Wednesday, 15 July 2009
ILMU+PENGALAMAN=GURU
Jadi, tidak mustahillah setiap hari kita sentiasa dengar ada sahaja masalah di sana-sini. Sekiranya perselisihan faham berlaku dikalangan orang muda, mentaliti kita mengatakan bahawa itu adalah satu situasi golongan di peringkat yang masih belum matang. Kalau yang terjadi dikalangan orang tua, sifat ketidakmatangan juga akan disebut. Tetapi akan ada pernyataan yang berbeza dengan orang muda. Malah dalam sesetengah hal, banyak orang tua yang lebih bersifat kebudak-budakan dalam menangani sesetengah hal sehingga menyebabkan orang muda pening kepala dan cuba berlagak selamba atau dengan istilah lebih bersikap profesional.
Kadang-kadang kita meletakkan emosional di hadapan berbanding profesional dan kemudiannya memberikan suatu kesan yang negatif kepada kedua-dua belah pihak. Setiap orang mempunyai sikap yang berbeza-beza, kalau kita bertolak-ansur maka ada sahaja pihak lain yang berkeras dan tidak memberi peluang langsung walau dia hanya menegakkan benang yang basah. Walau belajar di peringkat tinggi sekalipun, tidak semua orang belajar dan berlapang dada dalam apa jua masalah yang timbul.
Orang muda tidak menghayati apa yang dipelajari, orang tua pula tidak jadikan pengalaman sebagai pelajaran, jadi kedua-dua pihak tidak akan pernah positif dan optimistik dengan apa yang dijalani setiap hari dan walau dengan siapa sekalipun dia berinteraksi dan komunikasi.
Sehinggakan ada perumpaan Arab mengatakan lebih baik jahil (tidak berilmu) dari tidak beradab. Masalahnya sekarang dua-dua tidak diambil, ilmu dan adab kedua-duanya hilang dan tandus. Bila diri merasa seperti gelas yang sudah penuh, maka sebab itulah tiada lagi ruang untuk kita terima ilmu atau adab.
Artikel ini tidak ada kena-mengena dengan mana-mana teori cuma berdasarkan pemerhatian penulis terhadap persekitaran.
*Penulis adalah seorang pelajar sarjana Antropologi dan Sosiologi.
Meminati dengan apa jua berkaitan dengan ANSOS.
Tuesday, 14 July 2009
SELAMAT MELAYARI BAHTERA RUMAHTANGGA
Tuesday, 26 May 2009
Ya Allah, AMPUNILAH KAMI..

Terasa diri hina, lemah dan tiada nilai di sisiNya. Lemah terasa hidup tanpa kehadiranMu dalam sanubari. Bukan Engkau yang menjauhkan diri dariku, tetapi aku yang menjauhkan diri dariMu. Kumohon, benar-benar berharap agar janganlah Engkau biarkan aku walau sekelip mata kerana aku alpa tanpa bimbinganMu, leka tanpa pimpinanMu, terkandas di pertengahan jalan tanpa cinta dan kasihMu.
Aku benar-benar dalam kesamaran tanpa naungan dariMu. Aku dalam kegelapan tanpa Nur kasihMu. Aku lemah dengan ujianMu yang Kau hadiahkan kepadaku. Aku benar-benar lemas dan teraba-raba dalam ranjau yang penuh duri dosa. Aku benar-benar memohon ampunanMu. Hinanya aku memohon rahmat dan barakahMu kerana diri disaluti debu-debu dosa yang tidak pernah hilang dari hati yang sentiasa mencari-cari antara sinar dan samar. Hati yang sentiasa mendengar pujuk-rayu syaitan, hati yang dicemari palsuan duniawi, hati yang sakit dek cintakan dunia tanpa menghiraukan "IHSAN".
Hinanya aku... Dimanakah aku meletakkan Tuhan di saat dosa itu ditambah lagi? Apa tidak tahu malukah kau di saat kau hidup dan menikmati duniawi dengan segalanya adalah hak milik Allah? Anggota badanmu, nafasmu, bumi tempat tinggalmu, adakah kau tahu segalanya adalah hanya pinjaman? Sedarilah wahai manusia yang tidak tahu mensyukuri nikmat Allah..
Lemahnya engkau di saat Allah menghadiahkan mehnah hanya ingin menguji keimananmu. Bangkitlah dari meneruskan tingkah yang hina. Sedarlah, kamu hanya insan dan hambaNya yang lemah. ketahuilah, kitabmu telah bertambah lagi amalan yang tidak disukai ALlah. Balaslah kesyukuranmu kepadaNya dengan sesuatu yang disukai oleh Penciptamu. Adakah kau tidak malu menghadiahkan dia dengan sesuatu yang jijik sedang Dia memberimu segala yang kau inginkan..
Wahai manusia, marilah sama-sama kita bersujud mencari ampunanNya sementara pintu taubat masih terbuka. Sementara nafas masih bersemadi dalam diri yang kotor. Sementara kudrat masih berada dalam jasad yang hina. Sementara masih ada waktu..
ya ALlah aku memohon ampunilah segala dosa-dosa yang kulakukan.. berilah aku kekuatan untuk menempuhi segala ujian yang Kau hadiahkan padaku.. Pimpinlah kami disaat kami benar-benar dalam keraguan dan kesamaran dalam meniti kehidupan yang penuh onak duri yang dipenuhi dengan maksiat dan debuan dosa yang menyelingkari setiap langkah anak Adam..
ya Allah, ampunilah kami..
Sunday, 24 May 2009
"SYURGA CINTA"

Mukadimah sebagai pembuka watikah maya yang lama menyepikan diri dan hadir kembali setelah munculnya SYURGA CINTA di pawagam. Tulisan ini sedikit sebanyak hasil dari filem SYURGA CINTA yang penulis nikmati di pawagam tadi bersama sahabat perempuan penulis yang sangat berminat dengan filem Melayu. Apa salahnya sekali sekala menonton filem Melayu malah bercirikan cinta Islam yang cuba Ahmad Idham sampaikan kepada masyarakat di Malaysia setelah filem Syukur 21 yang ditayangkan beberapa tahun dahulu. Satu peningkatan lagi untuk Malaysia kerana cuba menyampaikan mesej Islam melalui filem tempatan. Manalah tahu setanding dengan filem Ayat-ayat Cinta dari Seberang. maklum sahajalah, kita kurang menghasilkan filem bercirikan Islam seperti Syurga Cinta ini.
Mesej yang cuba disampaikan sangat ringkas dan ringan. namun sebenarnya pesanan tersebut penting untuk disampaikan kepada seluruh lapisan masyarakat.
"Kadang-kadang Tuhan sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana menghilangnya matahari, rupa-rupanya Tuhan hendak memberikan kita pelangi yang sangat indah.." Antara dialog Syuhada kepada Irham.
Apabila bercerita tentang cinta, ramai orang teruja dan berminat untuk berkongsi baik lelaki mahupun perempuan dan termasuklah semua peringkat umur. Malah Ikmal si cilik dalam filem Syurga Cinta juga faham apa yang Irham cuba lakukan terhadap Syuhada, guru kelas Ikmal.
Cinta... kebanyakan orang banyak buta kerana cinta. tetapi ada yang menganggap orang yang bercinta itu sebenarnya buta. walau bagaimanapun ramai juga orang yang bercinta, hilang arah sewaktu tengah bercinta sehingga akhirnya apabila putus di tengah jalan, akhirnya cinta dipersalahkan. Salahkah cinta? Kasihan cinta. Padahal cinta adalah anugerah Allah yang paling indah. Kadang-kadang orang meremehkan cinta sehingga boleh dipersendakan. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang yang sudah mula mencintai orang yang memberi cinta dan mengharapkannya berbalas.
Kalau dilihat secara mendalam, watak Irham itu sebenarnya susah, ini adalah kerana begitu mudah Irham menghafal bacaan-bacaan dalam solat, mengaji dan sebagainya dalam masa sebulan. seandainya ia adalah benar dan logik, adalah tidak susah bagi mereka yang di luar sana untuk sama-sama mempraktikkan cara hidup Islam sebenar. Bagus juga filem ini, kerana Irham bukanlah berubah kerana perempuan semata-mata, memang lahir dari hatinya untuk kembali ke pangkal jalan kerana dia cuba mengubah dirinya sendiri dan banyak nasihat-nasihat kepadanya bahawa pintu taubat sentiasa terbuka, malah irham juga tidak keluar secara berdua-duaan dengan Syuhada serta Irham juga menghormati Syuhada tanpa cuba menyentuhnya. Andai ada lelaki di luar sana seperti itu... alangkah bagusnya.. Andai banyak perempuan di luar sana yang kuat serta sentiasa mengingatkan lelaki seperti itu... alangkah indahnya...
sekuat itukah lelaki seperti irham yang sangat tidak terkawal pergaulannya sehinggakan boleh menghormati syuhada tanpa menyentuhnya? kalau irham boleh, kenapa kita tidak boleh?
Atuk syuhada berkata, "Jodoh ada tiga, pertama jodoh dari syaitan (bercinta, berhubungan sebelum berkahwin dan melakukan maksiat), jodoh yang kedua dari jin (mensihirkan dan guna-guna dan akhirnya bernikah) dan jodoh yang ketiga adalah jodoh dari Allah (yang setelah kamu melihat ke matanya terus menusuk ke kalbu dan meraih cintanya demi Allah serta terus menikahinya serta kemuncaknya akan wujud SYURGA CINTA)...
Monday, 27 April 2009
LELAKI, PEREMPUAN DAN POLIGAMI

Apabila bercerita tentang poligami, banyak yang cepat melatah. Malah kadang-kadang aku sendiri pun agak melatah. Bukan dalam erti kata menolak, tetapi soalan yang bertubi-tubi bagi pihak yang tidak boleh menerima poligami. Bukanlah niat untuk membenarkan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu, tetapi hanya ingin menyokong apa yang diturunkan oleh Allah dan ingin menyatakan rasa syukur atas hikmah yang terdapat dalam perkahwinan yang pernah diamalkan rasulullah itu.
Dan sepanjang penelitianku berkenaan dengan poligami ini juga, aku banyak mendengar pelbagai jenis rintihan berkait dengan lelaki. menambahkan pelbagai persepsiku terhadap kaum Adam ini tambahan pula di akhir zaman ini. Tentu ramai lelaki yang agak melatah dengan penyataanku ini. Bukan ingin memburuk-burukkan orang, tetapi hanya menambahkan persepsiku sendiri menjadi suatu hal yang agak merunsingkan. ini adalah kerana kerana beberapa orang itu menjadikan aku memandang aneh dan pelik kepada insan-insan yang bernama lelaki ini.
Benar, tidak semua lelaki itu jahat, kerana masih ada lelaki yang masih terdidik jiwanya. tetapi bagiku, untuk mencari lelaki seperti itu bukan mudah. justeru ramai yang takut dengan lelaki termasuklah aku sendiri. tetapi secara profesional dan ahli akademik, aku seharusnya menjadikan ia suatu perkara yang ilmiah agar aku bisa menjadikan semua objektif dengan tidak bias kepada mana-mana pihak kerana kalau silap langkah aku boleh digelar sebagai feminis, genderisme dan sewaktu dengannya.
Aku masih lagi boleh menerima insan yang bernama lelaki itu, cuma aku agak berhati-hati dengan mereka. Disebabkan masalah yang ku dengar dari orang lain menjadikan persepsiku semakin buruk tentang lelaki. Aku jadi berfikir. Kenapa lelaki seperti itu ya? Memang perempuan pun banyak yang buat masalah, tetapi dalam hal poligami banyak lelaki yang mengkhianati kaum perempuan. Perempuan pula banyak yang menjadi mangsa. Namun begitu, apabila dinilai kembali, kebanyakan dari kita selaku hamba ALlah ini jarang mengembalikan dan merujuk kepada ALlah yang menentukan segalanya. Tetapi akan timbul pula persoalan, kenapa perempuan sahaja yang harus kembali dengan pertanyaan itu sedangkan lelaki pun terlibat sama?Begitulah hidup ini tidak akan pernah habis dengan pertanyaan sampai akan keluar pernyataan bahawa kadang-kadang soalan itu tiada jawapan. Entahlah benar atau tidak, boleh diterima pakai ataupun tidak.
Apabila bercerita tentang lelaki, banyak dan panjang lebar bahasannya. Lelaki ini banyak ragamnya walaupun perempuan sering dikaitkan dengan pelbagai jenis tafsiran yang diberikan kepada perempuan.
Lelaki dan perempuan banyak bezanya. Luaran sahaja jauh bezanya apatah lagi dalaman walaupun masing-masing ALlah ciptakan banyak persamaan contohnya mata ada dua, tangan juga dua dan sebagainya. Yang paling penting, Allah anugerahkan kepada setiap manusia (lelaki dan perempuan) otak untuk berfikir melalui akal dan hati untuk merasa.
Walau bagaimanapun, tetap juga dua jenis jantina ini mempunyai perbezaan. Lelaki ada yang baik dan ada yang jahat begitulah sebaliknya.
Tuesday, 21 April 2009
SELAMAT HARI LAHIR
Fleedy.com |
Tiada Titisan Hujan
Pohon Melambai
Tanda Sokongan

Kususuri Perjalanan
Bertemankan Senyuman
Di Hari Lahirmu
Sahabatku
Dedaun Berguguran
Membuktikan Kedewasaan
Walau Tanpa Madah Dan Hadiah
Namun Cukup Bagiku
Sekadar Ucapan
Selamat Hari Lahir
Iringi Doa Kuhulur
Bersyukur KepadaNya
Atas Nikmat Usia
Sahabatku
Usia Yang Tuhan Kurniakan Ini
Dihasilah Ia Dengan Amalan Yang Murni
Semoga Ia Menjadi Temanmu Di Akhirat Nanti
Selamat Hari Lahir
Usiamu Ibarat Mutiara
Tiada Berganti Lagi
Hiaskan Iman Bersulam Taqwa
Agar Sempat Mengucup
Haruman Syurgawi
*Sila cari mana satu Paji..?
Jangan marah-marah, tak baik tau..
Tuesday, 14 April 2009
MATA PELAJARAN : MANUSIA
Manusia sangat unik dan kadang-kadang aneh. Tiada makhluk yang sama macam manusia. Manusia itu pelbagai dan variasi warna. Kadang-kadang kita merasa tertekan dan membahagiakan hanya disebabkan manusia. Manusia itu kadang-kadang memberi kebaikan dan kelemahan / keburukan pada kita.
Hidup ini memang mempunyai pelbagai jenis ragam dan pancaroba baik lelaki mahupun perempuan yang menerima anugerah itu. Bagaimana mengawal segala nikmat atau duri yang datang adalah satu anugerah juga kerana kita belajar bagaimana menjadi nakhoda untuk diri sendiri terutama hati dan otak.
Pernah dikatakan manusia ibarat buku. Sebuah buku yang boleh dibaca. Jadi sesiapa yang rajin baca buku tersebut, tentulah dia lebih memahami buku yang dibacanya. Semua yang terlahir dari seseorang itu merupakan isi-isi penting buku tersebut. Seandainya ingin mengenali seseorang itu dengan mendalam, cuba-cubalah selami dia seperti membaca buku. Walau bagaimanapun, setiap persoalan yang timbul dari seseorang itu, hanya orang itu yang boleh menjawab kerana hanya dia yang memahami diri dia sendiri.
Cara Mudah Tulis Pengenalan dan Permasalahan Kajian
Kenapa saya menulis tentang cara melakar Latar Belakang Kajian? Kebanyakan buku menjelaskan secara ringkas dan umum. Ada juga yang detail , ...
-
Malam ini malam ke 28 ramadhan. Macam biasa aku tidak dapat tidur dan aku mengisi masaku dengan membaca dan membetulkan proposalku yang berk...
-
Pada semester ini, saya mengambil 4 kursus iaitu (1) Sejarah dan Tamadun Islam di Nusantara, (2) Al-Quran dan Masyarakat Kontemporari, (3) S...
-
Info dari Lembaga Hasil Dalam Negeri M ulai Tahun 2015 individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 (selepas poto...