan tersenyum pahit.

Hari yang mulia ini wajarlah kita sambut secara bersederhana. Di Malaysia kini, cara hidup masyarakat Melayu Islam sudah berubah. Mengikut peredaran zaman kononnya 'up to date' dan tidak akan 'out of date'. Bagi yang tidak tahu fesyen terkini dan kurang berkemampuan, tidak kurang hebat dalam mencuba memasuki kancah tersebut. Tidak mahu kalah dengan rakan ataupun sanak saudara. Paling tidak, akan ada yang mengata atau bongkak. Sudah menyimpang jauh dari maksud sebenar aidilfitri.

Marilah kita mencari makna sebenar aidilfitri. Bukan hari ini sahaja yang kita perlu bersederhana, hari-hari yang kita lalui juga tidak perlu berlebihan. Bukan gaya hidup di Malaysia hidup bermewahan dan bermegah seolah-olah suatu pertandingan. Jadilah seperti mereka yang jutawan namun menyembunyikan kemewahan.

Fahami ERTI SYUKUR!

Tuesday, 29 May 2018

Adab + Ilmu

Teringat pepatah Arab dari mufti muda Mesir pernah mengatakan bahawa "orang yang beradab lebih baik daripada orang yang berilmu". Ini adalah kerana apabila seseorang itu beradab dia akan lebih dipandang mulia daripada orang yang berilmu. Sekiranya orang yang berilmu itu tidak beradab tentulah dia tidak akan dipandang mulia sekiranya dia tidak beradab walaupun dia mempunyai kelayakan atau kelulusan tinggi. Pelbagai jenis penilaian yang dibuat oleh manusia, ada dari segi kelayakan atau kelulusan formal, tetapi bagi masyarakat di kampung, adab-adab masih lagi ditekankan kepada anak-anak, berbeza bagi masyarakat di kota. Kaedah didikan anak juga mengalami perbezaan dan perkembangan berdasarkan arus kemodenan. Proses sosialisasi manusia juga mengalami perubahan. Bagi saya, perubahan tidak boleh dielak, namun perlulah diikat bersama-sama agama dan ilmu agar hidup tidak terumbang-ambing tiada pedoman. ILMU + AGAMA = BAHAGIA SEJAHTERA baik di dunia mahupun akhirat. Insya Allah. Diharapkan ilmu ada, agama juga ada. Bukan sahaja beradab, malah berilmu juga. Moga Islam dijulang sampai bila-bila...

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...