Monday, 9 August 2021

USAHAWAN TULAR 'Sombong dengan Gelandangan'

Saya ketika membentangkan artikel gelandangan di Riau, Indonesia. 
(Gambar bersama teman-teman Indonesia merupakan 
pensyarah/dosen dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau - UINSUSKA).


Berkaitan dengan berita seorang usahawan yang seolah-olah memperlekehkan seorang gelandangan beberapa hari yang lalu telah menyuntik keinginan saya untuk berkongsi.

Lazimnya di zaman sekarang, ramai sudah mula ada kesedaran dan sudah pandai memulai perniagaan dan berusaha bangunkan diri sendiri tanpa mengharapkan 'makan gaji' semata-mata.

Malah, kalau kita lihat di Malaysia, usahawan khususnya usahawan makanan, pakaian (tudung/baju dan sebagainya) dan kosmetik ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Tambahan pula, usahawan juga sudah kenal pasti apa yang menjadi kegemaran dan minat masyarakat. Lazimnya, kebanyakan orang suka dengan produk makan dan cantik. Apabila mula menjual sahaja, usahawan akan menjadi Orang Kaya Segera. Boleh jadi juga harga yang dijual mengalahkan produk yang telah lama di pasaran dan sah dari segi pengeluarannya di peringkat jabatan-jabatan tertentu.

Maka, usahawan ini semakin sombong dengan mengeluarkan produk yang tidak sah bahannya, habis-habisan mempromosikan diri sendiri sebagai 'branding', setiap hari memaparkan kehidupan masing-masing untuk menunjukkan 'kejayaan' mereka melalui hiasan, perabot rumah, kenderaan dan makanan yang dihidangkan. 

Dalam hal ini saya melihat bahawa kita mudah berasa 'berjaya'. Apabila kaya, kita rasa berjaya. Dalam keadaan itu, kita sering lupa bahawa rezeki itu ada tuan empunya. Dimana pula letaknya Allah sebagai tuhan yang mencipta segala sesuatu?

Apabila kaya, sudah berasa diri boleh menjadi pakar rujuk. Sedangkan menyusun ayat belum tentu ilmiah, melontar kata-kata belum tentu berfikir dahulu, bertindak belum tentu menggunakan hati dan akal... Apabila kita kaya, kita belum tentu menjadi sesiapa.

Semua orang digalakkan berusaha. Yang si miskin pun, tidak perlulah mengata si kaya. Sudahlah miskin, mengata tidak habis-habis, bila pula kamu akan maju? Begitulah, saling menuding jari.

Bagi yang mempunyai peluang menuntut ilmu, sudah ada degree master, tidak perlu lah mendabik dada bahawa kamu mengetahui segalanya. Kalau tidak pernah ke lapangan, jumpa dengan masyarakat, setiap hari di perpustakaan sahaja, juga ada kurangnya dalam bertutur, kurang pengalaman dalam urusan manusiawi.

Setiap orang ada kekurangannya. Bagi saya, tidak perlulah si kaya berlagak sombong, si miskin asyik memaki hamun (sudah lah miskin harta, jangan sampai miskin akhlak), yang si penuntut ilmu/pemegang sijil2 akademik tidak perlu cepat melatah, kenalilah masyarakat kita. Kita perlu fikir bagaimana cara untuk mempercantikkan akhlak, iman dan amal masyarakat Islam kini... Semoga Allah bantu kita semua dalam usaha mensejahterakan dunia, moga amanlah di akhirat kelak Insya ALlah.


Gambar ketika saya sedang menjalankan kajian terhadap 
gelandangan di Kuala Lumpur.


Gelandangan adalah satu isu yang serius untuk ditangani. Hal ini bukanlah boleh diatasi dengan memberi makan, menyediakan tempat tinggal dan terus dikasihani begitu sahaja. Gelandangan perlu diatasi sebelum terjadinya gelandangan, seperti mengatasi masalah dadah, rumahtangga (perceraian, pergaduhan ibu bapa menyebabkan anak lari dari rumah, anak terlibat dengan masalah sosial dan akhirnya meninggalkan rumah), dan sebagainya. Bukan senang untuk atasinya, namun kita perlu mendidik masyarakat supaya dapat mengelakkan masalah sedemikian demi mengurangkan lahirnya gelandangan di jalanan di sekitar ibu-ibu kota di Malaysia. Semoga masyarakat Malaysia tidak mengalami situasi (yang pernah dialami oleh para gelandangan berdasarkan kajian-kajian lepas) untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berdaya saing dan maju.  Setelah mereka terlibat dengan gelandangan, ibarat sudah terjatuh di dalam lubang yang gelap dan dalam. Kalau ada yang dapat keluar dari situasi itu... Maka, Insya Allah Malaysia tiada lagi gelandangan. 

Masa silam mereka bukan semua sebab mereka yang pilih, tetapi mangsa keadaan. Janganlah si kaya mengatakan "MENYESAL TAK ZAMAN MUDA KAMU BEGITU BEGINI...". Tidak tahu, belajarlah, semoga kita menjadi orang yang berilmu semasa bercakap, berfikir dan bertindak. 

Wallahu a'lam. 

Wednesday, 21 July 2021

SUMBER SEJARAH MELAYU

Saya dan rakan-rakan penyelidik Institut Ketamadunan Melaka (TUAH) sedang menjalankan kajian berkaitan dengan raja-raja dan sejarah di Negeri Sembilan yang berkait rapat dengan keturunan Minangkabau yang berasal dari Pagaruyung Sumatera Indonesia.

Semasa membuat bacaan, kebanyakan maklumat dapat kita cari di jurnal ini JOURNAL OF THE STRAITS BRANCH OF THE ROYAL ASIATIC SOCIETY.

Manakala di laman sesawang ATMA UKM juga mempunyai sejumlah simpanan maklumat yang cukup banyak juga. Anda boleh lawati di link ini Pusat Rujukan Sehenti Penyelidikan Alam Melayu.

Semoga bermanfaat.

Monday, 19 July 2021

DOA SEORANG PELAJAR

Saya ingat apabila sebut tentang solat hajat dan doa, teringat pernah ditegur oleh seseorang (rakan sepejabat).

Apabila saya menjelaskan tentang kedudukan status pengajian PhD saya (masa sedang menyiapkan Sarjana pun) ada yang menegur untuk melakukan solat hajat dan berdoa.

Bagi saya sendiri,  setiap ujian bagi manusia itu berbeza-beza. 

Ada orang ujiannya ke atas harta, baik kenderaan mahupun rumah atau wang ringgit..

Ada orang ujiannya ke atas keluarga yang disayangi baik anak, ibu, isteri dan sebagainya..

Ada orang ujiannya dalam masalah pembelajaran..baik mengurus masa, penyelia, teknikal universiti dan sebagainya...

Ada orang ujiannya ke atas masalah keterbatasan ilmu yang mengawal otak dan emosinya...

Ada orang ujiannya ke atas urusan kerjayanya, baik problem dengan rakan sekerja mahupun majikan..

Banyak jenis ujian.

Ada juga diuji masalah kesihatan.

Ada yang menafsirkan ujian ini sebagai balasan Tuhan. Namun, saya juga pernah mendengar kuliah bahawa ujian ini bukan balasan, tetapi untuk meningkatkan diri seseorang dan memantapkan iman seseorang.

Disinilah muncul isu redha. Nanti diikuti pula dengan isu taqwa.

Jadi, kita bukan lah penentu kepada apa yang diberikan Allah kepada seseorang. Sama-sama kita muhasabah diri. Ketika saya diuji dengan masalah di universiti, anda pula diuji dengan masalah kesihatan yang teruk. 

Perlukah saya bertanya, apakah perbuatan anda untuk balasan Tuhan ini?

Jangan berhenti menjadi seorang pelajar.

Jangan berhenti berdoa.

Berhentilah menghukum!

SEMESTER 3 SARJANA PENGAJIAN ISLAM KUIM

Pada semester ini, saya mengambil 4 kursus iaitu (1) Sejarah dan Tamadun Islam di Nusantara, (2) Al-Quran dan Masyarakat Kontemporari, (3) Seminar Kepimpinan Islam dan (4) Kaedah Penyelidikan. KUIM juga baharu sahaja melepasi audit dari pihak MQA (Agensi Kelayakan Malaysia). Bersyukur juga, pada semester lepas mendapat keputusan peperiksaan yang baik. Terima Kasih kepada guru-guru pensyarah KUIM. Walaupun sebenarnya saya berasa masih lagi banyak yang saya tidak tahu, perlu lebih banyak membaca dan mencari serta menuntut lagi ilmu ALlah yang cukup luas ini.

Bagi semester ini terasa agak berat juga. Namun perlu dicekalkan juga hati untuk meneruskan ke titik yang terakhir. 

Saya berpendapat, apabila kita suka, kita minat, tiada lagi halangan lain kecuali satu kuasa sahaja yang tidak dapat kita elak, dan dengan demikian, seringlah berdoa dan bermunajat kepada NYA agar lancar dan mudah kita harunginya hingga selesai pengajian. 

Saya pernah terbaca tulisan seorang profesor, katanya tidak pernah dilihat  orang yang belajar tidak pernah berdoa. Semoga segala usaha anda sebagai seorang penuntut ilmu juga diberkati dan dirahmati selalu. Semoga mendapat ilmu yang bermanfaat!

KATA KUNCI UNTUK SEORANG PELAJAR BERJAYA IALAH USAHA + DOA + TAWAKAL.

Dari zaman sekolah hingga kini, tetap formula yang sama. Ini adalah kerana pesanan dari wahyu Allah. 

Jangan takut untuk stress demi sebuah masa hadapan yang cerah dan gemilang. Ilmu ini bukannya gunanya hanya di dunia malah di akhirat juga.

Kalaulah semua orang tahu bahawa pentingnya ILMU, rasanya semua orang akan menjadi orang yang cintakan ilmu dan sebarkan ilmu. Maka dunia ini akan terus sejahtera kerana dipenuhi dengan orang-orang alim.

Walau ilmu yang dipelajari berbeza-beza, melengkapi antara satu sama lain itu sangat baik. Tambahan pula, jarang orang kuasai banyak bidang. Dan kepakaran seseorang pun bukanlah mengetahui segalanya. 

Bagi saya, tiada perkara boleh didapati dengan mudah. Berusahalah demi sesuatu, tanpa usaha dan pengorbanan, hasilnya KOSONG!

DROPSHIP PUN KENA BAYAR CUKAI

Info dari Lembaga Hasil Dalam Negeri

Mulai Tahun 2015 individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.

Rupanya,

Dropship pun kena daftar dan bayar cukai juga! Kena tahu perkara ini. Jangan lupa simpan semua maklumat/dokumen (bil/resit etc) selama 7 tahun bagi tujuan rekod.



Kalau lihat zaman sekarang, ramai orang yang sudah mula menjadi dropship bagi menampung pendapatan harian, malah kadang-kala yang dipaparkan di media sosial melebihi daripada kos sara hidup.

Boleh baca kat sini juga untuk tambahan maklumat dan boleh menjawab persoalan Saya Berniaga Online Jerr… Tak Perlulah Daftar SSM & LHDN.

Dengan demikian, sama-samalah kita menjadi warganegara yang baik dengan mendaftar dan declaire pendapatan dengan LHDN. Anda warganegara yang hebat!

Sekiranya orang lain bersedekah yang ditunjuk-tunjukkan di media sosial, anda tetap menjalankan tugas tersebut dengan menyorokkkan 'tangan kiri' anda.

Duit lebihan ini adalah untuk kesejahteraan negara, malah untuk kegunaan anak cucu kita kelak.

Membayar cukai adalah tanggungjawab bersama.

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...