Monday, 17 August 2009

KELAB POLIGAMI IKHWAN


"SUAMI UNTUK DIKONGSI BUKAN DIPEREBUTKAN"

Pada hari Sabtu yang lepas berlangsung satu pelancaran kelab yang dinamakan dengan KELAB POLIGAMI IKHWAN di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor. Pada awalnya, pelancaran ini dirancang untuk mengadakan pelancaran secara rasmi dan konsert di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Namun begitu, menurut Urusetia Kelab Poligami pada hari tersebut mengatakan bahawa Shahrizat khuatir berlaku kekecohan kerana kelab ini boleh menimbulkan kontroversi dan bimbang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Disebabkan memikirkan keselamatan, pihak kelab terpaksa mengubah tempat pelancaran secara tergesa-gesa dan mendadak. Justeru, mereka mengalami kerugian dari segi pengiklanan kerana telah menghebahkan secara besar-besaran. Walau bagaimanapun, pelancaran tersebut berjalan lancar malah pihak urusetia memanjangkan masa penghebahan kelab tersebut selama 2 hari 2 malam yang disertai dengan ekspo dan jualan produk keluaran Ikhwan. Sepanjang pelancaran berlangsung dari jam 9 pagi sehingga 12 tengahari, acara diselangi dengan persembahan nyanyian dan sketsa dari keluarga poligami. Di akhir acara, keluarga besar Abuya Ashaari selaku penggerak utama dan suami kepada Khatijah Aam selaku isteri kedua merangkap penggerak kelab diperkenalkan kepada para tetamu yang hadir. Jumlah isteri beliau seramai 4 orang dan mempunyai anak juga cucu yang ramai.

Menurut jurucakap kelab, penubuhan kelab bukanlah semudah yang disangkakan. Tetapi kelab ini bertujuan bagi mempermudahkan dan menolong pasangan yang mempunyai masalah dalam perkahwinan. Justeru kelab ini mempunyai kaunselor selaku pemberi nasihat dalam masalah poligami.

Setakat ini jumlah ahli kelab sudah hampir mencecah 1000 orang termasuk suami, isteri pertama, isteri kedua, isteri ketiga, isteri keempat dan anak-anak. Kelab ini juga tidak menganggap perkahwinan poligami boleh dilakukan oleh semua orang kerana poligami tidak boleh dipermain-mainkan justeru si suami mahupun isteri harus ada ilmu dan terdidik jiwanya barulah berputik keharmonian dalam rumahtangga.

Kelab Poligami ini mempunyai pasangan poligami mengikut kelas iaitu ada kelas A,B dan C. Pasangan dari kelas bawah akan dipertingkatkan melalui pendidikan dan pembersihan hati dari para penggerak dan kaunselor mereka agar pasangan kelas bawah akan meningkat menjadi kelas atas dan lebih baik. kelab ini bukan sekadar kelab.

Monday, 10 August 2009

BERKONGSI PENGALAMAN SEBAGAI ISTERI YANG DIMADU

Akhirnya, Kelab Poligami ini ku temui juga siapakah mereka. Sehari sebelum Pn Khatijah Aam muncul di kaca televisyen dalam rancangan Wanita Hari Ini di TV3, ada seorang kakak dari kumpulan Global Ikhwan yang merupakan isteri pertama dan mempunyai seorang madu, menghantar pesanan ringkas (sms) melalui telefon bimbitku, "ada dengar tak tentang kelab poligami? Esok ada di WHI." Wah! alhamdulillah..agak terkejut dengan berita tersebut, namun teruja!!

Semoga kajianku lebih menjadi mudah. Bagi ahli Kelab Poligami yang ingin berkongsi pengalaman denganku bagi membantuku menyiapkan tesis berkenaan dengan isteri berpoligami dari kumpulan GISB sila hubungiku. Pertolongan dan kesudian kalian sangatlah saya hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga.

Utusan Malaysia (Membantu Keluarga Poligami)

Utusan Malaysia (Perlu disokong bukan dimusuhi)

Thursday, 6 August 2009

KELAB POLIGAMI

Semakin lama semakin banyak perkembangan tentang perkahwinan jenis poligami. Sehingga sekarang sudah ada sebuah organisasi yang dinamakan Kelab Poligami. Sangat menarik! Namun, ada sesiapa yang sudah menjadi ahli berkongsi pengalaman dan di manakah kelab ini berada sekarang?

Sangat mengharap!

Lihat Sini Kelab Poligami Ikhwan (Hak Isteri Pertama)

Lihat Sini (Hak Isteri Kedua)

Wednesday, 15 July 2009

ILMU+PENGALAMAN=GURU

Dalam kehidupan seharian, kita banyak berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelbagai jenis manusia dan bermacam-macam ragam yang wujud. Kadang-kadang banyak masalah yang timbul lahir dari salah faham dan ketidakserasian antara satu sama lain yang terkesan dari kurang etika dan adab semasa menjalankan proses komunikasi dan interaksi.

Jadi, tidak mustahillah setiap hari kita sentiasa dengar ada sahaja masalah di sana-sini. Sekiranya perselisihan faham berlaku dikalangan orang muda, mentaliti kita mengatakan bahawa itu adalah satu situasi golongan di peringkat yang masih belum matang. Kalau yang terjadi dikalangan orang tua, sifat ketidakmatangan juga akan disebut. Tetapi akan ada pernyataan yang berbeza dengan orang muda. Malah dalam sesetengah hal, banyak orang tua yang lebih bersifat kebudak-budakan dalam menangani sesetengah hal sehingga menyebabkan orang muda pening kepala dan cuba berlagak selamba atau dengan istilah lebih bersikap profesional.

Kadang-kadang kita meletakkan emosional di hadapan berbanding profesional dan kemudiannya memberikan suatu kesan yang negatif kepada kedua-dua belah pihak. Setiap orang mempunyai sikap yang berbeza-beza, kalau kita bertolak-ansur maka ada sahaja pihak lain yang berkeras dan tidak memberi peluang langsung walau dia hanya menegakkan benang yang basah. Walau belajar di peringkat tinggi sekalipun, tidak semua orang belajar dan berlapang dada dalam apa jua masalah yang timbul.

Orang muda tidak menghayati apa yang dipelajari, orang tua pula tidak jadikan pengalaman sebagai pelajaran, jadi kedua-dua pihak tidak akan pernah positif dan optimistik dengan apa yang dijalani setiap hari dan walau dengan siapa sekalipun dia berinteraksi dan komunikasi.

Sehinggakan ada perumpaan Arab mengatakan lebih baik jahil (tidak berilmu) dari tidak beradab. Masalahnya sekarang dua-dua tidak diambil, ilmu dan adab kedua-duanya hilang dan tandus. Bila diri merasa seperti gelas yang sudah penuh, maka sebab itulah tiada lagi ruang untuk kita terima ilmu atau adab.

Artikel ini tidak ada kena-mengena dengan mana-mana teori cuma berdasarkan pemerhatian penulis terhadap persekitaran.

*Penulis adalah seorang pelajar sarjana Antropologi dan Sosiologi.
Meminati dengan apa jua berkaitan dengan ANSOS.

Tuesday, 14 July 2009

SELAMAT MELAYARI BAHTERA RUMAHTANGGA


Akhirnya Siti selamat diijabkabul dan sekarang sudah bergelar isteri. Semoga Siti menjadi isteri solehah dan menjadi ibu yang baik kelak. Kenangan bersama Siti di KIAM tidak akan pernah luput dari sanubari ini. Doaku mengiringimu sahabat...

Tuesday, 26 May 2009

Ya Allah, AMPUNILAH KAMI..


Terasa diri hina, lemah dan tiada nilai di sisiNya. Lemah terasa hidup tanpa kehadiranMu dalam sanubari. Bukan Engkau yang menjauhkan diri dariku, tetapi aku yang menjauhkan diri dariMu. Kumohon, benar-benar berharap agar janganlah Engkau biarkan aku walau sekelip mata kerana aku alpa tanpa bimbinganMu, leka tanpa pimpinanMu, terkandas di pertengahan jalan tanpa cinta dan kasihMu.

Aku benar-benar dalam kesamaran tanpa naungan dariMu. Aku dalam kegelapan tanpa Nur kasihMu. Aku lemah dengan ujianMu yang Kau hadiahkan kepadaku. Aku benar-benar lemas dan teraba-raba dalam ranjau yang penuh duri dosa. Aku benar-benar memohon ampunanMu. Hinanya aku memohon rahmat dan barakahMu kerana diri disaluti debu-debu dosa yang tidak pernah hilang dari hati yang sentiasa mencari-cari antara sinar dan samar. Hati yang sentiasa mendengar pujuk-rayu syaitan, hati yang dicemari palsuan duniawi, hati yang sakit dek cintakan dunia tanpa menghiraukan "IHSAN".

Hinanya aku... Dimanakah aku meletakkan Tuhan di saat dosa itu ditambah lagi? Apa tidak tahu malukah kau di saat kau hidup dan menikmati duniawi dengan segalanya adalah hak milik Allah? Anggota badanmu, nafasmu, bumi tempat tinggalmu, adakah kau tahu segalanya adalah hanya pinjaman? Sedarilah wahai manusia yang tidak tahu mensyukuri nikmat Allah..

Lemahnya engkau di saat Allah menghadiahkan mehnah hanya ingin menguji keimananmu. Bangkitlah dari meneruskan tingkah yang hina. Sedarlah, kamu hanya insan dan hambaNya yang lemah. ketahuilah, kitabmu telah bertambah lagi amalan yang tidak disukai ALlah. Balaslah kesyukuranmu kepadaNya dengan sesuatu yang disukai oleh Penciptamu. Adakah kau tidak malu menghadiahkan dia dengan sesuatu yang jijik sedang Dia memberimu segala yang kau inginkan..

Wahai manusia, marilah sama-sama kita bersujud mencari ampunanNya sementara pintu taubat masih terbuka. Sementara nafas masih bersemadi dalam diri yang kotor. Sementara kudrat masih berada dalam jasad yang hina. Sementara masih ada waktu..

ya ALlah aku memohon ampunilah segala dosa-dosa yang kulakukan.. berilah aku kekuatan untuk menempuhi segala ujian yang Kau hadiahkan padaku.. Pimpinlah kami disaat kami benar-benar dalam keraguan dan kesamaran dalam meniti kehidupan yang penuh onak duri yang dipenuhi dengan maksiat dan debuan dosa yang menyelingkari setiap langkah anak Adam..

ya Allah, ampunilah kami..

Sunday, 24 May 2009

"SYURGA CINTA"


Cinta adalah untuk yang ikhlas mencintai bukan untuk dipersendakan...

Mukadimah sebagai pembuka watikah maya yang lama menyepikan diri dan hadir kembali setelah munculnya SYURGA CINTA di pawagam. Tulisan ini sedikit sebanyak hasil dari filem SYURGA CINTA yang penulis nikmati di pawagam tadi bersama sahabat perempuan penulis yang sangat berminat dengan filem Melayu. Apa salahnya sekali sekala menonton filem Melayu malah bercirikan cinta Islam yang cuba Ahmad Idham sampaikan kepada masyarakat di Malaysia setelah filem Syukur 21 yang ditayangkan beberapa tahun dahulu. Satu peningkatan lagi untuk Malaysia kerana cuba menyampaikan mesej Islam melalui filem tempatan. Manalah tahu setanding dengan filem Ayat-ayat Cinta dari Seberang. maklum sahajalah, kita kurang menghasilkan filem bercirikan Islam seperti Syurga Cinta ini.

Mesej yang cuba disampaikan sangat ringkas dan ringan. namun sebenarnya pesanan tersebut penting untuk disampaikan kepada seluruh lapisan masyarakat.

"Kadang-kadang Tuhan sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana menghilangnya matahari, rupa-rupanya Tuhan hendak memberikan kita pelangi yang sangat indah.." Antara dialog Syuhada kepada Irham.

Apabila bercerita tentang cinta, ramai orang teruja dan berminat untuk berkongsi baik lelaki mahupun perempuan dan termasuklah semua peringkat umur. Malah Ikmal si cilik dalam filem Syurga Cinta juga faham apa yang Irham cuba lakukan terhadap Syuhada, guru kelas Ikmal.

Cinta... kebanyakan orang banyak buta kerana cinta. tetapi ada yang menganggap orang yang bercinta itu sebenarnya buta. walau bagaimanapun ramai juga orang yang bercinta, hilang arah sewaktu tengah bercinta sehingga akhirnya apabila putus di tengah jalan, akhirnya cinta dipersalahkan. Salahkah cinta? Kasihan cinta. Padahal cinta adalah anugerah Allah yang paling indah. Kadang-kadang orang meremehkan cinta sehingga boleh dipersendakan. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang yang sudah mula mencintai orang yang memberi cinta dan mengharapkannya berbalas.

Kalau dilihat secara mendalam, watak Irham itu sebenarnya susah, ini adalah kerana begitu mudah Irham menghafal bacaan-bacaan dalam solat, mengaji dan sebagainya dalam masa sebulan. seandainya ia adalah benar dan logik, adalah tidak susah bagi mereka yang di luar sana untuk sama-sama mempraktikkan cara hidup Islam sebenar. Bagus juga filem ini, kerana Irham bukanlah berubah kerana perempuan semata-mata, memang lahir dari hatinya untuk kembali ke pangkal jalan kerana dia cuba mengubah dirinya sendiri dan banyak nasihat-nasihat kepadanya bahawa pintu taubat sentiasa terbuka, malah irham juga tidak keluar secara berdua-duaan dengan Syuhada serta Irham juga menghormati Syuhada tanpa cuba menyentuhnya. Andai ada lelaki di luar sana seperti itu... alangkah bagusnya.. Andai banyak perempuan di luar sana yang kuat serta sentiasa mengingatkan lelaki seperti itu... alangkah indahnya...

sekuat itukah lelaki seperti irham yang sangat tidak terkawal pergaulannya sehinggakan boleh menghormati syuhada tanpa menyentuhnya? kalau irham boleh, kenapa kita tidak boleh?

Atuk syuhada berkata, "Jodoh ada tiga, pertama jodoh dari syaitan (bercinta, berhubungan sebelum berkahwin dan melakukan maksiat), jodoh yang kedua dari jin (mensihirkan dan guna-guna dan akhirnya bernikah) dan jodoh yang ketiga adalah jodoh dari Allah (yang setelah kamu melihat ke matanya terus menusuk ke kalbu dan meraih cintanya demi Allah serta terus menikahinya serta kemuncaknya akan wujud SYURGA CINTA)...

Selamat mencari cinta.. Pimpinlah kami agar menemui cinta dari orang yang juga mencari CINTAMU..

Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian

Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...