Thursday, 4 March 2021

Student Master Pengajian Islam di Kolej Universiti Islam Melaka

Menjadi seorang pelajar dan dalam masa yang sama bekerja bukan suatu perkara yang senang, malah bukan juga terlalu susah.

Saya menyambung pengajian dan saya juga bekerja, sebagai seorang ahli akademik.

Saya diberi tugasan untuk memenuhi keperluan kursus-kursus bagi setiap semester. Kursus semester ini ialah:

1) Metodologi Hukum

    tugasan: jenis metodologi hukum dan aplikasinya

2) Akhlak

    tugasan: ulasan artikel

3) Isu Aqidah

    tugasan: Tokoh Aqidah

4) Isu Hadis 

    tugasan: Hadis-hadis akhir zaman dan sikap antihadis

5) Isu Dakwah

    tugasan: tokoh, isu dan fiqh dakwah di Malaysia


Saya sebenarnya sudah mempunyai Sarjana Falsafah. Namun, disebabkan semangat untuk belajar masih membara, saya nekadkan hati untuk masuk kelas dan menduduki peperiksaan memandangkan Sarjana Pengajian Islam (SPI) ini ditawarkan secara kerja kursus.


Cabaran untuk belajar adalah... yang paling besar adalah melawan sikap-sikap yang menghalang untuk berjaya. 

1) mesti kena rajin (tidak boleh ada perkataan MALAS)

tapi saya ada ketika lemah semangat juga.. tetapi, bagi saya perlu juga ada masa kita beri 'reward' pada diri dengan memberi ruang untuk menonton televisyen seketika atau keluar ambil angin.

2) disiplin (kena pandai urus dan jaga masa)

mesti kena jadi pengawas kepada diri sendiri. Saya tidak terlalu keras pada diri sendiri, saya elak supaya tidak terkena simptom stress. Tetapi saya akan ikut tarikh (due) untuk penyerahan tugasan yang telah berikan. Saya akan menulis senarai tugasan, dan letakkan tarikh kemudian saya akan selesaikan satu persatu mengikut urutan yang mana paling awal perlu diserahkan. Kalau ada banyak sekaligus, saya akan buka fail beberapa tugasan yang ingin ditulis, dan mula buat carian maklumat. Saya akan menulis mengikut tugasan yang saya mula tercetus idea dan muncul minat serta keseronokan. Biasanya saya akan mula ulangkaji/menyiapkan tugasan awal pagi sehingga zohor dan selepas maghrib sehingga jam 10-11 malam sahaja.

3) cara hidup / makan / sukan (bersenam)

mesti kena jaga supaya tidak mudah stress, kesihatan terjamin untuk mengekalkan momentum bagi menyiapkan tugasan dan proses pembelajaran.


Percayalah pada diri sendiri, scroll bukanlah ukurannya, namun ilmu yang hendak dipelajari dan digunakan untuk diri sendiri mahupun untuk masyarakat, itulah keutamaan. 


Ilmu itu penting, bermula dari diri individu demi pembentukan sebuah peradaban yang gemilang baik di dunia mahupun akhirat.

Saturday, 2 January 2021

Ilusi atau Realiti?

 Pelbagai kaedah untuk maju ke hadapan.

Ada orang naik secara berusaha keras.

Ada pula, yang menggunakan kemanisan wajah untuk menarik hati dan perasaan sang ketua.

Ada pula, yang mengambil mudah sahaja, yang penting sudah selesaikan tugas.

Yang menganggap ukhrawi lebih penting, hal duniawi bukanlah suatu kepentingan.

Pelbagai corak pemikiran manusia.

Ada yang negatif, ada pula yang positif.

Ada yang rasa dirinya adalah baik, namun sebenarnya rakan-rakan cuba berbuat baik demi menjaga hatinya.

Ada yang mengelak sahaja daripada timbul pelbagai sangka hati.

Ada yang bermuka-muka namun tidak tahu bahawa satu dunia dan seluruh isinya sudah mengetahui persis apa dirinya.

Masing-masing punya nilai hati.

Dan akhirnya,

Setiap orang pasti akan diuji baik dengan harta dunia mahupun ujian yang tidak tertanggung kepedihannya...

... kerendahan hati, keikhlasan hati, tiada yang lebih mengetahui kecuali DIA.

Sekiranya...

Kita mengetahui, kita berharap kita dapat menjadi insan yang baik dan hamba yang soleh/solehah.

Kamu mengetahui, kamu pasti sudah berubah menjadi orang yang ikhlas dan bersilaturrahim dengan tiada buruk sangka.

Mereka mengetahui, mereka pasti akan menyokongmu bukan berbuat seolah-olah menyokong tetapi hanya sekadar menjaga hatimu. Namun, kamu sahaja yang tidak sedar diri!

Ketahuilah,

Dunia ini hanya persinggahan.


Dan pada ketika Hari Pengakhiran,

Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan amalmu yang membantumu!

Sunday, 16 August 2020

Nasyid Wanita (InTeam) : Nasyid Dulu, Kini dan Selamanya

Akhir-akhir ini popular kembali lagu nasyid DeHearty yang dinyanyikan semula oleh InTeam. Lagu ini antara lagu kegemaran saya ketika zaman belajar dahulu. Dan saya menggemarinya sehingga kini.

Pada pandangan saya, lagu nasyid sekarang kurang menyentuh jiwa apatah lagi meruntun jiwa. Kesyahduan yang dialunkan berbeza. Seolah-olah hanya sekadar ingin popular semata-mata. Namun tidak menjiwai roh seni itu.

Selamat Maju Jaya InTeam dan selamat menikmati pencinta nasyid sekalian.

Antara perkara yang baik dibawa oleh pengaruh kumpulan nasyid:

1) Sifat-sifat yang baik - mahmudah

2) Jangan lalai dengan muzik - duniawi

3) Nilai persahabatan

4) Kejayaan dunia akhirat - keperluan berjuang

5) Kepentingan menuntut ilmu

6) Kemestian mempunyai adab (adab dengan Allah, ibu bapa, guru, rakan-rakan dan seluruh isi alam semesta)

7) Memahami Islam

Dan banyak lagi.


Tetapi kalau diperhatikan zaman kini, anak muda lebih banyak hanya cuba untuk POPULAR. 

Sunday, 12 July 2020

Cara untuk dapat Pointer Paling Baik

Ketika saya menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda, saya menemui kaedah pembelajaran untuk diri saya. Saya adalah kategori biasa, bukan kategori 'lompat kelas'. 
Dengan demikian, Alhamdulillah, saya pulang ke Malaysia dengan segulung ijazah (dengan pointer yang agak baik).

Antara kaedah yang saya guna pakai adalah; 

1. Belajar 3 kali

MASA PERTAMA, pelajari sebelum masuk kelas. Iaitu pada waktu malam sebelum kuliah keesokan harinya. 

Langkah persediaan awal, baca secara ringkas dan cari maklumat yang berkaitan, jangan risau walau tidak faham.
MASA KEDUA, mendengar sepenuhnya dan fokus kepada pelajaran yang diajarkan oleh guru/pensyarah ketika kuliah berjalan. 

Serta mengambil bahagian di dalam kelas dengan bertanyakan soalan dan memberi pandangan (berdasarkan pembacaan pada malam tadi). 
Pengalaman Dr Amalina yang pernah menjadi pelajar terbaik SPM 17A1 pada tahun 2004, akan belajar sebelum tidur.
Teknik ini digunakan oleh Ibnu Sina, tokoh perubatan dalam Islam yang menggunakan teknik mengajarkan kepada orang lain justeru beliau mudah untuk praktikkan selepas habis pengajiannya. Malah sebelum tamat beliau sudah dipercayai oleh masyarakat termasuk pemerintah waktu itu.

MASA KETIGA, pulang ke rumah selesai kuliah dengan mengulangkaji semula (menulis nota berdasarkan pengajaran guru dengan merujuk buku-buku berkaitan). 

Mesti buat terus, sebab masih segar di ingatan.


Teknik ini akan memberi kesan yang panjang, kerana anda tidak perlu menghimpunkan semuanya pada malam peperiksaan. 
Dan anda dapat menjawab dengan baik kerana anda memahaminya bukan menghafaz semata-mata.

2. Tidak ikut teknik orang lain

Anda perlu cari kaedah yang sesuai dengan kemampuan anda.

Ibnu Sina juga menggunakan teknik ini. Beliau akan bersungguh-sungguh selagi mana beliau mampu. 

Anda tidak perlu mengikut kaedah orang lain, cuba cari suasana dan teknik bagaimana yang sesuai untuk anda.

3. Teknik Pembelajaran Feynman
Kaedah yang saya guna adalah:

i) Tulis (tulis nota sendiri - rujuk pensyarah atau buku-buku berkaitan).

Pengajaran dari kisah Imam Syafii dan dalam hadis Nabi juga menyebut tentang menulis.

ii) Bercakap di dalam kelas (bertanya soalan dan kemukakan pandangan kepada pensyarah - walaupun belum tahu ia betul atau salah; tetapi perlu juga atas dasar pembacaan ringkas). Seperti pengamalan Ibnu Sina dan Imam Syafii.

iii)Mencari maklumat tentang apa yang tidak diketahui - cari maksud konsep / definisi sesuatu perkara. 

Imam Ghazali akan mencari guru untuk memahamkan apa yang menjadi kekeliruan kepadanya walaupun hanya seorang penjual daging di pasar.

iv) Menggunakan bahasa sendiri berdasarkan pemahaman supaya ia jadi lebih mudah.

4)Bersahabat dengan Guru

Ulama' terdahulu sering berpesan malah mengikut pengkisahan ilmuwan dahulu sering mendampingi gurunya.
Begitu juga saya, saya sering mengunjungi pensyarah saya apabila saya memerlukan bantuan. 
Namun, tiada terdetik untuk mendapatkan gred yang baik. 
Perlu luruskan niat agar ilmu sentiasa melekat di dada.
Adab dengan guru perlu dijaga, sentiasa doakan mereka agar ilmu yang diberi mudah untuk digunakan bila-bila masa.

5) Menjauhkan dari sebarang gangguan.
Penting untuk dapatkan kefahaman yang mendalam, perlu elak dari sebarang gangguan. Tutup data, jangan buka whatsapp, facebook, instagram atau sebarang bentuk aplikasi. 

Kalau saya dahulu, sebab nak elak gangguan dari bunyi tv/radio atau rakan-rakan (zaman dahulu belum ada penggunaan internet yang meluas, belum ada smart phone), 
saya akan bangun tengah malam sehingga subuh untuk belajar. 
Kerana perlu tahap fokus yang tinggi semasa membuat nota dan merujuk buku dengan menggunakan pemahaman saya (saya tidak menggunakan hafalan, tetapi lebih kepada kefahaman).

Kalau nak minum air, letak terus air minuman di tepi meja anda. Tetapi tidak boleh makanan.

6) Cara membuat nota

Saya akan menulis nota dengan menggunakan pen berwarna.



7) Mesti keluar Senaman / aktiviti luar
Saya akan rutinkan senaman, bagi mengekalkan kecergasan badan dan keseimbangan otak dalam berfikiran secara positif. 

Dalam Islam menjadi kewajipan untuk kita menjaga tubuh badan yang dikurniakan ALlah bagi melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini.

8) Sekiranya anda keluar (ada urusan luar/bersosial/kenduri dan sebagainya) sehingga menyebabkan waktu belajar anda kurang, MESTI GANTIKAN NYA. WAJIB.
Imam Ghazali berkata perlu pelajari sehingga menguasainya. Imam Syafii juga menyampaikan bahawa perlu gigih dalam menuntut ilmu.

9) Sabar
Adakala belajar ini susah untuk difahami, takut untuk ke depan sewaktu pembentangan, takut untuk berjumpa dengan guru/pensyarah yang tegas, takut salah apa yang ditugaskan, semuanya tentang TAKUT. 

Perlu banyak bersabar dan terus berfikiran positif. Banyakkan berdoa dan solat hajat serta amalan-amalan sunat yang lain. Semoga hati terus kuat, dibantu Allah dalam urusan pembelajaran.

10) Disiplin

Mesti buat setiap hari.. Ini adalah tulang belakang kepada proses belajar.

Dalam al-Quran menyebut tentang tidak bertangguh, 

Hadis ini dirujuk dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, SS Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri:

Daripada Ibn Umar RA katanya, Rasulullah SAW memegang dua bahuku seraya bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ ، وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ : إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Maksudnya: “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar RA berkata: Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu.

Riwayat al-Bukhari (6053)


SEMOGA BERMANFAAT.


Artikel ini disediakan untuk pelajar di Kem Terendak dalam slot Kaedah Pembelajaran Berkesan.

ⓒFarrahKUIM

Sunday, 14 June 2020

Problem Statement (Penyataan Masalah) Mudah Faham

Sekadar perkongsian kepada yang masih tertanya-tanya apa itu Problem Statement dalam penulisan tesis. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr Hasnah, Dr Azam dan raka-rakan yang sentiasa bersedia dalam perkongsian ilmu walau dimana berada dan pada waktu bila-bila masa sahaja yang merspon setiap kali persoalan muncul. Hanya Allah sahaja boleh membalasnya. Ameen.🌹🌹

💻Petikan dari Group Whatsapp PhD. 3.0 Coaching yang diterajui oleh Dr Hasnah (Pensyarah, IPG Kampus Raja Melewar) dan Dr Azam (Pensyarah Kanan, UiTM Rembau).

✅Wsalam....nothing easy utk PhD.
Problem boleh datang dari masalah harian yang kita alami,perhati, dengar dari org lain.....tapi kita kena pastikan apa yang kita alami, perhatikan, dengar tu adalah problem  dan bukanya symptom (petanda) kepada masalah. Macam contoh yg saya pernah beri - Anak kita lemah Matematik (kita anggap itu masalah) maka kita hantar pergi tuition (solution) sedangkan lemah Matematik tu cuma symptom kepada MASALAH SEBENAR. Bila kita hantar tuition Matematik masih tidak selesai masalah lemah Matematik. Kenapa? Sebab masalah sebenar anak kita ialah mungkin "guru, tumpuan, minat, dll"
Masalah juga boleh datang dari LR - tak kira kita gunakaedah apa ie LR Matriks ke , SLR ke as long you do analysis from previous study.




Saturday, 13 June 2020

Jom Sambung Belajar Sarjana Pengajian Islam di Kolej Universiti Islam Melaka

Pada semester ini, bermula Jun 2020, saya mendaftar sebagai pelajar Sarjana Pengajian Islam (Kerja Kursus) Sepenuh Masa di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM). Ini merupakan sarjana kedua saya (diharapkan saya mampu menyelesaikan hingga ke akhirnya demi setitis ilmu untuk bekalan diri saya dan dapat dikongsi dengan umat kelak) setelah beberapa tahun yang lalu saya berjaya menamatkan Sarjana Falsafah (Antropologi & Sosiologi) di Universiti Kebangsaan Malaysia (2014). 

Walaupun kini saya sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (Pembangunan Komuniti) di Universiti Putra Malaysia, saya cuba untuk menambahkan ilmu sementara saya sihat dan bertenaga. Semoga Allah beri kekuatan kepada hambaNya yang menuntut ilmu, ikhlaskan dan berilah kami kesabaran serta ketetapan hati di landasanMu Ya Allah.

KUIM mempunyai ciri tersendiri. Bagi saya, anda berada di universiti/kolej mana sekalipun, tetap mempunyai kelemahan dan kebaikan tersendiri. Pada pandangan saya, setiap kelemahan dan kebaikan itu memberi pelbagai manfaat dan pengalaman kepada individu tersebut. Jarang beri kemudharatan kepada pelajar, melainkan ia benar-benar TERUK. Namun begitu, setiap IPT mempunyai unit yang mengawal dan memantau proses/prosedur pengurusan khususnya dalam aspek menjaga kualiti pengeluaran produk. Tentu sahaja, pihak IPT ingin memberikan kesan yang baik kepada pelanggannya (pelajar).

Bagaimana cara kita bertindak balas apabila timbul isu, bagaimana kita mengeluarkan kata-kata, bagaimana intonasi, emosi, kita kepada sesuatu isu, perlulah ditimbang baik buruk. IPT di Malaysia bukanlah 'anak kecil'. Tetapi sudah hampir setara dengan universiti antarabangsa. 

Sepertimana KUIM, antara kelebihannya pada pandangan saya;

Kalau kata pensyarahnya berpengalaman, IPT lain juga akan berkata demikian. Pensyarah di KUIM khususnya bagi Fakulti Pengajian Islam (FKI) mempunyai ciri khas tersendiri. Dengan berlatar belakangkan kelayakan/pendidikan yang baik dan dipercayai. Kebanyakan pensyarah FKI boleh berbahasa Arab dengan fasih (tentu sahaja kitab-kitab yang digunakan adalah muktabar). Kebanyakan mereka lulusan Jordan, Mesir, Indonesia, UIA, UKM, UM dan beberapa universiti lain lagi. 
Selain itu, program yang ditawarkan di KUIM diiktiraf peringkat Kementerian Pengajian Tinggi dan Malaysian Qualification Accreditation (MQA). Kalian boleh cek kelulusan di laman web berkaitan. 

Saya sendiri merupakan tenaga pengajar di Fakulti Sains Sosial (FSS), KUIM. Kebanyakan kami disini merupakan graduan dari UKM, USM,UIA, UMS dan UiTM. Saya sendiri lulusan Ijazah pertama saya di Indonesia, kemudian sambung di UKM dan kini sedang menuntut di UPM (dalam masa yang sama saya menambahkan pengetahuan, sepertimana yang telah saya kongsikan dalam perenggan pertama).
Jika dibandingkan dengan universiti yang terkemuka di Malaysia tentu kami ini sangatlah kerdil. Namun begitu, dalam serba kekurangan (kampus tidak segah universiti lain), disebabkan pensyarah ramai yang masih muda, dan tidak jauh beza dengan usia para pelajar, menjadikan bonus kepada pelajar. Ini adalah kerana para pelajar boleh membina hubungan dengan pensyarah dan menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik dan lancar. Kadang-kadang anda menikmati makan malam di bilik pensyarah sambil menyiapkan tesis anda (Rakan Pensyarah di bilik saya , Pn Noraini sering berbuat demikian... kadang-kadang sampai lewat malam). Kalian boleh lihat artikel saya sebelum ini. Terdapat beberapa aktiviti yang telah kami lakukan bersama-sama.

Berdasarkan pengalaman saya, faktor usia juga memainkan peranan. Ketika saya menuntut di Indonesia, banyak yang saya pelajari ketika sesi perkuliahan berlangsung. Tidak terlalu banyak gap antara para pelajar dengan pensyarah, namun adab kepada guru tidaklah saya lupakan. Kadang-kala hantar tugasan pada waktu malam di rumah pensyarah berkaitan (kelihatan tidak sopan, namun begitu itulah situasinya di sana). Pada hari minggu ingin pinjam buku pensyarah, terus ke rumahnya, begitu tidak janggal yang cukup berbeza di Malaysia.

Di Malaysia, saya mengenali seorang pensyarah yang juga cukup saya hormati iaitu Prof. Dr Lukman Z. Mohamad yang kini bertugas di UNiSZA Terengganu. Sangat bersahaja dan mudah mendapatkan pandangan.

Mengenali para pensyarah ini tentu berbeza. Semuanya pengalaman. Tiada mereka, walau pahit sekalipun pengalaman bersamanya, tiadalah keindahan warna--warni pandangan mata kita terhadap dunia yang penuh mencabar ini. Bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana mempertemukan kita dengan kepelbagaian jenis manusia yang ada. Semoga semua guru dan pensyarah saya diredhai dan dirahmati selalu. Bagi saya sendiri, tidak pernah terkeluar dari mulut dan sanubari untuk menganiaya para pelajar. Jangan mengeluh, teruslah melangkah! Di hujung sana terdapat pelangi yang indah.

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...