Friday, 25 November 2011

Sekadar Picisan


Isu kali ini tentulah tidak akan berubah jauh dari tajuk-tajuk yang telah dibincangkan dan dipaparkan di laman blog ini. Perkahwinan!
Semua orang dan setiap lapisan masyarakat sangat berminat dengan topik ini, malah mereka yang masih lagi bergelar pelajar juga tidak kurang hebatnya berminat dengan topik ini. Namun, apabila ada yang tidak berminat dengan topik ini dianggap luarbiasa dan aneh. Menurut saya, selaku 'pengkaji sifat-sifat manusia' (pelajar dalam bidang sains sosial tentu saja bahan kajiannya adalah manusia), kita tidak perlu pelik dengan sifat-sifat yang dianggap pelik dan berbeza sekiranya timbul dalam masyarakat dan yang pasti tentulah pendapat seseorang berlandaskan sesuatu pemikiran atau pengalaman yang pernah dilaluinya. Dan, tidak perlulah kita menuduh melulu tentang kenapa atau sebab seseorang itu mempunyai pandangan yang tersendiri.
Kembali kepada topik yang asal iaitu perkahwinan.
Mengapa masyarakat kita sangat berminat dengan topik sedemikian? Bukan saya menafikan fitrah, tetapi berfikir dan bertindaklah berdasarkan ilmu, bukan berlapikkan nafsu semata-mata. Adakah salah menjadi orang yang tidak berkahwin? Rabiatul Adawiah merupakan ahli sufi yang hebat, adakah beliau juga bersalah. Nanti ada lagi jawapan sinis yang mengecam penulis. Rasulullah saw tidak menunjukkan satu jalan sahaja untuk menunjukkan seseorang itu beriman atau tidak. Tidak pula satu cara sahaja untuk bahagia dan murah rezeki (seolah-olah orang yang tidak berkahwin itu tidak mendapat rezeki dan amalan ibadah juga tidak bertambah dek kerana hidup keseorangan, Ketahuilah yang mereka juga mungkin masih lagi berkeluarga). Saya sangat bangga dan terharu apabila melihat anak-anak yang mempunyai kerja yang baik (pendapatan yang baik), akhlak yang baik (sanggup menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua, yang sedang meniti hari tua seolah-olah sedang mengira masa untuk bertemu dengan Tuhan) tetapi masih lagi tidak berkahwin. Bagi saya, segalanya menjadi rahsia Allah. Kita tidak tahu apa sebenarnya hikmah dan hadiah yang Allah akan kurniakan kepada mereka. Kita juga tidak tahu adakah mereka sebenarnya jauh lebih beruntung dari kita yang mempunyai keluarga sendiri (anak, suami dan isteri). Sesungguhnya segalanya adalah rahsia Allah. Jangan menuduh dan mengutuk melulu. Mereka juga boleh jadi tidak terdesak untuk berkahwin, tetapi masyarakat kita sering stereotaipkan dengan pelbagai istilah terutama untuk perempuan dengan pelbagai istilah yang diciptakan seperti andartu atau andalusia.
Sesungguhnya ketahuilah perkahwinan itu adalah ibadah dan menjanjikan pelbagai tanggungjawab bagi peserta-pesertanya. Saya teringat seorang kawan saya yang merupakan seorang graduan pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar mengatakan perkahwinan itu adalah mudah, cuma kita sering menyusahkan. Saya bersetuju dengan pendapat beliau, cuma selaku manusia yang beragama Islam sepatutnya mencari dan menimba ilmu pengetahuan bagaimana menjadi suami/isteri yang baik. Walau bagaimanapun, anda juga haruslah mempelajari bagaimana cara mendidik anak-anak bukan hanya mempelajari bagaimana teknik untuk memuaskan pasangan masing-masing sewaktu melakukan hubungan intim.
Kalau kita merenung sejenak, apakah yang sedang berlaku di dunia sekarang ini? Apakah puncanya? Kita bukan hanya patut mencaci, memaki hamun, tetapi kita sendiri mesti turut turun padang, melihat sendiri apa yang berlaku. Dan yang sedang berlaku itu adalah berpunca dari kita sendiri yang tidak membaca, tidak mencari tahu, tidak bertanya, masing-masing merasa hebat, merasa pandai, merasa alim.
Penulisan saya ini berbaur emosi dan picisan sahaja kerana tidak bersifat ilmiah hanya kerana saya menganggap tulisan ini sekadar luahan emosi dan luahan dari diri saya sendiri setelah sekian lama saya simpan dan perapkan dalam hati dan fikiran.
Berbalik kepada topik, apabila bercakap tentang perkahwinan masing-masing kononnya menunjukkan kehebatan dan hasil yang mereka dapat. Anda tahu atau tidak, itu adalah tanggungjawab! Saya bukan mempersulitkan cuma saya menganggap perkahwinan adalah ibadah. Perkahwinan juga bukan sesuatu untuk dipermainkan seperti yang berlaku sekarang, berkahwin hanya untuk HALALKAN SEKS! Itu bukan tujuan utama perkahwinan. Perkahwinan adalah suatu perkara yang sangat suci. Janganlah kita mengotorinya dengan pelbagai andaian dan perkara-perkara yang hanya menampakkan kehodohan dan kebodohan si pelaku.
Baik, setelah anda berkahwin, anda akan bersedia untuk menimang cahaya mata. Justeru terimalah anak tersebut dengan ilmu di dada, agar kelak anda menjadi ibu bapa yang bahagia di dunia mahupun akhirat. Itu yang saya maksudkan tadi, jangan sentiasa menyalahkan kepada apa yang berlaku dalam masyarakat, bukan hanya menyebut tentang dunia akhir zaman, tetapi berusaha untuk memperbaiki kerana anda sedang melahirkan 'produk-produk' yang akan menduduki dunia ini juga akan sama-sama menerajui dunia ini. Kalau masyarakat bermasalah, tentulah dari kita sendiri yang jarang sekali memperbaiki kehidupan kita dan seluruh ahli keluarga.
Untuk mewujudkan keluarga yang bahagia, tidak sesenang yang dibayangkan. Perkahwinan bermaksud perjanjian untuk hidup bersama-sama dan berkongsi segala-galanya. Anda harus bersedia, terutama dari segi ilmu. Agama itu penting, tetapi kalau anda terlampau taksub atau ekstrim, itu tidak bagus. Agama merupakan indikator yang penting, yang akan membantu untuk mencari kabahagiaan hakiki, tetapi kalau hanya mengharap kebahagiaan akhirat, itu salah. Rasulullah saw sendiri menyuruh kita bersifat sederhana, mencari kedua-duanya (duniawi dan ukhrawi).
Tetapi bagi mereka yang sentiasa merasa mereka adalah golongan yang benar, sering menyalahkan orang lain walaupun ia tiada kaitan dengan aqidah. Malah mereka sering menuduh orang ISLAM yang lain dengan pelbagai perkataan yang hanya boleh memecah-belahkan masyarakat. Padahal, sedarkah kita bahawa Rasulullah saw tidak pernah menggunakan kata-kata kesat walaupun najis dilemparkan di hadapan rumahnya! Tidak malukah kita pada Pope John Paul yang pernah ditembak dan akhirnya dia memaafkan orang yang cuba menembaknya.
Tulisan ini bukan merujuk kepada sesiapa secara individu, tetapi lebih bersifat terbuka tanpa menggunakan sebarang rujukan. Keseluruhan penulisan adalah idea penulis sendiri hasil dari pemerhatian dan fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Juga hasil dari kekesalan kepada masyarakat yang sudah tidak tahu MENGHORMATI PANDANGAN orang lain. Anda harus tahu membezakan antara MENGHORMATI dengan MENERIMA. Menghormati tidak semestinya menerima. Merujuk kepada hal-hal agama, selagi tidak menyalahi aqidah, tidak perlulah kita sengaja menimbulkan isu. Untuk mengubah cara berfikir dalam masyarakat tidak sama seperti kita mengubah dan baiki 'setting' seperti pada mesin-mesin yang telah di'set'kan oleh komputer. Masyarakat adalah makhluk yang berfikir. Tentu sahaja bukan mudah untuk mengubah, malah untuk membentuk persamaan juga susah. Sekiranya ISLAM merasakan ia perlu diperbaiki, gunalah cara yang paling berhemah yang diajarkan oleh Al-Quran dan Sunnah. Semoga UMAT ISLAM serta seluruh masyarakat Islam di dunia ini sama-sama berganding bahu mencari kebenaran, memperbaiki keadaan, berakhlak mulia, berlapang dada, ikhlas dalam beribadah (bukan hanya kerana NAFSU semata-mata) dan mendapat pencerahan hati serta dijaga IMANnya.

wa ilalliqa'...ma'assalamah!

"Di mana bumi dipijak,
Di situ ISLAM dijunjung"

Sunday, 15 August 2010

Marhaban Ya Ramadhan Kareem

Sewaktu bertembung dengan jiran berbangsa Arab depan rumah kami, dia berkata "Ramadhan Kareem" kepada kami.

Apabila menyebut bulan ramadhan, semua orang sibuk dengan ucapan-ucapan tentang kemuliaan ramadhan tetapi bagi yang tidak suka untuk berpuasa, lain pula reaksinya. Ramadhan sangat terkenal dengan kemuliaan dan kelebihan-kelebihannya sehingga rata-rata umat Islam berlumba-lumba beribadah agar dekat dengan Tuhan.

Saya mempunyai pandangan yang tersendiri tentang ibadah-ibadah seperti solat dan puasa kerana saya tidak suka unsur-unsur kesihatan yang menjadi isu. Berpuasa dan solat dijadikan sebagai satu sifat senaman dan kesihatan. Bagi saya, ibadah puasa dan solat tidak dapat dinafikan lagi tentang kehebatannya, tentulah Allah jadikan dan mewajibkan ke atas manusia dengan pelbagai manfaat, mengapa kita lebih melihat kepada unsur-unsur luar bukan kepada unsur-unsur rohani yang bersifat ketaatan kepadaNya.

Puasa dan solat adalah suatu kewajiban yang umat Islam wajib lakukan tanpa ada sebarang alasan. Dan apabila kita lakukannya, ia adalah suatu rasa kesyukuran kita kepada Nya selaku Pencipta dan Pemberi Rezeki kepada kita. Tiada alasan lain yang harus kita hebahkan melainkan rasa syukur atas segala pemberianNya.

Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri. Tetapi apabila ada yang menyebut tentang cas-cas negatif dan positif dalam tubuh apabila melakukan solat dan sebagainya, kita boleh lihat betapa besar dan hebatnya ibadah yang Allah ciptakan dan wajibkan ke atas kita yang tidak ada pada agama lain kerana Islam adalah agama yang syumul. Walau bagaimanapun jangan kita solat kerana inginkan cas-cas tersebut berhubung ataupun ingin menguruskan badan dengan berpuasa (khususnya Isnin dan Khamis), beribadah lah benar-benar kerana Allah dengan menunjukkan rasa syukur dan ikhlas kepadaNya.

*Astaghfirullah Al-azim... Ya ghafur..Ya rahman.. Ya kareem..

Apa Puncanya?

Setiap hari isu buang bayi terpampang di dada akhbar sehingga jemu mendengar berita tersebut yang seolah-olah boleh dikatakan sebagai 'musim buang anak'! Sudah pasti kajian juga sudah banyak dimajukan untuk dijalankan ataupun sudah mendapat hasilnya. Para pembuang bayi juga pasti tidak sedikit yang mengalami masalah jiwa malah membantut masa depan yang cemerlang. Apakah para remaja di Malaysia sekarang sudah tidak menitikberatkan tentang masa depan dengan menggenggam segulung ijazah, berdiri di puncak menara gading? Mengapa mereka tidak berfikir jauh, adakah ibubapa juga boleh dipersalahkan? Adakah para remaja sekarang hanya memikirkan tentang hiburan dan seks semata-mata? Adakah mereka juga berkahwin di usia yang sangat muda hanya semata-mata ingin menghalalkan seks?? Entahlah apa yang jadi pada masyarakat sekarang yang hanya memikirkan tentang seks semata-mata. Tidak ada perkara lainkah yang harus difikir seperti tentang ingin berjaya di dunia apatah lagi akhirat? Adakah mereka hanya memikirkan kesenangan dunia? Jelas! Mereka kurang ilmu agama sebenarnya. Berdasarkan penulis IKIM, mereka ini ketandusan Akhlak.

Sebenarnya kalau dilihat kembali kepada cadangan negeri Melaka dengan memberi kebenaran anak remaja menikah awal bagi mengelak perkara tersebut terjadi, ia hanya boleh dikatakan sebagai salah satu cara namun ia masih tidak dapat diselesaikan kerana mungkin timbul masalah lain pula di kemudian hari seperti yang dikatakan oleh Dr. Mashitah dalam Utusan Malaysia beberapa hari yang lepas. Ini adalah kerana timbul masalah hasil dari tidak memahami secara jelas apakah yang dimaksudkan dengan perkahwinan dan kekeluargaan serta tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah. Berdasarkan kajian-kajian lepas mendapati pasangan yang paling banyak bercerai adalah dari golongan muda dan berpunca dari tidak jelas dengan pengertian perkahwinan.

Walau bagaimanapun, berdasarkan seorang pensyarah dari UPM ini mengatakan masalah ini adalah berpunca dari masalah sosial, agama dan teknologi. Dalam tulisan tersebut, dapat memberi gambaran kepada kita bahawa telah berlaku transformasi (perkataan yang sering teman saya sebut) dalam masyarakat di Malaysia.

Menurut saya sendiri, masalah ini adalah berlaku terhadap para golongan remaja yang tidak berfikir jauh kerana tenggelam dalam pergaulan yang melampau (tiada batasan berteman antara lelaki dan perempuan) kerana berdasarkan yang berlaku dalam masyarakat, jarang berlaku golongan dewasa yang membuang bayi seperti yang berlaku sekarang ini. Walau apa pun puncanya, kita perlu fikir apakah yang perlu dilakukan untuk pendidikan awal sebagai penerapan ilmu untuk dijadikan landasan berpijak kepada para anak-anak kita agar tidak tersalah langkah. Hanya pemahaman dan penghayatan agama yang baik dapat dipantulkan melalui akhlak.

Sama-sama kita renungkan...

* Sila rujuk kepada kajian-kajian yang jelas rujukannya keranan tulisan ini hanyalah sekadar perkongsian idea hasil dari pembacaan dan pengetahuan penulis tentang isu-isu yang ditulis di dalam blog ini.

Tuesday, 29 June 2010

Filem Kegilaan Remaja Islam

Ketika Cinta Bertasbih merupakan salah satu tulisan dari Habiburrahman El-Shirazy yang 'best-seller' setelah terbitnya Ayat-ayat Cinta malah Ketika Cinta Bertasbih ini mempunyai lanjutan buku kedua dan begitu jugalah munculnya filem KCB 1 & 2. Menurut saya, tulisan Habiburrahman sangat bagus dan rasanya belum boleh ditandingi dengan mana-mana tulisan lagi untuk setakat ini kerana mungkin juga minat saya terhadap novel semakin kurang dek usia dan persekitaran. Ia kebarangkalian sahaja.

Disini saya ingin berkongsi tentang pendapat dan kritikan terhadap filem Ketika Cinta Bertasbih kerana saya baru sahaja menonton setelah sekian lama filem tersebut ditayangkan di Indonesia. Bukan tidak minat tetapi saya sudah beranggapan bahawa filem tersebut bakal menjadi tidak menarik minat saya kerana ia pasti akan berubah dari tulisan dan ternyata filem tersebut hanya menggambarkan suasana Islam. Saya menjadi banyak berfikir kerana bagi sesetengah anak-anak remaja yang suka kepada sinetron atau drama di media elektronik sangat kronik. Bagi saya ia tiada menjadi masalah tetapi bagaimana kita mengambil pengajaran atau pelajaran dari filem tersebut. Kadang-kadang anak-anak remaja tidak melihat apa yang ingin disampaikan sebenarnya terutama dari filem KCB ini, sehingga saya melihat ia hanya suatu gambaran pelajar-pelajar pengajian Islam yang ingin menikah. Tetapi apa sebenarnya yang ingin disampaikan, sama halnya dengan filem Ayat-ayat Cinta yang telah muncul jauh lebih awal dari KCB.

Dalam buku KCB, banyak yang boleh kita pelajari kerana ia bukan hanya sebuah novel yang santai tetapi mempunyai ilmu yang bermanfaat disamping mempunyai jalan cerita yang menarik. Mungkin pihak penerbitan sudah memikirkan yang terbaik bagi filem tersebut justeru jalan cerita sudah menjadi sangat ringkas sehingga ia boleh dibuat kesimpulan bahawa seorang pelajar lelaki yang menuntut di Mesir ingin menikah.

Bagi saya, walau apa pun yang kita baca dan tonton, kita perlu menjadi seorang yang kritikal dan idealis bukan sekadar mengambil bulat-bulat atau hanya jadikan ia suatu perkara picisan. Sekiranya kita benar-benar ingin bersantai, perlu juga memilih yang mana terbaik. Teringat kepada seorang teman di Jakarta, dia memang suka membaca juga menonton. Malah bahan bacaan santai dia juga agak bagus kerana saya pernah terlihat sebuah buku santai dan menghiburkan iaitu buku jenaka Abu Nawas. Buku tersebut bukan hanya menghiburkan malah mengasah otak (penuh dengan ilmu).

Saturday, 19 June 2010

Ke Mana Menghilangnya Jemaah Ikhwan (AL-Arqam)?



Alhamdulillah..akhirnya saya dapat menyiapkan hampir 80% tesis dan sudah hantar kepada penyelia untuk dibaca. Selepas ini saya akan membuat penambahan dan mungkin ada pembetulan di dalam kajian saya itu. Dua minggu lepas saya telah membuat satu pertemuan dengan penyelia dan menceritakan beberapa masalah saya. Walau bagaimanapun, penyelia saya mencadangkan supaya menambahkan responden. Saya cuba menghubungi pihak-pihak berkenaan namun tiada jawapan dan balasan berbanding sebelumnya.

Pada malam Khamis, setiap hari Rabu malam TV3 menayangkan rancangan Aduan Rakyat yang berkisar tentang Ajaran Sesat di Malaysia dan lebih fokus kepada kelompok Al-Arqam/Rufaqa'/Global Ikhwan. Berdasarkan kenyataan-kenyataan dari pihak jabatan agama Islam pada malam itu menunjukkan tanggapan yang tidak memberangsangkan untuk saya menghubungi mereka lagi memandangkan masyarakat awam telah menolak jemaah mereka secara terang-terangan. Malahan pandangan keagamaan yang diberikan oleh seorang pensyarah dari UIAM lebih mengukuhkan lagi hujah berkenaan dengan pandangan mereka terhadap beberapa perkara yang jelas dikatakan sesat dan menyeleweng.

Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang mengadakan kajian dan mengadakan beberapa temuramah dengan isteri-isteri dari kalangan jemaah Ikhwan, mereka sangat baik dan mudah mesra. Jadi saya tiada masalah dalam bertanyakan semua persoalan yang berkaitan sehingga saya merasa sangat berterima kasih kepada mereka kerana saya berjaya menyiapkan kajian berkenaan dengan poligami menurut perspektif perempuan Ikhwan walaupun tidak ramai yang saya sempat temuramah namun dengan beberapa orang itu saya dapat membuat kesimpulan. Hasilnya bakal saya tulis dalam bentuk yang lebih formal untuk dijadikan sebagai bahan rujukan. Tambahan pula mentaliti mereka tentang poligami sangat berbeza dengan pandangan masyarakat awam, bagi saya tiada masalah dalam berpandangan tentang sesuatu kecuali ia benar-benar salah dan bertentangan dengan ajaran dan hukum Islam.

Selagi ia tidak salah dari segi syara', silakan lakukan malah lebih baik dilakukan sekiranya ia baik untuk kita. Yang penting meletakkan Tuhan dihadapan bukan sesiapa.BUkan bertawassul dengan makhluk. Yakinlah, Allah itu Maha Baik.

Poligami juga tidak salah, tetapi lakukanlah sekiranya ia perlu dan memberi kebaikan bersama. Orang pasti akan bertanya dan berkata kepada saya dengan soalan yang sinis kelak tetapi saya lebih memandang kepada sesuatu yang lebih baik, dan mungkin itu ujian yang terbaik harus kita renangi dan diselimuti dengan pelbagai rasa, namun yakinlah Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Saturday, 29 May 2010

Poligami...Isu??Bolehkah??

Kata-kata motivasi untuk diri sendiri: I'm awesome!

Apabila ditanya mengapa lakukan kajian terhadap poligami, haruslah dijawab dengan baik dan ilmiah. Bagi lelaki suami, jangan cepat mencebeh mengapa poligami harus dikaji. Hukum telah jelas!

Ini adalah kerana poligami merupakan suatu perkahwinan yang dihalalkan oleh Islam namun ramai yang gagal dalam perkahwinan tersebut malah ramai yang berkahwin dengan melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia (di luar negara juga mengalami masalah yang sama seperti suami mempunyai masalah dalam tanggungjawab terhadap isteri-isteri dan anak-anak).

Dalam hal ini, tujuan saya ingin mengkaji dalam keluarga poligami kerana ingin memperbaiki masalah dalam institusi keluarga walaupun peratus berpoligami di Malaysia tidak banyak. Malah kajian ini lebih fokus kepada kumpulan yang sering mewar-warkan kebaikan dan keindahan poligami. Bagi saya, selagi ia tidak melanggar syara', ia boleh malah digalakkan dipraktikkan supaya rumahtangga aman harmoni. Bagi pasangan monogami, sekiranya anda tidak yakin/tidak mampu, pimpinlah keluarga anda terlebih dahulu supaya berada dalam keadaan stabil baik di dunia mahupun akhirat.

Monday, 24 May 2010

Writing...writing...and writing....

Menjadi lebih bersemangat untuk menulis dengan baik dan berkualiti. Dengan matlamat menjadi seorang perempuan yang boleh berbicara tentang poligami tanpa bias kepada mana-mana pihak dengan berlandaskan akademik. Bukan tidak berpihak kepada hukum, hukum yang jelas tidak boleh dipertikaikan cuma berbicara tentang poligami dengan maksud yang lebih ilmiah. Tambahan pula, Islam adalah suatu agama yang menarik, walau macam mana pun ia tetap tidak boleh disangkal lagi oleh logik akal fikiran.

Bukan memberi khabar gembira kepada semua lelaki, tetapi hanya menjelaskan kepada semua muslimah agar tidak cepat melatah apabila menyebut poligami. Untuk lelaki, ia menjadi persoalan lain apabila berbicara tentang poligami. Poligami tidaklah seindah yang dibayangkan. Akan tetapi menjanjikan suatu tanggungjawab kerana terpaksa menjaga sebuah kapal yang besar dengan anak-anak kapal yang ramai juga ombak yang besar bagi mengharungi lautan dalam untuk menuju ke destinasi yang diredhai.

Ianya akan menjadi indah, sekiranya nakhoda adalah seorang yang bertanggungjawab dan dapat memimpin diri serta keluarga ke arah yang lebih baik dan tidak ada seorang pun yang diluar kawalannya.

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...