Tuesday, 29 May 2018

Kuala Sungai Baru dan Kolej Universiti Islam Melaka : Lokasi Terindah, Memang Best! Bahagian 2

Pemilihan lokasi untuk kita melancong, menetap, tinggal sementara (kerana bekerja atau belajar) tentu menjadi hal yang sangat serius untuk dipertimbangkan. Lokasi yang baik dan indah, tentu sangat wajar bagi kita kerana sesuatu yang baik dan indah sukar didapati di seluruh tempat. 
Bagi saya yang kini tinggal di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka merasakan keindahan tersebut. Lokasinya yang berada berhampiran dengan kawasan peranginan, pantai yang mengadap Bumi Lancang Kuning, Riau, Sumatera. Keindahan kawasan pantai di sini yang bersih seringkali menjadi pilihan keluarga dan pelancong berkunjung ke sini. Justeru itu, apabila hujung minggu tiba, kawasan pekan Kuala Sungai Baru dipenuhi dengan pengunjung luar yang memenuhi kawasan pasar untuk sama-sama berebut dengan penduduk tempatan bagi mendapatkan makanan laut yang segar serta murah. 

Antara faktor kedua yang menjadi pilihan apabila tinggal di Kuala Sungai Baru ini ialah, perbelanjaan harian yang memadai dan tidak terlalu tinggi. Bukan menjadi suatu yang aneh apabila kawasan yang masih terjaga sebagai sebuah perkampungan pesisir yang kos sara hidup yang masih rendah. Namun, faktor ini tidak menghalang saya untuk terus tinggal di sini jauh dari kelaziman kota yang mudah mendapatkan segala hal dan arus pemodenan. Antara menu pilihan komuniti nelayan di sini  ialah asam pedas, ikan bakar, sotong goreng celup tepung dan lempeng kelapa. Asam pedas di sini memang tidak viral, namun lebih terasa sedap dan seperti menikmati hidangan di rumah. Kawasan makan untuk tengahari memang banyak terdapat di kawasan menghadap Laut Selat Melaka ini. Selain dapat menikmati makanan yang sedap, mata juga dihidangkan dengan pemandangan yang sangat indah. Apabila tiba waktu minum petang, anda boleh cuba makan lempeng kelapa yang enak. Lempeng ini boleh didapati di gerai-gerai kecil yang terdapat betul-betul di tepi pantai. Enak! Tidak rugi sekiranya anda memilih KSB sebagai lokasi untuk bercuti dan menyambung pengajian di KUIM. Maaf, asyik bercakap tentang makanan. Masih ada lagi yang ingin saya kongsikan😊
Bersama-sama dengan pelajar di hujung minggu, sambil release tension dengan mengutip remis di pantai.
*Remis bukan selalu ada, musim tertentu sahaja.

Ada juga di kawasan berhampiran yang menyediakan cendol yang menggunakan santan dari kelapa sawit. Cendol ini saya pernah makan yang gerainya terletak di Pekan Lubok China. Kawasan ini sempadan Melaka dengan Negeri Sembilan. Lebih kurang 15 minit sahaja dari KUIM. Sekiranya anda berminat dengan hutan dan mendaki bukit (walau pun tidak terlalu mencabar dan tinggi, namun bagi saya cukup baik untuk melatih stamina), lebih kurang 25 hingga 30 minit untuk ke Tanjung Tuan, Port Dickson. Cukup indah! Cubalah ke sana dan rasai sendiri. Namun, saya mencadangkan agar anda mengenakan pakaian dan kasut yang sesuai agar tidak sakit kaki dan tidak melecet kerana pendakian 10 minit pertama sangat mencabar.

Sebenarnya di Kuala Sungai Baru ini juga mempunyai kawasan menarik dan bersejarah seperti Pulau Kenit (masyarakat tempatan menyebut Pulau Konet) dan Fort Supai di Kuala Linggi. Kawasan Kuala Sungai Baru ini jarang diketahui ramai. Tambahan pula, kawasan Umbai lebih menarik perhatian ramai setelah sejak sekian lama. Kelebihan yang terdapat di kawasan kampung nelayan ini mempunyai ciri tersendiri. Anda perlu datang dan nikmati sendiri! Homestay dan guest house cukup banyak dan mempunyai pelbagai pilihan harga mengikut kehendak pelanggan. Kawasan Pantai Pengkalan Balak merupakan antara kawasan penginapan yang termurah di Malaysia berbanding di kawasan pantai lain yang menjadikan kawasan tersebut eksklusif sehingga bayaran penginapan juga mahal. Datanglah ke Kuala Sungai Baru, dan nikmatilah Pantai Pengkalan Balak dan pantai-pantai di sekitarnya. Anda tidak akan rasa rugi sekiranya inginkan ketenangan dan anda sangat mementingkan penjimatan sewaktu bercuti.

Selamat menikmati😉
Sedap! Banyak remis di pantai apabila tiba musimnya. Penduduk tempatan tidak menjual remis, kalau teringin perlu ke pantai bawa peralatan seperti penapis untuk memudahkan pencarian dan kutipan remis.
*Masak ringkas-ringkas pun sudah sedap!😋

Kuala Sungai Baru dan Kolej Universiti Islam Melaka : Lokasi Terindah Bahagian 1

Sekadar perkongsian maklumat bagi yang ingin mengenali KSB dan KUIM. Sekiranya anda Google search, jarang sekali kita memperoleh maklumat tentang KSB, manakala KUIM mungkin banyak di media sosial. Namun, jika ingin mendapatkan rumah tumpangan atau guest house atau homestay, mudah didapati di pelbagai page yang disediakan oleh pemiliknya.

Saya ingin berkongsi apa yang saya rasai dan nikmati sepanjang saya tinggal di KSB. Kuala Sungai Baru adalah satu perkampungan pesisir pantai yang berada dalam daerah Alor Gajah. Namun, kawasan pekan yang berhampiran adalah Masjid Tanah. Kawasan Kuala Sungai Baru ini agak strategik sekiranya anda suka dengan kawasan pantai. Kawasan pantai yang bersih dan mudah untuk menjalankan aktiviti luar tentu menjadi pilihan bagi mereka yang suka 'hangout' dengan ahli keluarga atau kawan-kawan. Saya sendiri bersama-sama ahli keluarga, kawan-kawan (KUIM) dan pelajar-pelajar yang membantu kerja-kerja penyelidikan saya pernah juga ber'BBQ di kawasan pantai yang berhampiran dengan Pantai Tanjung Bidara. 




 Aktiviti luar boleh menjalinkan hubungan yang baik antara satu sama lain💓


 Amalina dan rakan-rakan sangat rajin dan pandai menyediakan bahan dan kelengkapan BBQ.



Ragam simbol anak muda yang pelbagai.

Izzat dan Laila bersungguh-sungguh membuat persiapan untuk memancing. Sambil BBQ, pancing dipasang. 


Aktiviti luar sangat menyeronokkan. Mereka sedang bermain bola tampar pantai.




Waktu senja memang sangat indah bagi yang gemar menikmatinya.


Kawasan yang menarik dan indah memudahkan serta memberi keselesaan kepada pengunjung. Semasa saya baru sahaja tinggal di KSB, pernah juga saya membeli jagung rebus dari Pasar Malam Tanjung Bidara yang berhampiran dengan Kem Terendak, dan makan di kawasan pantai yang betul-betul berada di tepi jalan sahaja. Jadi, tidak susah untuk kita menikmatinya kerana hanya parkir dan terus duduk. Bukan seperti di sesetengah kawasan pantai yang lain, perlu mencari kawasan parkir terlebih dahulu dan kemudian mencari kawasan berteduh untuk menikmati makanan yang dibawa. 

Sambungan di Bahagian 2. Jumpa lagi😉



Dari jendela kamar penulis di bangunan blok kediaman siswi KUIM. Suasana di KSB hari ini, cuti umum Waisak Day yang berkabus di pagi hari. Dingin.

Adab + Ilmu

Teringat pepatah Arab dari mufti muda Mesir pernah mengatakan bahawa "orang yang beradab lebih baik daripada orang yang berilmu". Ini adalah kerana apabila seseorang itu beradab dia akan lebih dipandang mulia daripada orang yang berilmu. Sekiranya orang yang berilmu itu tidak beradab tentulah dia tidak akan dipandang mulia sekiranya dia tidak beradab walaupun dia mempunyai kelayakan atau kelulusan tinggi. Pelbagai jenis penilaian yang dibuat oleh manusia, ada dari segi kelayakan atau kelulusan formal, tetapi bagi masyarakat di kampung, adab-adab masih lagi ditekankan kepada anak-anak, berbeza bagi masyarakat di kota. Kaedah didikan anak juga mengalami perbezaan dan perkembangan berdasarkan arus kemodenan. Proses sosialisasi manusia juga mengalami perubahan. Bagi saya, perubahan tidak boleh dielak, namun perlulah diikat bersama-sama agama dan ilmu agar hidup tidak terumbang-ambing tiada pedoman. ILMU + AGAMA = BAHAGIA SEJAHTERA baik di dunia mahupun akhirat. Insya Allah. Diharapkan ilmu ada, agama juga ada. Bukan sahaja beradab, malah berilmu juga. Moga Islam dijulang sampai bila-bila...

Thursday, 26 January 2012

Mohon Ampunan Mu Ya Allah, Sekadar Peringatan Bersama-sama Saudara SeIslamku...

Kadang-kadang merasa berputus asa untuk meneruskan hubungan dengan mereka yang tidak matang, saling sakit-menyakiti antara satu sama lain, saling berdengki dan sebagainya. Betapa lemahnya iman saya sehingga merasa sangat sakit dengan pelbagai jenis karenah manusia yang sedemikian. Sesungguhnya saya merasa kadang-kadang manusia itu aneh dan pelik. Mengapa ada juga insan yang sedemikian?

Allah begitu banyak menyusun agenda buat saya supaya lebih kental dan sabar. Allah begitu hebat mencipta sesuatu supaya saya lebih berhati-hati, sentiasa mengingatiNYA, Allah Maha Hebat. Allah berilah ku kekuatan sesungguhnya saya ini sangatlah lemah, sangat hina, betapa banyaknya dosa-dosaku pada Mu Tuhan.

Kadang-kadang saya tidak tahu apakah saya yang salah atau mereka yang salah?
Atau saya yang sensitif?

Walau bagaimanapun, syukur Alhamdulillah, Allah masih memberi kepada saya hadiah-hadiah yang lain. Saya ada sahabat-sahabat yang baik, keluarga yang bahagia, pekerjaan yang mulia. Alhamdulillah. Hidup ini indah sekiranya semua kembali kepada ALlah. Terima Kasih Tuhan.

Saya cuma berharap, mana-mana insan yang berbuat tidak baik kepada sahabatnya, yang sentiasa merasa tidak puas hati kepada orang lain, menjauhkan diri silaturrahim, yang suka menyindir (dari berterus-terang dengan cara berhikmah), yang tidak pandai menjaga perhubungan, sentiasa berfikir perkara yang pelik-pelik atau bersifat negatif, BERUBAHLAH!
Sesungguhnya masih ada waktu untuk memperbaiki hubungan, jagalah hubungan sesama manusia, kerana kelak anda akan memerlukan antara satu sama lain. Jangan suka menuding kepada orang lain, jangan pula menganggap diri anda sahaja yang baik dan MULIA. Jangan pula mengatakan kita yang tidak bersalah. Manusia itu penuh dengan tipu helah. Penuh dengan defend mechanism. Dekatilah Tuhan agar anda mengetahui mana yang baik, mana yang tidak baik.

Jagalah perhubungan sesama manusia. Walaupun anda solat tidak pernah tinggal, aurat terjaga, tetapi hubungan sesama manusia perlu dititikberatkan. Hubungan sesama manusia itu penting bagi menghasilkan hubungan yang cantik dengan Tuhan. Kalau hanya menjaga hubungan dengan Allah, belum cukup seimbang untuk menempah cinta Allah. Hubungan dengan alam juga penting. Ada tiga hubungan yang penting yang perlu kita jaga.

Jangan pentingkan diri sendiri, jangan menjalinkan hubungan sesama manusia hanya berkepentingan. Jangan pula sering mengatakan orang lain yang berkepentingan. Jangan sering nampak kesalahan orang lain sekiranya anda tidak boleh menerima kenyataan yang anda juga salah! Hidup ini indah sekiranya kita saling ingat-mengingati, saling hormat-menghormati, saling berkasih sayang.

Sekiranya anda sering berasa tidak puas hati dengan orang lain, PERBAIKILAH IMAN ANDA.
Hati anda sedang sakit.

Friday, 25 November 2011

Sekadar Picisan


Isu kali ini tentulah tidak akan berubah jauh dari tajuk-tajuk yang telah dibincangkan dan dipaparkan di laman blog ini. Perkahwinan!
Semua orang dan setiap lapisan masyarakat sangat berminat dengan topik ini, malah mereka yang masih lagi bergelar pelajar juga tidak kurang hebatnya berminat dengan topik ini. Namun, apabila ada yang tidak berminat dengan topik ini dianggap luarbiasa dan aneh. Menurut saya, selaku 'pengkaji sifat-sifat manusia' (pelajar dalam bidang sains sosial tentu saja bahan kajiannya adalah manusia), kita tidak perlu pelik dengan sifat-sifat yang dianggap pelik dan berbeza sekiranya timbul dalam masyarakat dan yang pasti tentulah pendapat seseorang berlandaskan sesuatu pemikiran atau pengalaman yang pernah dilaluinya. Dan, tidak perlulah kita menuduh melulu tentang kenapa atau sebab seseorang itu mempunyai pandangan yang tersendiri.
Kembali kepada topik yang asal iaitu perkahwinan.
Mengapa masyarakat kita sangat berminat dengan topik sedemikian? Bukan saya menafikan fitrah, tetapi berfikir dan bertindaklah berdasarkan ilmu, bukan berlapikkan nafsu semata-mata. Adakah salah menjadi orang yang tidak berkahwin? Rabiatul Adawiah merupakan ahli sufi yang hebat, adakah beliau juga bersalah. Nanti ada lagi jawapan sinis yang mengecam penulis. Rasulullah saw tidak menunjukkan satu jalan sahaja untuk menunjukkan seseorang itu beriman atau tidak. Tidak pula satu cara sahaja untuk bahagia dan murah rezeki (seolah-olah orang yang tidak berkahwin itu tidak mendapat rezeki dan amalan ibadah juga tidak bertambah dek kerana hidup keseorangan, Ketahuilah yang mereka juga mungkin masih lagi berkeluarga). Saya sangat bangga dan terharu apabila melihat anak-anak yang mempunyai kerja yang baik (pendapatan yang baik), akhlak yang baik (sanggup menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua, yang sedang meniti hari tua seolah-olah sedang mengira masa untuk bertemu dengan Tuhan) tetapi masih lagi tidak berkahwin. Bagi saya, segalanya menjadi rahsia Allah. Kita tidak tahu apa sebenarnya hikmah dan hadiah yang Allah akan kurniakan kepada mereka. Kita juga tidak tahu adakah mereka sebenarnya jauh lebih beruntung dari kita yang mempunyai keluarga sendiri (anak, suami dan isteri). Sesungguhnya segalanya adalah rahsia Allah. Jangan menuduh dan mengutuk melulu. Mereka juga boleh jadi tidak terdesak untuk berkahwin, tetapi masyarakat kita sering stereotaipkan dengan pelbagai istilah terutama untuk perempuan dengan pelbagai istilah yang diciptakan seperti andartu atau andalusia.
Sesungguhnya ketahuilah perkahwinan itu adalah ibadah dan menjanjikan pelbagai tanggungjawab bagi peserta-pesertanya. Saya teringat seorang kawan saya yang merupakan seorang graduan pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar mengatakan perkahwinan itu adalah mudah, cuma kita sering menyusahkan. Saya bersetuju dengan pendapat beliau, cuma selaku manusia yang beragama Islam sepatutnya mencari dan menimba ilmu pengetahuan bagaimana menjadi suami/isteri yang baik. Walau bagaimanapun, anda juga haruslah mempelajari bagaimana cara mendidik anak-anak bukan hanya mempelajari bagaimana teknik untuk memuaskan pasangan masing-masing sewaktu melakukan hubungan intim.
Kalau kita merenung sejenak, apakah yang sedang berlaku di dunia sekarang ini? Apakah puncanya? Kita bukan hanya patut mencaci, memaki hamun, tetapi kita sendiri mesti turut turun padang, melihat sendiri apa yang berlaku. Dan yang sedang berlaku itu adalah berpunca dari kita sendiri yang tidak membaca, tidak mencari tahu, tidak bertanya, masing-masing merasa hebat, merasa pandai, merasa alim.
Penulisan saya ini berbaur emosi dan picisan sahaja kerana tidak bersifat ilmiah hanya kerana saya menganggap tulisan ini sekadar luahan emosi dan luahan dari diri saya sendiri setelah sekian lama saya simpan dan perapkan dalam hati dan fikiran.
Berbalik kepada topik, apabila bercakap tentang perkahwinan masing-masing kononnya menunjukkan kehebatan dan hasil yang mereka dapat. Anda tahu atau tidak, itu adalah tanggungjawab! Saya bukan mempersulitkan cuma saya menganggap perkahwinan adalah ibadah. Perkahwinan juga bukan sesuatu untuk dipermainkan seperti yang berlaku sekarang, berkahwin hanya untuk HALALKAN SEKS! Itu bukan tujuan utama perkahwinan. Perkahwinan adalah suatu perkara yang sangat suci. Janganlah kita mengotorinya dengan pelbagai andaian dan perkara-perkara yang hanya menampakkan kehodohan dan kebodohan si pelaku.
Baik, setelah anda berkahwin, anda akan bersedia untuk menimang cahaya mata. Justeru terimalah anak tersebut dengan ilmu di dada, agar kelak anda menjadi ibu bapa yang bahagia di dunia mahupun akhirat. Itu yang saya maksudkan tadi, jangan sentiasa menyalahkan kepada apa yang berlaku dalam masyarakat, bukan hanya menyebut tentang dunia akhir zaman, tetapi berusaha untuk memperbaiki kerana anda sedang melahirkan 'produk-produk' yang akan menduduki dunia ini juga akan sama-sama menerajui dunia ini. Kalau masyarakat bermasalah, tentulah dari kita sendiri yang jarang sekali memperbaiki kehidupan kita dan seluruh ahli keluarga.
Untuk mewujudkan keluarga yang bahagia, tidak sesenang yang dibayangkan. Perkahwinan bermaksud perjanjian untuk hidup bersama-sama dan berkongsi segala-galanya. Anda harus bersedia, terutama dari segi ilmu. Agama itu penting, tetapi kalau anda terlampau taksub atau ekstrim, itu tidak bagus. Agama merupakan indikator yang penting, yang akan membantu untuk mencari kabahagiaan hakiki, tetapi kalau hanya mengharap kebahagiaan akhirat, itu salah. Rasulullah saw sendiri menyuruh kita bersifat sederhana, mencari kedua-duanya (duniawi dan ukhrawi).
Tetapi bagi mereka yang sentiasa merasa mereka adalah golongan yang benar, sering menyalahkan orang lain walaupun ia tiada kaitan dengan aqidah. Malah mereka sering menuduh orang ISLAM yang lain dengan pelbagai perkataan yang hanya boleh memecah-belahkan masyarakat. Padahal, sedarkah kita bahawa Rasulullah saw tidak pernah menggunakan kata-kata kesat walaupun najis dilemparkan di hadapan rumahnya! Tidak malukah kita pada Pope John Paul yang pernah ditembak dan akhirnya dia memaafkan orang yang cuba menembaknya.
Tulisan ini bukan merujuk kepada sesiapa secara individu, tetapi lebih bersifat terbuka tanpa menggunakan sebarang rujukan. Keseluruhan penulisan adalah idea penulis sendiri hasil dari pemerhatian dan fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Juga hasil dari kekesalan kepada masyarakat yang sudah tidak tahu MENGHORMATI PANDANGAN orang lain. Anda harus tahu membezakan antara MENGHORMATI dengan MENERIMA. Menghormati tidak semestinya menerima. Merujuk kepada hal-hal agama, selagi tidak menyalahi aqidah, tidak perlulah kita sengaja menimbulkan isu. Untuk mengubah cara berfikir dalam masyarakat tidak sama seperti kita mengubah dan baiki 'setting' seperti pada mesin-mesin yang telah di'set'kan oleh komputer. Masyarakat adalah makhluk yang berfikir. Tentu sahaja bukan mudah untuk mengubah, malah untuk membentuk persamaan juga susah. Sekiranya ISLAM merasakan ia perlu diperbaiki, gunalah cara yang paling berhemah yang diajarkan oleh Al-Quran dan Sunnah. Semoga UMAT ISLAM serta seluruh masyarakat Islam di dunia ini sama-sama berganding bahu mencari kebenaran, memperbaiki keadaan, berakhlak mulia, berlapang dada, ikhlas dalam beribadah (bukan hanya kerana NAFSU semata-mata) dan mendapat pencerahan hati serta dijaga IMANnya.

wa ilalliqa'...ma'assalamah!

"Di mana bumi dipijak,
Di situ ISLAM dijunjung"

Sunday, 15 August 2010

Marhaban Ya Ramadhan Kareem

Sewaktu bertembung dengan jiran berbangsa Arab depan rumah kami, dia berkata "Ramadhan Kareem" kepada kami.

Apabila menyebut bulan ramadhan, semua orang sibuk dengan ucapan-ucapan tentang kemuliaan ramadhan tetapi bagi yang tidak suka untuk berpuasa, lain pula reaksinya. Ramadhan sangat terkenal dengan kemuliaan dan kelebihan-kelebihannya sehingga rata-rata umat Islam berlumba-lumba beribadah agar dekat dengan Tuhan.

Saya mempunyai pandangan yang tersendiri tentang ibadah-ibadah seperti solat dan puasa kerana saya tidak suka unsur-unsur kesihatan yang menjadi isu. Berpuasa dan solat dijadikan sebagai satu sifat senaman dan kesihatan. Bagi saya, ibadah puasa dan solat tidak dapat dinafikan lagi tentang kehebatannya, tentulah Allah jadikan dan mewajibkan ke atas manusia dengan pelbagai manfaat, mengapa kita lebih melihat kepada unsur-unsur luar bukan kepada unsur-unsur rohani yang bersifat ketaatan kepadaNya.

Puasa dan solat adalah suatu kewajiban yang umat Islam wajib lakukan tanpa ada sebarang alasan. Dan apabila kita lakukannya, ia adalah suatu rasa kesyukuran kita kepada Nya selaku Pencipta dan Pemberi Rezeki kepada kita. Tiada alasan lain yang harus kita hebahkan melainkan rasa syukur atas segala pemberianNya.

Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri. Tetapi apabila ada yang menyebut tentang cas-cas negatif dan positif dalam tubuh apabila melakukan solat dan sebagainya, kita boleh lihat betapa besar dan hebatnya ibadah yang Allah ciptakan dan wajibkan ke atas kita yang tidak ada pada agama lain kerana Islam adalah agama yang syumul. Walau bagaimanapun jangan kita solat kerana inginkan cas-cas tersebut berhubung ataupun ingin menguruskan badan dengan berpuasa (khususnya Isnin dan Khamis), beribadah lah benar-benar kerana Allah dengan menunjukkan rasa syukur dan ikhlas kepadaNya.

*Astaghfirullah Al-azim... Ya ghafur..Ya rahman.. Ya kareem..

Apa Puncanya?

Setiap hari isu buang bayi terpampang di dada akhbar sehingga jemu mendengar berita tersebut yang seolah-olah boleh dikatakan sebagai 'musim buang anak'! Sudah pasti kajian juga sudah banyak dimajukan untuk dijalankan ataupun sudah mendapat hasilnya. Para pembuang bayi juga pasti tidak sedikit yang mengalami masalah jiwa malah membantut masa depan yang cemerlang. Apakah para remaja di Malaysia sekarang sudah tidak menitikberatkan tentang masa depan dengan menggenggam segulung ijazah, berdiri di puncak menara gading? Mengapa mereka tidak berfikir jauh, adakah ibubapa juga boleh dipersalahkan? Adakah para remaja sekarang hanya memikirkan tentang hiburan dan seks semata-mata? Adakah mereka juga berkahwin di usia yang sangat muda hanya semata-mata ingin menghalalkan seks?? Entahlah apa yang jadi pada masyarakat sekarang yang hanya memikirkan tentang seks semata-mata. Tidak ada perkara lainkah yang harus difikir seperti tentang ingin berjaya di dunia apatah lagi akhirat? Adakah mereka hanya memikirkan kesenangan dunia? Jelas! Mereka kurang ilmu agama sebenarnya. Berdasarkan penulis IKIM, mereka ini ketandusan Akhlak.

Sebenarnya kalau dilihat kembali kepada cadangan negeri Melaka dengan memberi kebenaran anak remaja menikah awal bagi mengelak perkara tersebut terjadi, ia hanya boleh dikatakan sebagai salah satu cara namun ia masih tidak dapat diselesaikan kerana mungkin timbul masalah lain pula di kemudian hari seperti yang dikatakan oleh Dr. Mashitah dalam Utusan Malaysia beberapa hari yang lepas. Ini adalah kerana timbul masalah hasil dari tidak memahami secara jelas apakah yang dimaksudkan dengan perkahwinan dan kekeluargaan serta tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah. Berdasarkan kajian-kajian lepas mendapati pasangan yang paling banyak bercerai adalah dari golongan muda dan berpunca dari tidak jelas dengan pengertian perkahwinan.

Walau bagaimanapun, berdasarkan seorang pensyarah dari UPM ini mengatakan masalah ini adalah berpunca dari masalah sosial, agama dan teknologi. Dalam tulisan tersebut, dapat memberi gambaran kepada kita bahawa telah berlaku transformasi (perkataan yang sering teman saya sebut) dalam masyarakat di Malaysia.

Menurut saya sendiri, masalah ini adalah berlaku terhadap para golongan remaja yang tidak berfikir jauh kerana tenggelam dalam pergaulan yang melampau (tiada batasan berteman antara lelaki dan perempuan) kerana berdasarkan yang berlaku dalam masyarakat, jarang berlaku golongan dewasa yang membuang bayi seperti yang berlaku sekarang ini. Walau apa pun puncanya, kita perlu fikir apakah yang perlu dilakukan untuk pendidikan awal sebagai penerapan ilmu untuk dijadikan landasan berpijak kepada para anak-anak kita agar tidak tersalah langkah. Hanya pemahaman dan penghayatan agama yang baik dapat dipantulkan melalui akhlak.

Sama-sama kita renungkan...

* Sila rujuk kepada kajian-kajian yang jelas rujukannya keranan tulisan ini hanyalah sekadar perkongsian idea hasil dari pembacaan dan pengetahuan penulis tentang isu-isu yang ditulis di dalam blog ini.

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...